STRASBOURG - Parlimen Eropah pada Selasa memecat salah seorang naib presidennya di tengah-tengah skandal rasuah yang dikaitkan dengan Qatar yang merupakan tuan rumah Piala Dunia 2022 ketika institusi itu sedang berusaha membendung skandal... Klik di sini untuk terus membaca

STRASBOURG - Parlimen Eropah pada Selasa memecat salah seorang naib presidennya di tengah-tengah skandal rasuah yang dikaitkan dengan Qatar yang merupakan tuan rumah Piala Dunia 2022 ketika institusi itu sedang berusaha membendung skandal tersebut.

Penyingkiran anggota sosialis dari Greece, Eva Kaili yang memegang jawatan sebagai salah seorang daripada 14 Naib Presiden itu dibuat anggota Parlimen Eropah (MEP) berdasarkan keputusan 625-1 undi.

Bekas penyampai berita TV berusia 44 tahun itu kini ditahan di penjara Brussels ketika anggota Parlimen yang bersidang di Strasbourg cuba untuk mengelakkan diri masing-masing daripada terpalit skandal menggemparkan tersebut.

Presiden Parlimen Eropah, Roberta Metsola menyarankan proses undian itu dilakukan selepas mencapai persetujuan bersama pemimpin kumpulan politik institusi berkenaan.

Roberta Metsola

Pada Rabu, hakim di Belgium akan memutuskan sama ada untuk mengekalkan Kaili bersama tiga individu lain di bawah tahanan sementara menunggu perbicaraan.

Wanita tersebut ditahan pada minggu lalu ketika siri serbuan yang dilakukan penyiasat rasuah di Brussels ke atas kediaman dan pejabat beberapa MEP, pembantu serta sekutu mereka.

Pendakwa raya Brussels mendakwa sebanyak 600,000 euro (RM2.8 juta) ditemui di rumah salah seorang suspek, 150,000 euro (RM706,500) di sebuah flat milik MEP dan 750,000 euro (RM3.5 juta) dalam beg pakaian di sebuah bilik hotel.

Sebahagian daripada 'beg mengandungi wang tunai' turut ditemui di kediaman Kaili hingga seorang hakim membuat kesimpulan rahsia besar wanita itu akhirnya terbongkar, sekali gus menyebabkan beliau tidak layak mendapat imuniti daripada sebarang pendakwaan.

Polis Belgium menunjukkan wang kertas dalam nilai 200 euro, 50 euro, 20 euro dan 10 euro yang dirampas dalam siri serbuan pada minggu lalu.

Sumber kehakiman Belgium memberitahu penyiasat percaya 'tokoh' yang mewakili monarki di Asia Barat 'memberi sejumlah wang tunai dan memberi hadiah' kepada ahli politik Eropah untuk memburukkan imej negara tersebut.

"Pendakwa raya mengesyaki sebuah negara Teluk telah mempengaruhi keputusan ekonomi dan politik Parlimen Eropah selama beberapa bulan," jelasnya.

Susulan itu, media tempatan secara melulu menamakan negara Teluk itu sebagai Qatar.

Tuduhan itu telah mencalarkan imej Doha yang sering menjadi perantara dalam penyelesaian diplomatik negara antarabangsa selain menjadi pembekal utama sumber tenaga ke Eropah.

Qatar dalam satu kenyataan menafikan sekeras-kerasnya penglibatan mereka dalam skandal rasuah tersebut.

Kaili ketika bertemu wakil kerajaan Qatar ketika mengadakan lawatan ke negara itu.

"Sebarang dakwaan salah laku yang dilemparkan ke atas Doha jelas ia adalah maklumat yang salah," kata jurucakapnya.

Kaili dikatakan mengadakan kunjungan ke Qatar sebelum acara Piala Dunia berlangsung dan memainkan peranan utama untuk mempertahankan hak buruh selain turut mempertahankan usaha Doha bagi mendapatkan pengecualian visa terhadap rakyat negara Teluk berkenaan.

TAK BERSALAH?

Ketika ini, beberapa MEP sudah bersiap sedia dengan lebih banyak 'pendedahan' mengejutkan.

"Saya bimbang apa yang kita lihat sekarang baharu 'sedikit' dan mungkin ada banyak lagi skandal yang akan terbongkar," kata anggota sosial demokrat Jerman, Rene Repasi.

Ketika serbuan itu, Kaili adalah salah seorang daripada enam suspek yang ditahan, empat daripadanya berdepan tuduhan terlibat organisasi jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram manakala dua individu termasuk Setiausaha Agung Gabungan Kesatuan Perdagangan Antarbangsa (ITUC), Luca Visentini dibebaskan.

"Sekiranya saya berdepan tuduhan tambahan, saya tetap akan menafikannya kerana saya sememangnya tidak bersalah," ujar Visentini.

Parlimen Eropah dijangka meluluskan teks kedua bagi menuntut lebih banyak ketelusan untuk mengekang budaya rasuah dalam institusi Eropah yang akan dibahaskan dan melalui proses undian pada Khamis.

Sementara itu, peguam Kaili menegaskan anak guamnya tidak bersalah selepas wanita itu diberkas pada Jumaat lalu.

Ursula

"Beliau tiada kaitan dengan skandal rasuah yang dikaitkan dengan Qatar," tegas Michalis Dimitrakopoulos.

Ketika disoal sama ada sebarang wang tunai ditemui di rumah kliennya, Dimitrakopoulos menyatakan beliau tidak mengesahkan atau menafikan perkara itu.

"Ia tidak boleh didedahkan kepada umum. Saya tidak tahu jika ada wang tunai atau berapa jumlah yang ditemui," tambahnya lagi.

Siri serbuan turut dilakukan di Itali.

Sejak Jumaat lalu, sumber IT melibatkan 10 kakitangan Parlimen telah dibekukan bagi mengelakkan sebarang kehilangan data yang diperlukan untuk membantu siasatan tersebut. - AFP

Klik di sini untuk terus membaca