SHAH ALAM - Kepimpinan dalam badan berkanun persekutuan, syarikat menteri kewangan (diperbadankan), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seharusnya diberikan kepada individu yang mempunyai... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kepimpinan dalam badan berkanun persekutuan, syarikat menteri kewangan (diperbadankan), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seharusnya diberikan kepada individu yang mempunyai kepakaran serta boleh memajukannya.

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Tan Sri Wan Mahmood Pa'wan Teh bagaimanapun berkata, sekiranya terdapat ahli politik yang mempunyai kemampuan, mereka boleh menjawat jawatan sebagai pengerusi dan ahli lembaga pengarah berkenaan.

"Mesti beri kepada orang yang ada kemampuan untuk menjayakan GLC. Ini disebabkan GLC ini kepunyaan rakyat dan mereka berhak untuk melihat agar tiap-tiap GLC itu maju.

"Bukannya ia sebagai upahan kepada orang politik. Itu tidak boleh,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Ujar Wan Mahmood, dengan melantik individu yang mempunyai kepakaran, ia seterusnya membolehkan organisasi itu terus maju dan memperoleh keuntungan.

"Saya mengharapkan GLC ini semua menunjukkan kemajuan dan meyakinkan rakyat bahawa pemimpinnya dapat memberi rakyat apa yang diharapkan,” jelas beliau.

Selain itu, gaji yang ditawarkan juga perlu munasabah dan tidak keterlaluan.

"Jangan keterlaluan dan tidak seimbang dengan apa syarikat-syarikat lain bayar kepada pemimpinnya. Sudah ada kepakaran, gaji dia mesti seimbang dengan apa yang diberi,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD), Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan melantik mereka yang tidak lagi aktif dalam bidang politik untuk menjawat jawatan dtersebut.

Katanya, mereka yang tidak lagi aktif itu mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu yang sesuai dengan organisasi berkenaan.

"Katalah pengalaman dia sebagai seorang akauntan dan pernah berkhidmat di syarikat-syarikat yang bagus, itu tidak ada masalah.

Dengan syarat, dia tidak boleh lagi aktif dalam bidang politik. Maksudnya dia tidak boleh pegang apa-apa jawatan politik,” katanya.

Abdul Halim menambah, dengan melantik individu yang mempunyai kepakaran, ia seterusnya dapat membantu kerajaan dengan menaikkan organisasi tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar tidak ada lagi lantikan politik yang menjawat jawatan terbabit.

Katanya, jika perkara berkenaan dilakukan oleh kerajaan pimpinan Anwar, ia perlu dilaksanakan secara konsisten.

"Katalah ada kerajaan baru beberapa tahun akan datang, dipinda pula dan dibolehkan orang politik masuk. Itu (kita) tidak mahu,” ujarnya.

INFO

Antara pemimpin politik pegang jawatan dalam GLC

1) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)

Pengerusi PTPTN

Apli Yusoff

(Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus)

2) UDA Holdings Bhd (UDA)

Pengerusi UDA

Datuk Norliza Abdul Rahim

(Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia)

3) Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA)

Pengerusi RISDA

Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif

(Ketua UMNO Bahagian Jempol)

4) Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB)

Pengerusi Bukan Eksekutif SPNB

Datuk Mohd Nizar Zakaria

(Ketua UMNO Bahagian Parit)

5) Amanah Raya Bhd (AmanahRaya)

Pengerusi AmanahRaya

Datuk Ramli Mohd Nor

(Ahli Parlimen Cameron Highlands - UMNO)

6) Indah Water Konsortium (IWK)

Pengerusi IWK

Ahmad Johnie Zawawi

(Ahli Parlimen Ingai (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu)

7) Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (FELCRA)

Pengerusi FELCRA

Datuk Ahmad Jazlan Yaakub

(Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan)

8) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)

Pengerusi LKIM

Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Pemimpin Bersatu)

9) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA)

Pengerusi MADA

Ahmad Tarmizi Sulaiman

(Ahli Parlimen Sik - Pas)

10) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)

Pengerusi FAMA

Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh

(Pemimpin Bersatu)

11) Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM)

Pengerusi LPNM

Datuk Dr Sahruddin Jamal

(Pengerusi Bersatu Johor)

12) Lembaga Pertubuhan Ladang (LPP)

Pengerusi LPP

Datuk Che Abdullah Mat Nawi

(Bekas pemimpin Pas)

13)Majlis Getah Malaysia (MRC)

Pengerusi MRC

Dr Daroyah Alwi

(Ketua Wanita Parti Bangsa Malaysia)

14)Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)

Pengerusi PAAB

Abdul Latiff Abdul Rahman

(Ahli Parlimen Kuala Krai - Pas)

15)Tenaga Nasional Berhad (TNB)

Pengerusi TNB

Datuk Seri Hasan Arifin

(Bekas Ahli Parlimen Rompin -UMNO)

16)Institut Koperasi Malaysia (IKM)

Pengerusi IKM

Rosli Mat Hassan

(Pemimpin Bersatu)

17)Majlis Amanah Rakyat (MARA)

Pengerusi MARA

Datuk Seri Azizah Mohd Dun

(Ketua Srikandi Bersatu Sabah)

18) Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA)

Pengerusi PR1MA

Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya

(Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO)

19)Padi beras Nasional Berhad (BERNAS)

Pengerusi BERNAS

Datuk Seri Rohani Abdul Karim

(Bekas Ahli Parlimen Batang Lupar - Parti Pesaka Bumiputera Bersatu)

20)Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)

Pengerusi LPPKN

Datuk Suhaimi Mohd Ghazali

(Ketua Bersatu Bahagian Sepang)

21)Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju)

Pengerusi Yayasan Peneraju

Datuk Dr Abd Latiff Ahmad

(Pemimpin Bersatu)

Klik di sini untuk terus membaca