PERANG saraf secara amnya boleh dimaksudkan sebagai sebaran informasi, sama ada palsu atau benar menggunakan media komunikasi sepihak pelbagai, bertujuan untuk mempengaruhi cara orang ramai berfikir dan bertindak. Iklan di televisyen,... Klik di sini untuk terus membaca

PERANG saraf secara amnya boleh dimaksudkan sebagai sebaran informasi, sama ada palsu atau benar menggunakan media komunikasi sepihak pelbagai, bertujuan untuk mempengaruhi cara orang ramai berfikir dan bertindak.

Iklan di televisyen, poster, hebahan radio atau media elektronik alternatif yang menggesa orang ramai untuk memilih calon politik dalam pilihan raya adalah satu bentuk perang saraf atau propaganda yang mampu mencorak pola pemikiran pengundi di sesuatu kawasan.

Sejak dari tahun 2018 terdapat arus propaganda semakin hari semakin kuat dan kini telah bertukar dari ombak kepada ‘tsunami’ yang telah membolehkan sebuah parti politik tanah air untuk menguasai sebahagian negeri-negeri di utara dan timur Semenanjung.

Menurut satu kajian yang dilaksanakan sebuah badan bebas, isu atau sentimen propaganda berkaitan perkauman telah dijadikan agenda utama ketika pilihan raya. Terdapat parti-parti cuba menanamkan perasaan takut di kalangan orang Melayu. Mereka berusaha keras menimbulkan keresahan dalam hati orang Melayu bahawa negara ini bukan ditadbir oleh orang Melayu lagi.

Perang saraf dengan propaganda sehala ini telah membuahkan hasil pada pilihan raya baru-baru ini. Isu-isu seperti pengaruh pro-komunis kononnya cuba dihidupkan parti lawan serta kecenderungan membenarkan hubungan songsang disebarkan secara meluas. Ia dilakukan melalui media alternatif seperti TikTok atau Twitter yang menjadi sumber utama informasi golongan muda.

Bagi negara ini, perang saraf pertama dan berjaya ialah pada tahun 1952, apabila Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi British & Pengarah Gerakan di Tanah Melayu telah melancarkan kempen ‘memenangi hati dan fikiran rakyat’.

Antara paling berjaya adalah ‘Bulan Penduduk Tanah Melayu Menentang Komunis’. Aktiviti yang dijalankan termasuklah penduduk berarak membawa sepanduk mengutuk keganasan komunis, mengedar risalah berkaitan bahaya komunis serta membakar patung pemimpin parti tersebut.

Perang saraf ini mencapai objektif menimbulkan kebencian penduduk Tanah Melayu terhadap kegiatan dan kekejaman komunis, malah penduduk pelbagai bangsa dengan sukarela telah menyertai pasukan keselamatan serta kawalan kampung bagi menjamin keselamatan serta menyekat pengaruh komunis daripada tersebar.

Pada pilihan raya baru-baru ini, sekali lagi perang saraf anti-komunis dengan ramuan kebencian kaum serta gaya hidup liberal melampau direncahkan santapan minda semua pihak untuk mempengaruhi peti undi. Bagi pihak yang menyokong atau mengundi parti tertentu, mereka akan dilabel sebagai bersekongkol dengan idealisme komunis.

Tahukah mereka, pada tahun 2016 dan 2018 beratus-ratus tentera komunis lengkap bersenjata tetapi tanpa peluru hidup, dari Peoples Liberation Army (PLA) telah ‘mendarat’ di pantai dan belantara semenanjung untuk mengadakan latihan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada 2017 pula dua buah kapal selam dari angkatan laut PLA telah singgah di pangkalan tentera laut Sepanggar di Kota Kinabalu, Sabah dan pada tahun sama kerajaan bersetuju untuk memperoleh empat buah kapal ronda dari negara yang dianggap pendukung ideologi komunis paling utama di rantau ini. Kenapa tiada bantahan terhadap kehadiran komunis ketika itu?

Peliknya pihak yang melaungkan propaganda anti-komunis tidak langsung menyentuh isu lain yang hakikatnya mungkin memberi ancaman sama atau lebih besar kepada ummah.

Ini termasuklah hubungan dengan negara-negara Eropah Barat yang hari ini mengharamkan pemakaian hijab atau tudung oleh penduduk muslimah mereka.

Di kalangan negara Kesatuan Eropah, hanya enam negara iaitu Croatia, Cyprus, Greece, Poland, Portugal dan Romania yang tidak menghadkan pemakaian tudung di kawasan awam.

Inilah yang dikatakan sebagai propaganda tradisional iaitu komunikasi isu terpilih sepihak, bertujuan mendatangkan laba politik semata-mata. Apa yang menyedihkan cara perang saraf begini boleh dianggap sebagai asas kepada keruntuhan sebuah negara.

Iraq, Libya, Somalia adalah antara negara seperti kita yang penduduknya sebangsa dan beragama Islam, namun mereka berbunuhan sesama sendiri.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca