SHAH ALAM - Komitmen ahli-ahli parlimen untuk menyokong usul undi percaya bagi menentukan keabsahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi bukti betapa ahli-ahli politik benar-benar mahu bekerja untuk rakyat.
Penyarah Pusat Komunikasi dan Media UiTM, Ts Nurul Aishah Ab Raman berkata, sudah tiba masa untuk Malaysia terus melangkah ke hadapan tanpa risiko kembali kepada kemelut politik yang tidak berkesudahan.
Justeru menurutnya, peranan perlu dimainkan oleh ahli-ahli parlimen dan peluang wajar diberikan kepada Anwar tanpa sebarang senario buruk yang sengaja diciptakan demi kepentingan politik.
"Kalau berlaku senario sama (kemelut politik), rakyat akan marah. Kita mahu ke depan..Pada tahun 2023, dengan isu ekonominya..kita berilah peluang. Sebenarnya ini terletak pada ahli politik sendiri.
"Jika berlaku tidak seperti yang diinginkan saya rasa kita tahu, kita akan kembali dalam kemelut politik yang tidak berkesudahan. Dalam polemik yang macam kita lihat 22 bulan sebelum ini..sampai bila?
"Kamu kata kamu bekerja untuk rakyat, sekarang masa untuk buktikan. Kerja untuk rakyat bukan untuk untuk kepentingan diri," katanya menerusi Program Sinar Live disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Khamis.
Program bertajuk 'Menjelang Usul Undi Percaya PM' itu turut menampilkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii sebagai panelis dan dihoskan oleh Hazwan Mokhtar.
Pada masa sama, Nurul Aishah berkata, memorandum persefahaman (MoU) yang bakal dimetrai antara parti-parti dalam kerajaan adalah langkah positif demi memberi jaminan kestabilan politik negara.
"Satu langkah perlu diambil kerana mahu elak perkara luar jangka. Dengan adanya MoU, ia dapat mengekang berlakunya perkara-perkara 'liar' dilakukankan ahli-ahli parlimen berlaku.
"Ini selari dengan matlamat untuk wujudkan kestabilan demi kepentingan negara berbanding kepentingan parti.
"Jika ada yang tidak hadir kerana mahu boikot dan sebagainya, pada saya mereka tidak hormat kepada Parlimen itu sendiri. Hari partama Parlimen dibuka sudah ada agenda, notis sudah dikeluarkan dan dimohon untuk kehadiran. Kalau tak datang kerja impaknya apa?,"katanya.
Satu usul undi percaya akan dibentangkan dalam sidang Parlimen pada 19 Disember ini.
Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 itu akan berlangsung selama dua hari dengan antara agenda utama ialah pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan usul undi percaya terhadap kepemimpinan Anwar.
Klik di sini untuk terus membaca