SHAH ALAM - Pengguna jalan raya diingatkan supaya mematuhi had laju ditetapkan, selain menjaga jarak selamat antara kenderaan terutama sewaktu memandu dalam keadaan hujan.
Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Jabatan Kesihatan Komuniti Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Kulanthaya KC Mani berkata, setiap had kelajuan yang dinyatakan adalah berdasarkan sistem keselamatan mengikut geografi kawasan berkenaan.
"Pastikan pemandu mematuhi had kelajuan kerana sistem jalan berkenaan direka bentuk untuk menampung kelajuan yang dinyatakan. Setiap had kelajuan merupakan had keselamatan untuk pengguna jalan raya.
"Jika had (kelajuan) ditetapkan pada tahap 70 kilometer sejam (kmj), maka ikutlah. Kalau bawa lebih had, jalan raya itu tidak lagi dapat bantu kerana ada banyak cabaran pada sistem jalan raya tersebut, jadi kemalangan tak boleh dielakkan,” katanya kepada Sinar Harian.
Kulanthaya turut mengingatkan pemandu untuk memberi perhatian terhadap jarak di antara kenderaan bagi mengelakkan impak tinggi ketika perlanggaran.
"Jika berlaku kecemasan (dan) kita tekan brek, kenderaan perlukan jarak ideal untuk berhenti. Contohnya, pada kelajuan 50kmj, bila tekan brek kereta akan berhenti selepas 27 meter. Jika kelajuan pada kadar 80kmj, kereta berhenti selepas 58 meter.
Jelas beliau, pemandu juga perlu memberi tumpuan kepada keadaan jalan yang berlubang dan lopak air.
"Tindakan mengelak masalah itu boleh mengakibatkan kemalangan,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca