SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran mengiktiraf kabinet bayangan pembangkang diterajui Perikatan Nasional (PN) dalam usaha memperkuatkan peranan semak dan imbang blok itu bagi menilai prestasi kerajaan.
Timbalan Ketua Strategi, Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB di Universiti Sunway, Profesor Wong Chin Huat berkata, melalui pengiktirafan itu, Ketua Pembangkang Parlimen harus dibenarkan untuk melantik seorang menteri bayangan untuk setiap portfolio kementerian.
Tambah beliau, setiap menteri bayangan dilantik itu wajar diberikan elaun dan akses kepada maklumat kerajaan yang relevan, sebagaimana dilaksanakan oleh kerajaan Australia.
"Anwar harus memberikan peranan pembangkang yang membina kepada PN dengan mengiktiraf kabinet bayangan mereka. Soal gaji mungkin boleh diberikan sebanyak satu per tiga daripada gaji menteri, sama seperti di Australia.
"Menteri-menteri bayangan ini juga harus mengangkat sumpah di Istana Negara untuk berkhidmat sebagai 'Pembangkang Setia Seri Paduka Baginda'.
"Dengan mengiktiraf kewujudan menteri bayangan, kerajaan akan memupuk jangkaan rakyat terhadap pembangkang dan mengecutkan ruang pembangkang untuk menyerang kerajaan secara sewenang-wenangnya,” katanya kepada Sinar Premium.
Chin Huat berkata demikian bagi mengulas langkah yang perlu dilakukan Anwar untuk mengukuhkan kedudukannya sebelum berdepan undi percaya pada 19 Disember depan di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Chin Huat menambah, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tidak perlu mengadakan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) antara kerajaan pimpinannya dengan mana-mana ahli Parlimen termasuk pembangkang kerana sudah memperoleh sokongan dua pertiga ahli Parlimen.
Berkongsi pandangan sama, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali yang menjangkakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak akan menghadapi masalah besar untuk menang undi percaya yang bakal dibentangkan.
Mazlan berkata, keyakinan itu dipengaruhi oleh faktor Anwar yang mendapat sokongan lebih 140 ahli Parlimen daripada PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GPS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum diangkat menjadi Perdana Menteri pada 24 November lalu.
"Soal Anwar menang atau kalah undi percaya sudah tidak timbul kerana kita boleh lihat beliau begitu akrab dengan pemimpin parti sekutu misalnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri.
"Begitu juga dengan wakil GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof yang dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dan bertanggungjawab melihat semula isu Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca