SLOGAN "Dima Maghreb” (Maghribi Selamanya) telah mengiringi kejayaan pasukan negara Arab yang terletak di barat laut Afrika itu pada pentas Piala Dunia Qatar 2022.
Dalam sejarah 92 tahun kejohanan bola sepak tersebut, belum pernah ada wakil dari benua Afrika yang sampai ke peringkat separuh akhir.
Kejayaan yang memukau dunia itu, sebelum impian Maghribi ke final disekat Perancis - juara Piala Dunia dua kali, tentu saja hasil daripada kerja keras dan pemain berbakat.
Pada masa sama "Dima Maghreb” kelihatan memiliki makna yang mendalam bagi para pemain dan warga Maghribi. Banyak antara mereka menggunakan hashtag "Dima Maghreb” dalam setiap hantaran di media sosial.
Slogan mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud kata-kata keramat yang dijadikan pegangan dan panduan oleh sesuatu organisasi, kempen dan sebagainya. Slogan selalunya ringkas dan memukau.
Slogan sudah lama digunakan sebagai satu bentuk pemasaran yang berkesan. Syarikat-syarikat terkemuka menggunakannya bagi menampilkan aspirasi jenama masing-masing.
Antara slogan yang popular ialah Think Different milik Apple; Open Happiness (Coca-Cola), I'm Lovin' It (McDonald's), Imposible Is Nothing (Adidas), Ideas for Life (Panasonic), Designed for Driving Pleasure (BMW), dan Inspiring Connections (Proton).
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menggunakan slogan Nike yang popular, Just Do It apabila mencadangkan supaya Kerajaan Perpaduan tidak harus teragak-agak untuk melaksanakan pembaharuan sistem kesihatan di negara ini.
"Kepimpinan baharu di Kementerian Kesihatan sepatutnya ‘Buat Sahaja’” kata Khairy pada satu forum di Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semasa memulakan tugas rasmi di Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini pula mengesyorkan slogan "Keselamatan Tanggungjawab Semua”, bererti setiap anggota masyarakat, pertubuhan politik, NGO dan individu harus bersama-sama memainkan peranan menjaga keselamatan negara.
Salah satu kisah menarik tentang pengaruh slogan ialah bagaimana mendiang Tan Sri Lim Kok Wing membantu kejayaan Nelson Mandela menjadi Presiden Afrika Selatan.
Semuanya bermula apabila Pengasas Universiti Limkokwing itu diarahkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membantu parti Mandela, Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) berkempen dalam pilihan raya demokratik pertama bekas negara aparteid tersebut pada penghujung tahun 1993.
Kok Wing menggunakan pengalamannya dalam bidang pengiklanan untuk mencipta satu slogan khas ANC bagi menarik sokongan rakyat. Maka lahirlah slogan A Better Life for All.
Dalam satu temu bual yang disiarkan media pada 6 Disember 2013, Kok Wing memberitahu untuk menjadikannya lebih signifikan, muncullah poster slogan berkenaan yang menunjukkan Mandela tersenyum bersama kanak-kanak Afrika Selatan termasuk kulit putih.
Pada pilihan raya itu, ANC menang majoriti 62 peratus undi dan Mandela menjadi presiden kulit hitam pertama negara itu.
Kok Wing juga mempopularkan slogan "Yakin Boleh” dan "Malaysia Boleh” bertujuan membantu membentuk generasi baharu supaya percaya mereka boleh melakukan segala-galanya dan mencapai sesuatu impian.
Tidak dinafikan slogan yang dicanang kadangkala berbeza dengan realiti dan tidak menggambarkan keadaan sebenar, misalnya slogan parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya.
Namun begitu, setiap individu harus ada ‘slogan’ dirinya sendiri. Slogan itu ibarat pegangan hidup serta visi yang akan memandunya mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Orang yang tiada visi tidak akan tahu apa yang mahu dicapai dalam hidupnya.
Contohnya, tagline "Semalam Lebih Mudah Daripada Hari Ini” boleh mengingatkan seseorang supaya bekerja dengan lebih rajin dan bersungguh-sungguh kerana keadaan pada hari ini dan akan datang adalah lebih mencabar.
Bagi orang Islam pula, slogan atau tujuan hidup ini antaranya ada dalam doa iftitah yang dibaca setiap kali mendirikan sembahyang: "Solatku, Ibadahku, Hidupku dan Matiku Hanya Bagi ALLAH.”
Klik di sini untuk terus membaca