SHAH ALAM - Pakar ekonomi menyenaraikan 10 langkah penting yang perlu dipandang serius oleh kerajaan bagi menangani kos sara hidup yang semakin tinggi. Menurut mereka, perkara tersebut hendaklah dilakukan dengan segera agar tiada rakyat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar ekonomi menyenaraikan 10 langkah penting yang perlu dipandang serius oleh kerajaan bagi menangani kos sara hidup yang semakin tinggi.

Menurut mereka, perkara tersebut hendaklah dilakukan dengan segera agar tiada rakyat terbeban terhadap peningkatan harga barangan atau makanan terutama golongan yang tidak berkemampuan.

Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman berkata, antara langkah utama yang perlu dilakukan Kerajaan Perpaduan adalah mengkaji semula pendapatan rakyat.

Menurut beliau, ini kerana meskipun pekerja merupakan graduan universiti dan mempunyai kemahiran tinggi, namun gaji yang ditawarkan oleh kebanyakan syarikat adalah di tahap yang rendah.

"Kerajaan perlu melihat dari sektor pekerjaan kerana pendapatan yang dijana oleh rakyat kebanyakannya adalah dari sektor ini. Kerajaan perlu meningkatkan pendapatan rakyat supaya selaras dengan kos sara hidup.

"Kalau kita lihat Singapura ada satu sistem gaji dinamik yang mana mereka memastikan bahawa walaupun pekerja berada pada tingkat kemahiran yang rendah, namun, mereka mampu berikan gaji yang lebih tinggi dengan peningkatan kerja yang progresif,” katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Harian pada Rabu.

Muhammad Daaniyall turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula masalah yang dihadapi oleh pengeluar makanan dan produk pertanian sehingga menyebabkan kenaikan harga.

"Ini penting kerana kita tidak mahu kerajaan hanya menekan kepada pengeluar untuk turunkan harga barangan. Kita kena faham apa masalah yang dihadapi peniaga ini dan lihat cabaran yang mereka hadapi.

"Kebanyakan daripada input pertanian adalah diimport. Apabila import sebenarnya mereka menghadapi tekanan harga. Jadi, jika barang import ini kos tinggi, maka ia beri kesan kepada pengeluaran mereka,” ujarnya.

Selain itu, tambah beliau, kerajaan juga perlu memberikan bantuan kepada pengeluar produk makanan atau pertanian kerana kebanyakan dari mereka adalah merupakan pekebun kecil.

"Selain daripada kaji dan mengetahui masalah, kerajaan perlu beri latihan kepada golongan ini untuk menggunakan teknologi bagi meningkatkan produktiviti pertanian. Oleh itu, secara tidak langsung dapat menstabilkan harga barang dan makanan dalam negara,” ujarnya.

Bagi jangka masa panjang pula, beliau mencadangkan agar kerajaan dapat melakukan intervensi lebih awal dengan kolaborasi bersama pihak universiti bagi menarik minat golongan muda turut serta dalam sektor pertanian.

Ini kerana Muhammad Daaniyall menjelaskan bahawa golongan itu kurang berminat dalam menceburi bidang tersebut sehinggakan sektor tersebut mempunyai kekurangan dari segi tenaga.

"Setelah penglibatan anak muda, kita tidak lagi boleh buat pertanian secara konvensional, jadi kita perlu menjenamakan semula pertanian supaya ia menjadi tarikan lebih ramai golongan muda.

"Kaedah ini sangat penting. Ini kerana kita ramai graduan, jadi mereka boleh masuk ke sektor pertanian. Ia perlu dilakukan bagi melahirkan lebih ramai dalam bidang ini agar pada masa hadapan kita tiada masalah,” katanya.

Pakar ekonomi lain yang juga Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, kerajaan perlu mempunyai kerangka jelas dalam membendung masalah kos sara hidup tinggi.

Jelasnya, kerangka yang jelas perlu dilakukan bagi memastikan harga barangan yang diturunkan tersebut tidak membebankan semua pihak terlibat iaitu pengeluar, penjual dan pembeli.

"Sistem kawal harga ini sudah terlalu lazim. Kita sudah buat perkara ini bertahun-tahun lamanya. Sebenarnya, ia tidak menyelesaikan masalah dan yang akan dapat masalah adalah pengeluar.

"Sehingga sekarang saya berani mengatakan bahawa kita tiada kerangka yang jelas. Apabila tidak ada, kita sekarang main tampung-tampung sahaja dan ada koyak sana dan sini. Kita perlu cari jalan yang baru.

"Pasaran perlulah sihat dan adil. Ini elemen penting yang perlu ada pada negara yang ingin maju. Jangan ada kartel,” katanya.

Setelah mempunyai kerangka yang jelas, Noor Azlan mencadangkan agar satu penilaian secara bersasar dapat dilakukan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan secara menyeluruh.

"Jangan rasa penilaian ini merugikan. Jangan ambil masa yang lama untuk menilai seperti sebelum ini. Ambil masa sekejap sahaja. Isu kenaikan harga barang ini sudah terlalu lama. Saya nampak bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat tegas untuk mengawal perkara ini. Jadi, ini perlu dilakukan,” katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan agar kerajaan perlu memastikan produk makanan dan pertanian berada dalam pasaran yang kompetitif iaitu mengadakan tender secara terbuka selain menyelesaikan kartel yang berlaku.

"Ini supaya tiada pihak yang memonopoli. Apabila adanya kompetitif, harga barangan boleh menjadi lebih murah berbanding pihak yang hanya memonopoli,”ujarnya.

Tambah Noor Azlan, bagi jangka masa pendek pula, kerajaan boleh menyedia dan memberikan bantuan secara bulanan kepada golongan yang sangat memerlukan.

"Kerajaan perlu mencari dan melihat dengan teliti siapa yang perlu dibantu. Bantuan ini tidak boleh diberi secara menyeluruh. Bayangkan kalau beri subsidi, nanti orang yang kaya pun akan terima.

Dalam masa sama, Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun berkata, kerajaan perlu tegas dalam mengenakan tindakan yang sewajarnya kepada golongan yang memonopoli barangan atau makanan.

Menurutnya, ia bagi menghapuskan sekatan-sekatan tersebut dari terus berlaku yang hanya mendatangkan keuntungan besar kepada segelintir pihak.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu menyediakan polisi-polisi yang berkesan bagi memberikan galakkan kepada bekalan tempatan untuk menggantikan kekurangan bekalan antarabangsa.

"Dengan demikian, masalah kos sara hidup tinggi baru dapat ditangani dengan lebih asas dan dalam jangka panjang. Bukan semata-mata ditangani dalam jangka masa pendek dengan subsidi-subsidi yang seringkali disalahgunakan,” ujarnya.

INFO

10 langkah cadangan

1) Kaji semula pendapatan rakyat

2) Kaji masalah pengeluar makanan dan produk pertanian yang menyebabkan kenaikan harga barangan, makanan

3) Beri bantuan kepada golongan pengeluar produk makanan atau pertanian

4) Berkolaborasi bersama pihak universiti bagi menarik minat golongan muda turut serta dalam sektor pertanian

5) Kerajaan perlu mempunyai kerangka jelas dalam membendung masalah kos sara hidup tinggi.

6) Buat penilaian secara bersasar sebelum laksana secara keseluruhan

7) Pastikan produk makanan dan pertanian berada dalam pasaran yang kompetitif

8) Menyedia dan memberikan bantuan secara bulanan kepada golongan yang sangat memerlukan

9) Kenakan tindakan kepada mereka yang terlibat dengan memonopoli barangan, makanan

10) Buat polisi untuk bekalan tempatan menggantikan kekurangan bekalan antarabangsa

Klik di sini untuk terus membaca