NEW DELHI - Pasukan tentera China dan India terlibat dalam insiden pertempuran di sempadan Himalaya yang menjadi pertikaian buat pertama kali dalam tempoh hampir dua tahun.
Konflik terbaharu antara dua negara kuasa nuklear di Asia itu didedahkan Kementerian Pertahanan di New Delhi yang turut mengesahkan sejumlah anggota tentera turut cedera ketika ketegangan kembali memuncak di Sektor Tawang di wilayah terpencil Arunachal Pradesh di timur laut India yang bersempadan dengan selatan Beijing pada Jumaat lalu.
Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh mendakwa Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) mahu mengubah status quo secara unilateral dengan cuba melintasi Garis Kawalan Sebenar (LAC) yang merupakan sempadan de facto kedua-dua negara.
"Tindakan provokasi kira-kira 300 anggota PLA mencetuskan pergelutan fizikal apabila tentera India cuba menghalang kemaraan pasukan lawan daripada menceroboh ke wilayah kami dan mengarahkan pasukan keselamatan itu kembali ke pos mereka,” ujarnya.
Difahamkan, komander kedua-dua belah pihak kemudiannya mengadakan mesyuarat untuk membincangkan isu tersebut mengikut mekanisme berstruktur bagi memulihkan ketegangan dan keamanan pada akhir minggu lalu setelah anggota terlibat pertempuran itu bersurai.
"Perkara itu juga sedang ditangani melalui saluran diplomatik,” tambahnya.
PLA dalam satu kenyataan balas pula mendakwa tentera India yang melintasi sempadan ‘secara haram’ dan cuba menghalang pasukan peronda China menjadi punca insiden pertempuran tersebut.
"Mereka sewenang-wenangnya menceroboh LAC. Kami bertindak balas secara tegas dan profesional serta mengikut standard keselamatan bagi menstabilkan situasi yang agak tegang pada masa itu,” kata jurucakap PLA.
Terdahulu, Kementerian Luar China mendakwa ia tidak tahu-menahu tentang krisis terbaharu yang tercetus di sempadan.
"Setakat yang kita ketahui, kawasan sempadan China-India secara amnya stabil malah kedua-dua belah pihak mengekalkan komunikasi yang lancar mengenai isu berkaitan sempadan melalui saluran diplomatik dan ketenteraan,” jelas jurucakap kementerian itu, Wang Wenbin ketika disoal tentang dakwaan yang dilemparkan New Delhi.
Menurutnya, China berharap India akan mempunyai matlamat yang sama untuk memelihara keamanan dan kestabilan sempadan China-India.
Krisis perbatasan belum reda Perang China-India yang tercetus pada tahun 1962 telah membawa kepada penubuhan LAC.
Tetapi, kedua-dua negara tersebut dikatakan tidak bersetuju dengan kedudukan lokasi itu secara tepat dan saling menuduh antara satu sama lain menceroboh atau cuba memperluaskan wilayah mereka di kawasan tersebut.
Pada September lalu, pemerintah New Delhi mengumumkan pasukan tentera India dan China telah mula berundur dari kawasan mata air panas Gogra di barat Himalaya.
Kenyataan itu dikeluarkan menjelang sidang kemuncak serantau di Uzbekistan yang turut dihadiri Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden China, Xi Jinping.
Pada 30 November lalu, Kementerian Luar di Beijing mengkritik latihan bersama altitud tinggi yang dilakukan antara tentera Amerika Syarikat (AS) dan India di Uttarakhand.
China mendakwa latihan ketenteraan seumpama itu tidak membantu untuk membina kepercayaan dua hala setelah Beijing secara terang-terangan menzahirkan kebimbangan terhadap hubungan New Delhi bersama Washington sejak beberapa tahun lalu.
Modi dan Jinping kali terakhir bertemu pada Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Bali pada bulan lalu yang turut menyaksikan kedua-dua pemimpin itu saling berjabat tangan, namun tidak mengadakan perbincangan bilateral.
Ketika berucap di Parlimen sebelum insiden pertempuran terbaharu itu tercetus pada minggu lalu, Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar berkata, terdapat ‘keabnormalan’ dalam hubungan China-India berkaitan pertikaian sempadan.
"New Delhi telah menyatakan pendirian dengan jelas bersama Beijing bahawa kami tidak akan bertolak-ansur terhadap sebarang cubaan untuk mengubah LAC secara unilateral,” tegasnya. - Agensi Kawasan sempadan sepanjang 3,379 kilometer (km) itu telah sekian lama menjadi punca pergeseran antara India dan China yang menyaksikan ketegangan memuncak pada Jun 2020.
Konflik di Aksai Chin-Ladakh pada masa itu dilaporkan telah meragut sekurang-kurangnya 24 nyawa anggota tentera daripada kedua-dua belah pihak.
Klik di sini untuk terus membaca