SHAH ALAM - Sekarang merupakan masa terbaik untuk UMNO menguatkan semula barisan saf kepimpinannya dengan memberi peluang kepada golongan muda tampil di barisan hadapan.
Penganalisis Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, tindakan itu perlu dilakukan memandangkan UMNO kini berada dalam Kerajaan Perpaduan.
"Terengganu, Perlis dan Kedah memang negeri dikuasai BN sebelum ini namun tewas. Kita tahu kekuatan UMNO mempunyai penyokong tegar yang agak besar. Tapi ada retak ketika Pilihan Raya Umum (PRU) lepas terutama di Perlis menyebabkan kalah di banyak kawasan.
"Dalam konteks ini, saya rasa ini masa terbaik sementara masih berada dalam kerajaan untuk kuatkan balik saf kepimpinan. Saya rasa ini masa untuk bagi orang muda kehadapan.
"Yang penting adalah UMNO perlu mengukuhkan parti untuk mengambil semula kawasan pernah dimiliki sebelum ini untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah dan Terengganu dalam masa terdekat nanti,” katanya pada Selasa.
Beliau berkata demikian semasa Wacana Sinar edisi ke-369 bertajuk UMNO: Rebah atau bangkit yang dikendalikan oleh Ismail Adnan dan Pengerusi Tetap Pemuda UMNO, Mohd Hafeez Che Mat selaku panel.
Tambah Mohd Azizuddin, UMNO perlu mengurangkan perbalahan, perpecahan dan memantapkan serta mengemukakan dasar yang lebih menarik kepada rakyat.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar BN dan Pakatan Harapan (PH) dapat bergerak sama dalam mendepani PRN yang akan datang agar menjadi lebih kuat bagi berhadapan dengan Perikatan Nasional (PN).
"Saya melihat, kalau konsep Kerajaan Perpaduan ini diterjemahkan dalam pencalonan dan kerjasama politik, ia akan memberi kekuatan yang agak besar terutama di Kedah dan Terengganu. Kelantan agak susah sebab dinamik dia berbeza,” ujarnya.
Jelas beliau, BN ataupun UMNO perlu bekerja keras dan melakukan sesuatu bagi memastikan orang Melayu kembali kepada parti tersebut.
"Kalau tidak buat sesuatu, saya rasa tren Melayu atau anak muda untuk menyokong PN akan kekal dan PN akan bertambah kuat.
"Sekarang ini, kempen Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang masih lagi bercakap soal isu yang agak sensitif kepada masyarakat. Saya rasa dia mahu kekalkan momentum sehingga PRN.
"BN atau PH kena cari hujah balas kepada persoalan yang dibangkitkan PN. Kalau tidak, saya rasa PRN mereka (PN) akan kekalkan pencapaian apa yang mereka dapat pada PRU15,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca