REPUTASI TikTok sebagai instrumen penentu undi pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU 15) telahpun diperakui ramai. Menjelang PRU15, TikTok bergema di seantero negara demi memancing undi.
Meskipun ada yang curiga dengan keberkesanan TikTok, namun jelas aplikasi tersebut mendominasi minat dan perbualan pengundi sepanjang PRU15.
Selang beberapa detik, TikTok mengesahkan penguasaannya sebagai aplikasi media sosial terpenting pada pertandingan terbesar di dunia iaitu Piala Dunia 2022 di Qatar.
Laporan BBC Isnin lalu mendedahkan TikTok yang menggunakan hashtag #FifaWorldCup telah dimuat naik sebanyak 12 bilion kali.
Dengan erti kata yang mudah, TikTok telah berjaya menimbulkan demam Piala Dunia 2022 secara dominan di peringkat global.
Dipercayai, pengguna TikTok telah berjaya menarik minat lebih 100 juta peminat sejak Piala Dunia bermula pada 21 November lalu.
Seorang pemegang akaun aplikasi tersebut yang dikenali sebagai Junior Pereira telah berjaya memikat dua juta pengikut hasil adunan video tarian berlatar belakang Piala Dunia 2022.
Seorang lagi pemegang akaun TikTok iaitu Ben Black atau ‘tiktok@benblackfootball’, yang setia mengikuti dan mendokumentasi setiap perlawanan serta memuat naik pengalamannya dalam akaunnya.
Ben Black yang baharu berusia 24 tahun itu berjaya memberi kesan besar kepada peminat TikTok. Black percaya akaun TikTok beliau telah memberi kesan dan menimbulkan demam Piala Dunia 2022 apabila lebih 170 juta videonya ditonton peminat Qatar 2022.
Wartawan sukan BBC News, Iqra Farooq mengaku beliau awalnya percaya aplikasi TikTok tidak mampu meningkatkan minat netizen kepada Piala Dunia 2022 dengan angka melepasi ratusan juta follower.
Penulis juga sebenarnya terpempan apabila membaca kesan TikTok terhadap Piala Dunia 2022! Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pula melaporkan menerusi TikTok, bilangan peminat Qatar 2022 meningkat dua kali ganda berbanding Moscow 2018.
Berdasarkan laporan statisca.com, bilangan peminat di United Arab Emirates (UAE) meningkat kepada 81 peratus berbanding hanya 45 peratus ketika di Moscow 2018.
Bilangan peminat Piala Dunia 2022 di Indonesia juga melonjak kepada 80 peratus (2022) berbanding 41 peratus (2018), Argentina 79 peratus (2022) berbanding 74 peratus (2018), Arab Saudi 78 peratus (2022) berbanding 60 peratus (2018), Malaysia 63 peratus (2022) berbanding 61 peratus (2018), Rusia 74 peratus (2022) berbanding hanya 24 peratus (2018). Secara purata keseluruhan meningkat kepada 55 peratus.
Penulis percaya peningkatan ini ada kaitannya dengan berlakunya transformasi teknologi. Teknologi baharu memberi kesan ketara kepada ekosistem bola sepak, sama ada di dalam dan di luar padang.
Perlaksanaan teknologi ‘video reality’ dan ‘augmented reality’ telah memberi kesan positif kepada permainan. Dari perspektif peminat pula, pengalaman dan penglibatan kian meningkat hasil peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan (cloud computer), realiti tambahan dan teknologi ‘blockchain’.
Sebenarnya perkara ini telah disebut Allah SWT dalam Surah Al Hujuraat ayat [49:13] diterjemahkan sebagai, "Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa antara kamu.
Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” Berdasarkan perangkaan FIFA sebelum ini, tarikan piala dunia tidak sehebat seperti di Qatar 2022. FIFA merekodkan sebelum ini hanya sekitar lima bilion peminat Piala Dunia di seluruh dunia. Peminat Amerika Latin, Timur Tengah dan Afrika menjadi penyokong tegar kejohanan.
Namun Qatar 2022 telah menyaksikan peningkatan bilangan peminat tegar di seluruh dunia khususnya di Asia dan Eropah.
Secara harfiahnya, menerusi TikTok segala pengalaman detik manis dan pahit dirakam secara menyeluruh di Qatar 2022.
Menyorot dari aspek perkembangan teknologi tinggi, Qatar jelas melepasi angan-angan manusia biasa.
Kesimpulannya, TikTok jelas berperanan membangkitkan rasa ghairah kepada Piala Dunia 2022 di Qatar!
Klik di sini untuk terus membaca