APABILA Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri memilih menjadikan undi penentuan keabsahan beliau sebagai usul utama kerajaan melalui sidang Parlimen pertama pada 19 November ini, ia isyarat jelas beliau mahu memastikan... Klik di sini untuk terus membaca

APABILA Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri memilih menjadikan undi penentuan keabsahan beliau sebagai usul utama kerajaan melalui sidang Parlimen pertama pada 19 November ini, ia isyarat jelas beliau mahu memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan terjamin.

Setelah mengakhiri penantian 24 tahun menjadi Perdana Menteri, Anwar memahami Pakatan Harapan (PH) wajar mengikat sokongan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan (Warisan) dan parti-parti kecil termasuk Bebas sehingga akhir penggal pentadbiran kerajaan baharu ini.

Ini kerana beliau pastinya tidak mahu mengalami nasib serupa seperti dua bekas Perdana Menteri terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Perikatan Nasional (PN) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (UMNO-BN) yang sekadar menjadi ketua kerajaan bagi tempoh singkat.

Justeru, dengan termeterainya satu perjanjian khas mengukuhkan sokongan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan pada Jumaat, langkah itu secara tidak langsung melenyapkan segala peluang kelompok elit politik 'oportunis' untuk menggerakkan sebarang 'langkah politik' tidak sihat.

Bagaimanapun, Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara, Dr Muhammad Asri Mohd Ali berpandangan perjanjian berkenaan hanya benar-benar 'mengikat' parti-parti menyokong Anwar sekiranya asas pembentukan negara bangsa berpaksikan tapak peradaban anak watan, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dijadikan keutamaan.

Jelas beliau, parti-parti dalam kerajaan termasuk parti-parti komponen dalam PH perlu menerima hakikat Malaysia terbentuk daripada asas semangat peradaban anak watan berteraskan tiga tiang seri utama ditekankan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya lagi, tiga teras utama Perlembagaan Persekutuan itu turut dijanjikan Anwar untuk dipertahankannya selaku Perdana Menteri ke-10 iaitu jaminan agama Islam sebagai agama rasmi dan hak ketuanan Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan jaminan kedaulatan institusi raja-raja Melayu.

"Perkara ini merupakan asas utama pengikat kestabilan Kerajaan Perpaduan kerana keputusan PRU15 memberi isyarat jelas pengundi Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak menolak sebarang usaha penubuhan sebuah kerajaan berkonsepkan 'multiracial' yang menyekat kepentingan kaum bumiputera.

"Kerajaan dibentuk ini tidak boleh dibayangi percanggahan pelbagai ideologi berbeza dibawa parti-parti berada di dalamnya, sebaliknya perkara itu mesti dikurangkan bagi mengelakkan konflik dalaman yang tidak berkesudahan," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Selain memastikan tiada percanggahan ideologi politik membayangi prinsip kerajaan baharu, Anwar dan barisan kabinet Kerajaan Perpaduan juga sebenarnya berdepan cabaran besar membuktikan kemampuan dan kewibawaan mereka dalam menyelesaikan masalah menekan rakyat.

Perkara itu juga dilihat Muhammad Asri sebagai faktor kedua penentu utama kerelevanan perjanjian menyokong Anwar dibuat kerana barisan menteri kabinet mesti menunjukkan kompetensi mereka untuk membawa transformasi positif dalam pentadbiran negara.

Selain itu, aspek paling penting perlu ditekankan dalam inti pati perjanjian khas mengukuhkan Kerajaan Perpaduan adalah melalui peletakan syarat ketua-ketua parti terlibat perlu mengawal ego politik pemimpin-pemimpin senior masing-masing agar mereka berjiwa besar menerima keabsahan kerajaan sedia ada.

Jelas Muhammad Asri, peristiwa Langkah Sheraton dan kejatuhan kerajaan PN membuktikan sikap ego politik pemimpin senior ini berisiko menyumbang ketegangan politik dalam kerajaan sekali gus mencetuskan ketidakstabilan negara.

"Hal ini kerana peranan pemimpin senior dalam mempengaruhi proses pemilihan parti masing-masing sangat penting sebagaimana UMNO bakal mendepani proses itu pada tahun hadapan.

"Kalau pemimpin senior dalam UMNO masih bercita-cita besar dalam politik dan berhasrat membawa keluar parti daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya pucuk kepimpinan parti sedia ada ditumbangkan, maka ketidakstabilan politik pasca PRU15 akan berterusan.

"Selain itu, ego politik pemimpin elit ini juga mampu dikendurkan sekiranya Anwar sendiri melaksanakan misi dan visi politiknya secara jelas dan tidak sekadar bersikap retorik sepanjang masa," ujar Muhammad Asri.

Datuk Loretto Padua

Sementara itu, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr sewaktu dihubungi mengharapkan inisiatif itu dapat mengukuhkan kerajaan, sekali gus memberi ruang seluasnya kepada Anwar memfokuskan usaha membaik pulih struktur pentadbiran negara daripada sebarang elemen kepincangan dan salah guna kuasa.

"Kita juga mahukan sebuah kerajaan kukuh untuk menangani isu ekonomi negara selain membawa balik pelabur-pelabur asing yang sudah banyak meninggalkan kita sejak peristiwa Langkah Sheraton pada tahun 2020.

"Yang penting, perjanjian khas ini penting untuk kita tunjukkan kepada dunia bahawa kerajaan dibentuk pasca PRU15 tidak boleh diugut elit politik sewenang-wenangnya. Warisan pastinya akan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi," tegas Loretto lagi.

Klik di sini untuk terus membaca