SHAH ALAM - Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada kerana musim tengkujuh yang membawa hujan lebat sekarang bukan sahaja boleh mencetuskan banjir besar, malah mengakibatkan kejadian tanah runtuh dan berisiko menyebabkan kemalangan jalan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada kerana musim tengkujuh yang membawa hujan lebat sekarang bukan sahaja boleh mencetuskan banjir besar, malah mengakibatkan kejadian tanah runtuh dan berisiko menyebabkan kemalangan jalan raya.

Justeru, penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir disarankan segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat tanda-tanda kegagalan tanah pada cerun atau mendapan jalan raya yang dikesan lebih awal.

Pensyarah Kanan Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Nor Shahidah Mohd Nazer berkata, makluman awal kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) amat penting supaya mereka dapat melaksanakan langkah keselamatan dengan lebih pantas.

"Jika perlu, cari jalan alternatif ketika berada di jalan raya untuk mengelak risiko terperangkap dalam banjir mahupun runtuhan tanah.

"Kawasan bercerun amat perlu dielakkan ketika musim hujan kerana risiko gelongsoran tanah,” katanya kepada Sinar Harian.

Akhbar ini pada Selasa melaporkan Pakar Meteorologi Pusat Penyelidikan Antartika Kebang-saan, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, fenomena luruan monsun yang dirangsang fenomena La Nina dan impak perubahan iklim Lautan Hindi (IOD) mampu menghasilkan hujan lebat serta banjir besar dalam tempoh beberapa hari ini terutama di Pantai Timur.

Dalam pada itu, ulas Nor Shahidah, hujan lebat berterusan lebih dua jam boleh dijadikan panduan awal bagi mengelak kawasan yang berisiko sama ada dinaiki air, runtuhan atau mendapan tanah.

"Apabila hujan turun dengan kerap, tanah akan mengalami pembasahan berterusan. Keadaan tanah yang basah terutama di kawasan cerun amat sinonim dengan pergerakan tanah akibat tarikan graviti.

"Keadaan ini akan diburukkan jika kawasan cerun mempunyai bebanan di atasnya, sebagai contoh pokok-pokok besar mahupun binaan seperti rumah dan jalan raya. Kejadian gelongsoran tanah selepas hujan amat berisiko kepada orang awam,” ujarnya.

Bagi kawasan lebih landai pula, kata Nor Shahidah, mendapan tanah boleh berlaku apabila tanah di subpermukaan mengalami penyusutan ke bawah akibat penyusupan air dari permukaan lalu membentuk zon benam.

"Keadaan ini menyebabkan banyak jalan raya rosak apabila air hujan berlebihan masuk ke bahagian telap air yang terletak di bahu jalan.

"Risiko ini amat tinggi kepada pengguna jalan raya. Limpahan air berterusan daripada hujan lebat bukan sahaja akan menyebabkan banjir kilat, malah merosakkan struktur jalan raya dan membahayakan nyawa pengguna,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye mengingatkan orang ramai dan ibu bapa agar tidak membawa anak-anak ke tempat berisiko tinggi semasa cuti sekolah kerana negara sudah memasuki musim tengkujuh.

Menurutnya, antara tempat tersebut ialah pantai, air terjun dan lokasi aktiviti air.

"Apabila merancang pergi bercuti, penilaian tentang tempat yang dikunjungi itu perlu dibuat dari segi risiko keselamatan."Orang ramai juga harus mengikuti laporan cuaca dari masa ke masa,” katanya.

Beliau pada masa sama turut berharap orang ramai dapat membudayakan aspek keselamatan.

"Saya berharap masalah seperti ini boleh ditangani terutama ibu bapa, ahli keluarga dan seluruh rakyat agar mereka tidak akan menjadi mangsa kepada kejadian tidak diingini,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca