Oh, I don't need to keep,
Making it about me,
Everybody feels like this at twenty-three,
I know I'm not unique,
But I'm a drama queen,
I don't why I'm surprised,
It's just a quarter life crisis,
Oh, oh-oh,
It's just a quarter life crisis.
Itu sebahagian lirik lagu Quarter Life Crisis nyanyian Taylor Bickett. Jangan tanya lebih lanjut siapa dia, saya tidak berapa tahu. Saya hanya suka membawang, atau mendengar bawangan orang lain tentang artis-artis lokal. Mempedulikan anak bangsa sendiri itu sesungguhnya lebih baik daripada menyibuk tentang hal orang lain.
Lirik lagu di atas membayangkan secara jelas gelodak jiwa anak muda yang berada pada lingkungan 20-an, peringkat usia di mana mereka melalui apa yang disebut sebagai ‘krisis sukuan hayat’.
Ada beberapa lagu popular lain menggunakan tema sama, contohnya, Why Georgia nyanyian John Mayer atau yang lebih awal lagi, Landslide nyanyian kumpulan Fleetwood Mac. Dalam filem pula, krisis sukuan hayat boleh disaksikan melalui The Graduate (1967), The Paper Chase (1973), St Elmo's Fire (1985), Bright Lights, Big City (1988), Reality Bites (1994), How To Be (2008) dan banyak lagi.
Isu sama turut diangkat secara tidak langsung dalam filem-filem tempatan, antaranya Muda Mudi arahan M Amin (1965) dan Jiwa Remaja yang diarahkan Datuk Jamil Sulong pada 1975.
Krisis ini juga muncul sebagai tema dalam banyak puisi, cerpen, novel dan drama. Di media baharu ia dapat dikesan melalui coretan, catatan, imej, video dan audio. Malah jika diamati, komen-komen yang dibuat di media sosial juga ada ketikanya hasil daripada gelojak jiwa mereka yang melalui krisis tersebut.
Saya pernah melalui krisis itu. Bill Gates, Joe Biden, Vasco da Gama, Hang Tuah, Pateh Karma Wijaya, Si Kitul, pun begitu. Melainkan seseorang itu tidak siuman, koma atau mati sebelum mencapai usia sukuan hayat, krisis itu sesungguhnya terpaksa dilalui sesiapa sahaja. Yang berbeza cuma bentuk dan cara.
Walaupun para ahli psikologi secara umumnya meletakkan lingkungan usia 20 hingga 30 tahun sebagai tempoh ‘paling panas’ bagi krisis tersebut, namun ada juga kes di mana ia bermula seawal dan berakhir lebih lewat. Semuanya bergantung pada persekitaran, pengalaman dan tahap kematangan seseorang.
Dalam bahasa yang mudah krisis ini terjadi apabila kita mula meninggalkan zaman ‘di bawah ketiak emak bapa’ bagi melangkah masuk ke ‘kehidupan sebenar’. Yang baru menamatkan pengajian akan menempuh alam pekerjaan, yang bercinta perlu berdepan tuntutan berumah tangga, yang belum berpunya harus berusaha dipunyai supaya tidak menjadi bahan penambah dosa kalangan kuat mengata.
Pada usia itu kebanyakan masalah perlu diatasi sendiri, manakala hak membuat keputusan pula tidak boleh lagi diserahkan kepada ibu bapa. Kenyataan itu menyebabkan mereka yang mengalami krisis tersebut berada dalam keadaan bimbang, resah, sunyi, keliru dan bingung.
Mereka perlu melangkah terus, tetapi was-was dalam memilih laluan. Setelah menemui jalannya, mereka bimbang dengan pelbagai kemungkinan menanti.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila mereka mula membandingkan diri dengan orang lain. Yang berasa dirinya lebih, akan mula berasa angkuh dan cenderung menunjuk-nunjuk, manakala yang menyedari kekurangan akan berasa rendah diri, tercicir dan terpinggir. Lebih malang jika anak muda itu mempunyai ibu bapa yang suka melebih-lebihkan anak orang.
Sebahagian anak-anak muda itu mungkin mengambil sikap membujur lalu melintang patah. Mereka bersedia berdepan dengan apa sahaja, dan dalam proses itu bersedia pula mencuba apa pun jua, termasuk corak kehidupan yang memudaratkan.
Sebahagian lain barangkali berkeadaan sebaliknya. Mereka enggan meninggalkan zaman kanak-kanak dan remaja, lalu memilih untuk terus berada di bawah naungan emak bapa walaupun harganya kadang-kadang harus dibayar dengan menebalkan cuping telinga.
Dalam dunia baharu sekarang ini, krisis sukuan hayat menjadi lebih parah berbanding dahulu. Hambatan kehidupan dengan segala kemajuannya meningkatkan darjah kecelaruan dan menyempitkan peluang membuat keputusan. Ia bukan sahaja tentang hendak terus sambung belajar, atau berhenti di tengah jalan lalu menjadi YouTuber atau TikToker, tetapi juga tentang hal-hal lain, termasuk seperti yang di bawah:
"Kalau saya pilih dia, hidup mungkin sukar sebab kami sebaya dan baru sama-sama bermula. Sebaliknya kalau pilih bos saya, kehidupan tentu sahaja lebih stabil, tapi masalahnya dia jauh lebih tua.”
Untuk rekod: ‘bos saya’ yang dimaksudkan itu bukan saya...#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai seorang setiausaha politik dan juga bekas wakil rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca