KLANG - "Ancaman banjir terus menghantui masyarakat di sekitar Meru, apakah kami akan terus ‘berdampingan’ dengan bencana berkenaan tanpa mendapat penyelesaian terbaik.
”Itu antara luahan penduduk ketika ditemui pada Program Kit Bantuan Bencana Sinar Karangkraf di beberapa kawasan perumahan di sekitar kawasan berkenaan bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Meru.
Program dengan kerjasama Pharmaniaga Berhad, Pasar Borong GM Klang dan Klinik Aranda Seksyen 25 ini diketuai Ketua Jabatan Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin.
Nik Justin berkata, rata-rata penduduk ditemui menyifatkan banjir yang sering melanda kawasan mereka sebagai ‘banjir tradisi’ kerana pada setiap tahun terpaksa berdepan dengan bencana alam itu.
Bagaimanapun, menurut Nik Justin, beliau tidak bersetuju pandangan mengatakan banjir merupakan satu tradisi sebaliknya bencana itu perlu diuruskan dengan lebih baik menerusi kerjasama semua pihak.
"Dengan kerjasama pelbagai agensi, duduk ‘semeja’ berbincang akan mendapat penyelesaian yang lebih mampan dalam mencari solusi bagi mengatasi masalah banjir yang melanda.
"Bencana banjir di Meru ini akan terus menghantui kita selagi semua pihak tidak duduk bersama bagi berkongsi idea, tenaga dan bersama-sama masyarakat untuk membantu golongan terkesan ini.
"Jadi henti mengatakan ia (banjir) adalah biasa dan banjir setiap tahun adalah tradisi. Tidak patut berlaku pengucapan seperti itu,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Pengerusi MPKK Meru, Tuan Azman Mohamed Tawil dan Setiausaha MPKK Meru, Razali Suwendi.
Program di Meru adalah merupakan program kedua selepas Kampung Kuantan di sini dan akan diteruskan ke tiga lagi kawasan iaitu ke Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga, Kampung Lombong dan Jalan Kebun di Shah Alam pada bulan ini.
Sementara itu, Tuan Azman berkata, pihaknya berterima kasih kepada Sinar Karangkraf kerana memilih MPKK Meru untuk menyampaikan sumbangan kit bantuan bencana dan menyelami masyarakat di kawasan tersebut.
Menurutnya, bencana banjir kerap berlaku di Meru dan menjadi isu perbincangan masyarakat setempat, malah sebelum ini banyak perkara luar jangka berlaku menimpa penduduk akibat bencana itu.
Percepat bina kolam tadahan
Katanya, harapan masyarakat adalah supaya kesan banjir di Meru dapat dikurangkan dengan kemudahan infrastruktur yang lebih baik termasuk mempercepatkan pembinaan kolam tadahan banjir.
"Sejak akhir-akhir ini banyak tindakan diambil kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Ada penambah baik dilakukan, namun bagi sesetengah masyarakat ia masih belum lagi cukup.
"Proses melaksanakan projek pembinaan kolam tadahan seperti yang telah dirancangkan perlu disegerakan kerana ia mungkin dapat mengurangkan risiko berlakunya bencana banjir di Meru.
"Kalau mengikut rentetan daripada kejadian sebelum ini nampaknya banjir akan terus melanda di kawasan ini, kita tidak mahu banjir menjadi satu tradisi di Meru,” ujar beliau.
Sementara itu, penduduk, Suhaimi Sahran, 56, berkata, dia menyokong jika kerajaan Selangor menyegerakan rancangan pembinaan kolam takungan banjir bagi mengurangkan risiko banjir di Meru.
"Kolam takungan itu akan menampung air banjir dan akan memudahkan air keluar dari kawasan perumahan penduduk sekali gus dapat mengurangkan kerosakan yang dialami,” jelasnya.
Penduduk, Azhari Muklas, 59, pula berkata, rumahnya yang terletak di Jalan Kenangan paling awal akan dinaiki air jika berlaku banjir kerana terletak di kawasan rendah di kampung berkenaan.
"Kawasan ini mudah dinaiki air dan keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya hujan lebat berterusan terutamanya pada musim tengkujuh setiap tahun,” katanya menetap lebih sedekad di situ.
Penduduk dari Jalan Abadi Empat, Sivasamy Veeramuthu, 64, pula berkata, sistem pengairan perlu diberikan keutamaan kerana banyak parit di kawasan perumahan itu didakwa tertimbus.
"Kalau banjir banyak barang akan rosak, banjir besar tahun lalu saya rugi sekitar RM20,000. Saya duduk di sini sudah 30 tahun dan perkara begini berlaku sejak 10 tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, pasangan suami isteri, Ariza Yusof, 52, dan Faizul Ahmad, 53, berkata, kerja-kerja pembersihan sistem pengairan di kampung berkenaan juga perlu perhatian pihak berkuasa berkaitan dan dilakukan secara berjadual.
Klik di sini untuk terus membaca