NILAI-nilai murni seperti amanah, jujur, ikhlas, adil, telus, rajin, cekap, dedikasi, tekun, bertanggungjawab dan banyak lagi nilai moral baik harus menjadi teras penting dalam kita melaksanakan tata kelola serta tadbir urus negara. Tidak... Klik di sini untuk terus membaca

NILAI-nilai murni seperti amanah, jujur, ikhlas, adil, telus, rajin, cekap, dedikasi, tekun, bertanggungjawab dan banyak lagi nilai moral baik harus menjadi teras penting dalam kita melaksanakan tata kelola serta tadbir urus negara.

Tidak kira di peringkat mana, sama ada dalam keluarga, perniagaan sendiri, syarikat besar, pentadbiran daerah, negeri, mahupun memimpin negara. Semuanya perlu dilaksanakan dengan memberi penekanan kepada nilai-nilai moral yang baik.

Kebiasaannya dalam sektor awam mahupun swasta, kejayaan atau pencapaian diukur berdasarkan ukuran ekonomi. Perlu ada jumlah atau kuantiti menunjukkan keuntungan syarikat atau keberhasilan dalam sesuatu usaha.

Sambil kita tidak mengetepikan kepentingan ukuran sebegini, cuma jangan sampai ia menjadi matlamat akhir sehingga kita sanggup meminggirkan prinsip-prinsip tata kelola yang diperjuangkan hanya semata-mata untuk meraih keuntungan atau memenuhi kepentingan peribadi.

Yang penting adalah untuk kita turut mengambil kira sumbangan kepada pencapaian atau kejayaan itu tadi dicapai kerana ramai yang bertanggungjawab melaksanakan tugas mereka dengan penuh dedikasi, amanah, jujur, ikhlas dan rajin.

Malah, jika kita meneliti definisi tata kelola yang baik pun, ia akan memberi kita kefahaman bahawa ia adalah satu proses - apa juga tindak-tanduk dalam institusi awam atau swasta itu dilakukan dengan menjaga kepentingan sumber dan menjamin tidak berlaku penyalahgunaan kuasa dan rasuah untuk mencapai matlamat akhir sambil menghormati undang-undang.

Untuk proses itu dicapai dengan baik, sudah tentu kita memerlukan orang yang mempunyai nilai-nilai baik. Sebab itu, kolum kali ini memberi penekanan kepada nilai-nilai murni sebagai teras penting dalam kita melaksanakan dan mencapai tata kelola yang baik.

TANGGUNGJAWAB PEMEGANG JAWATAN

Ketika saya menyusun dan menyunting buku Integriti Politik di Malaysia: Ke Arah Kefahaman Yang Lebih Sempurna pada 2007, penekanan kita berikan kepada nilai-nilai murni dalam kita mewujudkan sebuah masyarakat berintegriti.

Malah, dalam bab dua buku tersebut yang ditulis oleh Tan Sri Mohd Anuar Zaini, dengan tajuk Kepimpinan: Ujian Terhadap Amanah dan Tanggungjawab, beliau mengingatkan kita kepada ucapan sulung Tun Abdullah Ahmad Badawi atas nama Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 3 November 2003.

Beliau dalam ucapan tersebut mengingatkan kita bahawa tanggungjawab seseorang pemegang jawatan itu akan dinilai oleh rakyat dan lebih daripada itu oleh ALLAH SWT.

Kata Tun Abdullah, "Bahawa jawatan dan kuasa adalah ujian daripada ALLAH SWT. Jika tanggungjawab ini dapat disempurnakan secara amanah, jujur, cekap dan adil, akan berjayalah seseorang hamba dalam menghadapi ujian Ilahi, di sebaliknya kegagalan memenuhinya akan menjadi satu tanggungan berat untuk dihadapi baik di dunia mahupun di akhirat.”

Sementara itu, Mohd Anuar turut menambah dalam tulisannya - "Seseorang pemimpin wajib bersifat amanah lagi telus, bersikap adil lagi saksama.

Seseorang pemimpin wajib memperlihatkan sifat-sifat kejujuran, kerajinan, ketekunan dan kesungguhan. Pemimpin bertanggungjawab menjadi peneraju oragnisasi dan penggerak kepada anggota organisasi.

Pemimpin harus meletakkan dirinya sebagai mercu tanda-menjadi contoh teladan pengikut.”

Tulisan tersebut mengingatkan saya kepada apa yang disimpulkan oleh Paul H Douglas, bekas Senator Amerika Syarikat (AS) dari Illinois di awal tahun 1950-an, selepas beliau mencadangkan beberapa mekanisma berguna untuk mempertingkatkan lagi integriti dan etika moral kepimpinan awam di AS -

"Lebih penting daripada usaha-usaha pengislahan institusi yang saya telah cadangkan ialah perlunya untuk kita memiliki satu set nilai moral (di peringkat individu) yang mendalam, terkandung di dalam perkataan-perkataan seperti kejujuran, bercakap benar, pengawasan dan belas kasihan (kerana) negara hanyalah sebuah kumpulan individu.”

Benarlah seperti yang beliau sarankan, sesebuah negara diwujudkan oleh sebuah kumpulan individu.

Untuk sesebuah negara berjaya menentang rasuah dan mewujudkan masyarakat berintegriti, pra syarat utamanya adalah individu-individu dalam negara itu harus terlebih dahulu memiliki satu set nilai-nilai moral yang mendalam.

Persoalannya, siapa yang bertanggungjawab untuk mendidik masyarakat?

Ini tanggungjawab kita semua. Pemimpin, ibu bapa dan guru harus menjadi contoh teladan terbaik.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ialah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca