SHAH ALAM - Keputusan berhubung isu empat ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bertindak lompat keluar daripada parti Bersatu akan ditentukan oleh Speaker Dewan Rakyat. Pakar Perlembagaan, Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan berhubung isu empat ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bertindak lompat keluar daripada parti Bersatu akan ditentukan oleh Speaker Dewan Rakyat.

Pakar Perlembagaan, Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, satu notis berhubung perkara tersebut perlu dikeluarkan kepada Speaker sebelum dapat membuat keputusan sama ada mahu kosongkan kerusi Parlimen atau tidak.

Ujar beliau, notis berkenaan boleh dikeluarkan oleh mana-mana ahli Dewan Rakyat termasuk daripada parti Bersatu sendiri.

"Kalau Bersatu nak keluarkan notis, maka mereka akan keluarkan notis mengatakan bahawa ada kekosongan kepada Speaker.

"Kalau Speaker memutuskan akan memberitahu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa berlaku kekosongan, maka baru akan berlaku kekosongan kepada kerusi tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sabtu lalu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan bahawa kepimpinan Bersatu Sabah keluar daripada parti, namun kekal dalam gabungan itu.

Sementara itu, Nik Ahmad Kamal berkata, isu lain yang perlu dilihat juga adalah dari segi bidang kuasa mahkamah itu sendiri.

Menurutnya, peruntukan Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa keputusan mesyuarat atau persidangan yang diputuskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak boleh dipertikaikan di mahkamah.

"Jadi itu, isu-isu yang mungkin akan berlaku jika kes ini dibawa ke mahkamah dan kita pun tidak tahu mahkamah mungkin mempunyai pandangan berlainan berhubung Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

"Mungkin mahkamah akan kata bahawa Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan ini berkaitan tafsiran perlembagaan, jadi mahkamah ada bidang kuasa walaupun perlembagaan kata keputusan Parlimen tidak boleh dicabar di mahkamah dan sebagainya.

"Jadi kita lihat bagaimana pendekatan akan diambil oleh mahkamah,” ujarnya.

Perkara 49A(2)(c) memperuntukkan seorang ahli Parlimen akan hilang kerusi Parlimennya sekiranya dia keluar daripada partinya ataupun berhenti menjadi ahli partinya.

Klik di sini untuk terus membaca