SUDAH hampir sebulan sejak 20 November lalu, kita menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2022. Dianggarkan keseluruhannya lebih lima bilion umat manusia menonton acara sukan yang paling popular di dunia. Pada hujung minggu ini, kita... Klik di sini untuk terus membaca

SUDAH hampir sebulan sejak 20 November lalu, kita menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2022.

Dianggarkan keseluruhannya lebih lima bilion umat manusia menonton acara sukan yang paling popular di dunia. Pada hujung minggu ini, kita bakal menyaksikan perlawanan akhir.

Sukan ini diberi wajah dan impak berbeza bila dianjurkan negara Qatar. Wang mengalir seperti air terjun. AS$10 bilion telah diperuntukkan untuk acaranya sahaja, sementara AS$290 bilion dibelanjakan untuk membina prasarana seperti stadium, hotel, lapangan terbang, pasar raya dan lebuh raya mulai 10 tahun lalu.

Walaupun sudah sedekad pemain bola sepak legenda David Beckham tidak turun padang, berjuta dolar telah dibayar kepadanya sebagai Duta Budaya Qatar.

Bayaran tinggi juga diperuntukkan kepada penyanyi Korea, Jungkook dari BTS sebagai penyanyi Asia pertama terpilih untuk menyanyikan lagu rasmi acara itu.

Apakah tujuan Qatar mencurahkan bajet tertinggi dalam sejarah penganjuran acara Piala Dunia 2022? Apabila tamat kejuaraan, tujuh stadium bola sepak dan beratus-ratus hotel untuk acara sukan itu akan kosong seperti pernah dialami negara-negara penganjur lain.

Tetapi menurut pihak Qatar, sektor pelancongan, pengangkutan dan pembinaan akan terus menjana pulangan. Jika diukur dari sudut material, Qatar tak buat untung. Namun, ia beruntung dari sudut spiritual kerana mengetengahkan agama Islam kepada manusia.

Dunia terpegun apabila selebriti Morgan Freeman muncul mencuri perhatian pada acara pembukaan. Beliau berdialog dengan Ghanim Al-Muftah, seorang usahawan dan dermawan Qatar yang kurang upaya.

Dialog di antara mereka sungguh bermakna. Apabila Morgan Freeman bertanya, kalaulah ada caranya, bagaimanakah umat manusia yang berlainan budaya dan agama serta berpecah dapat hidup bersama? Ghanim menjawabnya melalui ayat al-Quran surah al-Hujurat ayat 13. "Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.”

Apabila Morgan Freeman bertanya lagi, apakah cara untuk mengekalkan kebersamaan ini? Jawab Ghanim, "Dengan toleransi dan saling hormat menghormati. Dengan cara ini kita boleh hidup bersama. Kita adalah satu kabilah. Bumi ini pula adalah khemah kediaman.”

Kemanusiaan. Inilah fokus utama Qatar dalam menganjurkan sukan ini. Di sebalik kempen anti-Qatar oleh pihak Barat sebagai penganjur kerana mengharamkan alkohol dan budaya LGBT, ia menghidupkan suasana kedamaian Islamik yang menghormati tetamu.

Sudah menjadi budaya orang Arab yang bermewah bila meraikan tetamu. Para pelancong yang datang dibelanja makan dan minum dengan mewah. Tidak cukup tempat tinggal, ada rakyatnya menyediakan kapal pelayaran dan khemah mewah. Malah, ada yang mengajak pelancong untuk datang ke rumah mereka menyaksikan bola sepak menerusi home theatre.

Warga Qatar tidak lupa berdakwah, membuka masjid agar pelancong dapat menyaksikan rumah ALLAH, menyarungkan hijab kepada wanita dan memperkenalkan budaya Islam. Kerana berasa bahagia dan gembira, beratus pelancong tertarik mengucap syahadah.

Barangkali, ini yang perlu kita ajarkan kepada masyarakat belum Islam di negara kita tidak kira sama ada di pejabat atau tinggal setaman. Banyak juga hal-hal tidak manis kita pamerkan kepada masyarakat belum Islam. Sebagai individu kena perbaiki imej ini.

Bila bersedekah, jangan diteliti warna kulit. Berikan kepada yang miskin dan memerlukan. Bila ada jambu dan manggis dari kampung, berikan kepada keluarga Encik Gopal, jiran sebelah rumah. Bangun dan berikan tempat duduk di dalam tren kepada nyonya sebagai menghormati orang tua.

Isu perkauman dan Islamofobia nampaknya membahang kembali. Political will tidak boleh menyelesaikannya kerana yang meniup rasa curiga dan sakit hati ini adalah orang politik sendiri. Sebaliknya kita perlu ada social will - sesama rakyat, business will - sesama peniaga dan religious will - di antara pelbagai agama.

Sebagai permulaan, semua agama melarang meminum alkohol dan amalan LGBT sepertimana Qatar menghalangnya. Ustaz atau tokoh agama mana yang boleh lantang buka mulut menyatakannya?

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca