TIGA menteri besar daripada negeri-negeri dipimpin Perikatan Nasional (PN) pastinya ‘ralat’ dengan keputusan kerajaan negeri yang enggan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pengerusi... Klik di sini untuk terus membaca

TIGA menteri besar daripada negeri-negeri dipimpin Perikatan Nasional (PN) pastinya ‘ralat’ dengan keputusan kerajaan negeri yang enggan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sindiran itu turut disampaikan kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar baru-baru ini.

Tegasnya, hal itu susulan Ahmad Said mendakwa faktor kemenangan besar PN di Terengganu, Kelantan dan Kedah sebenarnya turut dibantu naratif politik fitnah.

Ujar beliau, dengan kejayaan PN terutama Pas menyapu bersih semua kerusi Parlimen di Kelantan dan Terengganu serta menguasai 14 daripada 15 kerusi Parlimen Kedah, PN pastinya menyesali keputusan retorik enggan mengadakan PRN atas alasan ancaman banjir.

Ahmad Said

"Politik sekarang sudah kembali zaman lapuk, tidak lagi berasaskan politik idea tetapi siapa banyak dana mereka yang akan menang.

"Bayangkan dengan kerajaan Terengganu meluluskan peruntukan hampir RM143 juta untuk agihan bantuan rakyat pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) November lalu, pastinya sebahagian besar dana itu digunakan bagi tujuan meraih undi PRU15 dan PRN negeri tahun hadapan.

"Saya percaya, Menteri Besar Terengganu dan dua menteri besar kerajaan PN pasti menyesal tidak mengadakan PRN serentak dengan PRU15 sebab ternyata strategi politik fitnah dan tabur wang dimainkan mereka menjadi,” ujarnya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau mengulas peluang kombinasi jajaran baharu BN dan PH untuk merampas negeri-negeri ditadbir PN termasuk Terengganu pada PRN enam negeri yang dijangka diadakan tahun hadapan.

Sebelum ini, tiga kerajaan negeri dipimpin PH iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang dan tiga lagi ditadbir PN memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan PRN yang kini berbaki penggal pentadbiran tidak sampai lima bulan.

Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu melihat faktor pembentukan Kerajaan Perpaduan membabitkan BN di peringkat Pusat juga tidak banyak membantu usaha BN-PH untuk memenangi tiga kerajaan negeri dipegang PN kini.

"Cabaran mendepani PRN tahun hadapan sangat besar kerana kita berdepan kesukaran untuk memahamkan pengundi berusia 18 tahun ke atas terhadap kepentingan pemilihan sebuah kerajaan yang menekankan politik idea berbanding politik fitnah dan wang.

"Jika budaya politik persepsi dan wang terus dimainkan PN pada PRN enam negeri, saya bimbang koalisi itu terus menguasai negeri berkenaan dengan pembentukan kerajaan Pusat melibatkan BN pun tidak akan meningkatkan peluang BN kelak,” tegasnya.

PERALIHAN UNDI

Sementara itu, Penyelidik Kanan O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi menjangkakan sentimen peralihan sokongan pengundi BN kepada PN akan terus berlaku sekiranya keputusan PRU15 tertangguh di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman tempoh hari diambil kira.

Jelasnya, jumlah undi diterima BN-PH di dua kerusi PRU15 tertangguh itu memberi gambaran kasar bahawa hanya 25 peratus pengundi BN menerima kerjasama BN-PH berdasarkan Parlimen Padang Serai, manakala 46.8 peratus pengundi PH menerima kerjasama dua koalisi itu berdasarkan keputusan DUN Tioman.

Anis Anwar Suhaimi

"Pengundi BN berbaki 75 peratus dan 53.2 peratus pengundi PH dijangka belum dapat menerima kerjasama di antara PH-BN setakat ini.

"Penerimaan rendah oleh pengundi BN boleh ditafsirkan sebagai kekecewaan pengundinya terhadap keputusan parti yang mengadakan kerjasama politik pasca PRU15.

"Disebabkan itu, pengundi BN masih dipujuk dan cuba diyakinkan bahawa kerjasama PH-BN adalah pilihan terbaik demi kepentingan orang Melayu dan pembangunan ekonomi negara.

"Sekiranya naratif dibina masih sukar diterima, dijangkakan lebih ramai pengundi Melayu protes dalam PRN seterusnya, sekali gus mengulang pola undian kaum Melayu BN di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman,” jelas Anis Anwar.

Klik di sini untuk terus membaca