PERANAN hakiki Ahli Dewan Rakyat (ADR) sebagai anggota badan legistalif ialah menjadi penggubal undang-undang (lawmaker). Di Malaysia, ia merujuk, khususnya, kepada ADR di pihak kabinet (eksekutif), penyokong kerajaan (back benchers),... Klik di sini untuk terus membaca

PERANAN hakiki Ahli Dewan Rakyat (ADR) sebagai anggota badan legistalif ialah menjadi penggubal undang-undang (lawmaker). Di Malaysia, ia merujuk, khususnya, kepada ADR di pihak kabinet (eksekutif), penyokong kerajaan (back benchers), pembangkang dan bebas.

Persaingan sihat di Dewan Rakyat (DR) antara ADR kerajaan dan ADR pembangkang amat penting supaya undang-undang yang diluluskan adalah yang terbaik buat rakyat.

Apakah yang dimaksudkan dengan persaingan sihat? Pertama, ialah persaingan antara kabinet (jemaah menteri) dengan pembangkang. Kabinet dilantik di kalangan ADR. Bolehlah dilantik seorang dua Ahli Dewan Negara atas kepakaran khususnya. Dalam amalan politik Malaysia, sukar bagi Perdana Menteri (PM) melantik mereka yang pakar bagi setiap portfolio.

Tetapi, beliau harus mencuba, dan mengelakkan melantik ramai yang kalah PRU. Sekiranya ramai yang kalah dilantik, maka, apa gunanya PRU? Kabinet harus membentangkan Rang Undang-undang (RUU) yang baik. Ia seharusnya melalui proses perundingan yang panjang lebar dan melibatkan semua pemegang taruh.

Saya lazim menyebutnya sebagai perundingan sesama "rakan-pembangunan” iaitu tiga sektor utama pembangunan (kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil). Kabinet dibantu pegawai-pegawai perkhidmatan awam. Sebaiknya menteri membawa bersamanya sejumlah pegawai khas yang pakar dalam portfolio diketuainya, dan tidaklah semuanya politikal.

Pembangkang perlu menjalankan peranan semak dan imbang terhadap kabinet. Sebagai pembangkang yang konstruktif. Ia harus mengkritik, membangkang, menolak dan/atau meminda apa-apa RUU yang dibentang. Tidak salah sekiranya ada RUU yang disokong.

Idealnya, Kabinet Bayangan ditubuhkan. Ia terdiri daripada bilangan ADR yang sama atau hampir sama dengan bilangan dan portfolio kabinet. Ia disokong pasukan penyelidik profesional dan melakukan perundingan sesama rakan-pembangunan.

Kabinet Bayangan juga bertindak sebagai "kerajaan alternatif” dan "kerajaan menanti”. Negara belum mempunyai pengalaman Kabinet Bayangan. Jadi, sebelum yang idealnya diwujudkan, bolehlah mencontohi negara-negara yang telah mempunyai tradisinya, iaitu diwujudkan secara berfasa, dan dimulakan dengan Jawatankuasa Pembangkang (atau nama lain).

Dan kedua, persaingan polisi. Politik Malaysia terlalu berorientasi-personaliti dan kurang berorientasi-polisi. Jauh sekali berorientasi-ideologi. Justru, ini terbawa-bawa ke DR. Jarang berlaku perdebatan polisi yang bernas.

Manifesto masing-masing parti hampir tidak kedengaran dalam perbahasan. Sebaliknya, manifesto atau apa-apa yang dikempenkan dalam PRU dianggap sesetengah pemimpin "bukannya Kitab” atau sekadar "political sound bite”.

Alangkah baiknya sekiranya perbahasan berlaku dengan hebat. Dan bertambah baik lagi sekiranya ADR, sekurang-kurangnya sesekali, diizinkan mengundi menurut conscience, iaitu tidak mengikup arahan partinya. Kerana, adakalanya saya terfikir, apa gunanya berbahas berapi-api tetapi apabila mengundi, tetap mengikut arahan parti.

Saya berhasrat memainkan peranan tersendiri dalam menghidupkan persaingan sihat ini.

*Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang

Klik di sini untuk terus membaca