SHAH ALAM - Kerajaan perlu melakukan pemantauan menyeluruh di kawasan berisiko tinggi bagi menghindari insiden seperti tanah runtuh di tapak perkhemahan awam, Batang Kali berulang.
Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nor Shahidah Mohd Nazer berkata, cerun-cerun perlu dibuat pemantauan lebih kerap disebabkan apabila ia bergerak, akan berlaku dengan kadar yang sangat tinggi dan cepat.
Malah katanya, sekiranya kejadian itu berlaku, orang ramai tidak sempat untuk berbuat apa-apa dan menyebabkan mereka terperangkap.
"Kita faham peta risiko adakalanya kawasan sebegini tidak masuk dalam (kategori) berisiko tinggi berlakunya bencana.
"Jadi, mereka tidak memberi penekanan yang tinggi terhadap cerun sebegini kerana tiada penempatan manusia secara tetap di sekitar cerun.
"Memandangkan perubahan cuaca yang ekstrem, kawasan sebegini pasti terkesan dan kita mempunyai pengguna sama ada secara pelancongan atau mereka yang melalui jalan raya,” katanya kepada Sinar Harian, Jumaat.
Jelas Nor Shahidah, runtuhan cerun tidak seperti bencana banjir kerana setiap orang mengetahui tempoh air itu naik, selain mempunyai masa untuk melakukan pemindahan.
"Macam sekarang, Jabatan Meteorologi Malaysia sudah memberi amaran akan berlaku hujan lebat berterusan. Jadi, perlu ada satu tindakan susulan apabila hujan lebat.
"Walaupun tidak menunjukkan ciri kegagalan, tetapi cerun berpotensi runtuh kerana bahagian dalamnya yang melemah,” ujarnya.
Nor Shahidah turut berpandangan perlu ada satu kawalan ke atas kawasan cerun yang ditarah untuk dijadikan tapak pelancongan.
"Konsep ekopelancongan itu sendiri baik tetapi sekiranya kita tidak membina apa-apa sistem mitigasi yang sesuai, ini yang kita dapat (tanah runtuh). Cerun-cerun tersebut berpotensi untuk bergerak,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca