UMUM mengetahui, Parti Kongres India Se-Malaysia (MIC) dan Malaysian Chinese Association (MCA) mempunyai sejarah yang panjang dalam politik negara termasuk perjuangan menuntut kemerdekaan bersama UMNO, pada 31 Ogos 1957. Namun, pengaruh MCA... Klik di sini untuk terus membaca

UMUM mengetahui, Parti Kongres India Se-Malaysia (MIC) dan Malaysian Chinese Association (MCA) mempunyai sejarah yang panjang dalam politik negara termasuk perjuangan menuntut kemerdekaan bersama UMNO, pada 31 Ogos 1957.

Namun, pengaruh MCA dan MIC kini dilihat semakin terhakis dalam kalangan masyarakat sehingga menyebabkan mereka gagal mendapat undi dan memenangi banyak kerusi sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.

Lebih menakutkan sindrom 'hidup segan mati tak mahu' ini tambah merunsingkan pasca PRU15, apabila peranan dan fungsi mereka mungkin dirampas 'rakan baik UMNO' ketika ini iaitu PKR dan DAP.

Segalanya bermula apabila Barisan Nasional (BN) mencatatkan keputusan penurunan kerusi pada PRU12 dengan menang 140 daripada 222 kerusi Parlimen dipertandingkan termasuk 78 kerusi dimenangi oleh UMNO; MCA (15 kerusi), MIC (3 kerusi), Gerakan dua kerusi. Bakinya dimenangi parti Sabah dan Sarawak.

Bertitik tolak daripada keputusan PRU12 itu, pengaruh dan sokongan pengundi bukan Melayu kepada MIC dan MCA terus menjunam sehingga menyebabkan mereka hanya menang masing-masing empat dan tujuh kerusi Parlimen ditandingi pada PRU13 (2013).

Tidak terhenti di situ, kedua-dua parti berkenaan terus mengalami nasib malang apabila MIC dan MCA hanya menang dua dan satu kerusi Parlimen ditandingi mereka pada PRU14 lalu.

MIC dan MCA bukan hanya gagal membantu BN memperoleh majoriti mudah atau sekurang-kurang menang 112 daripada 222 kerusi dipertandingkan pada PRU15, malah mereka juga kalah teruk.

BN kini hanya terdiri daripada empat parti komponen iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS.

Lebih malang lagi, MIC hanya menang satu daripada 10 kerusi Parlimen pada PRU15 menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Tapah selepas mendapat majoriti 5,046 sekali gus mengalahkan calon PH, Saraswathy Kandasami.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran pula tewas kepada calon PH, Kesavan Subramaniam, dalam pertandingan sengit tujuh penjuru bagi merampas kembali kubu kuat parti itu di Sungai Siput.

Nasib MCA juga tidak jauh beza dengan MIC, apabila mereka hanya menang dua daripada lebih 43 kerusi Parlimen ditandingi, pada PRU15. Dua kerusi berkenaan dimenangi oleh Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Ayer Hitam untuk penggal kelima dan Datuk Seri Dr Wee Jack Seng yang berjaya mempertahankan kerusi Tanjong Piai.

Kegagalan MIC dan MCA bangkit kembali daripada kegagalan menjadi antara punca utama kenapa BN mengalami kekalahan terburuk dalam sejarah apabila hanya menang 30 daripada 222 kerusi Parlimen ditandingi pada PRU15.

Berikutan itu, timbul persoalan bagaimana survival dan jangka hayat parti itu selepas ini? Adakah ia mampu kembali menjadi lidah masyarakat Cina dan India, atau ia akan 'ditelan' DAP dan PKR yang mengambil alih peranan mereka.

Selain itu, timbul juga persoalan jika MCA dan MIC keluar daripada BN, maka ke mana hala tuju mereka seterusnya sama ada kekal solo atau menyertai gabungan parti lain seperti Perikatan Nasional (PN).

Menurut Pensyarah Sosiologi Politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian, MCA dan MIC kini perlu melakukan muhasabah diri selepas kalah teruk dalam PRU15. Tindakan untuk tidak menerima apa-apa jawatan dalam kabinet Anwar adalah satu satu bentuk muhasabah parti itu.

SIVAMURUGAN

Sivamurugan berkata, kepimpinan tertinggi MCA dan MIC juga kini sedang memikirkan kaedah paling efektif bagi mengimbangi kedudukan mereka dalam parti berkenaan tanpa memegang sebarang jawatan dalam kabinet dan kerajaan.

"MCA dan MIC kini berada di persimpangan dilema dan 'jalan mati' sama ada mahu terus kekal bersama BN dan menyertai kerajaan campuran sekali dengan PH atau pun memilih haluan lain.

"Jika MCA dan MIC memilih bersama PH, maka tidak mustahil mereka akan ditelan oleh PKR dan DAP yang kian mendapat tempat di hati pengundi kaum Cina dan India di Malaysia, sejak kebelakangan ini.

"Andai kata MCA dan MIC memilih haluan sendiri mereka perlu bermula daripada awal untuk memenangi hati pengundi kaum Cina dan India bagi menghadapi pilihan raya akan datang," katanya.

MCA DIJANGKA KEKAL BERSAMA BN

Timbalan Ketua Strategi, Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB di Universiti Sunway, Profesor Wong Chin Huat percaya MCA akan terus kekal bersama BN biarpun mereka tewas teruk dalam PRU15 dan menolak tawaran untuk menyertai kabinet Anwar.

"Mereka (MCA) tidak akan ke PN kerana ia hanya akan menyebabkan MCA lagi tertolak.

"Kecuali jika ada pilihan raya tempatan untuk MCA mula sekali lagi seperti dalam pilihan raya tempatan Majlis Perbandaran Kuala Lumpur pada 1952, nasib MCA mungkin ialah kembali menjadi NGO sebelum 1952," katanya.

CHIN HUAT

INFO

KERUSI DIMENANGI MCA, MIC

PRU12

MCA - 15 kerusi

MIC - 3 kerusi

PRU13

MCA - 7 kerusi

MIC - 4 kerusi

PRU14

MCA - 1 kerusi

MIC - 2 kerusi

*Selepas pembatalan mahkamah dan PRK Tanjong Piai, MCA memiliki 2 kerusi, MIC tinggal 1 kerusi

PRU15

MCA - 2 kerusi

MIC - 1 kerusi

Klik di sini untuk terus membaca