NAMANYA Zainal Abidin. Bukan Zainal pemain bola dan jurulatih Pahang tetapi seorang pekerja berasal dari Bangladesh. Katanya sudah 10 tahun bekerja di Malaysia.
Setiap hari pada awal pagi, saya akan terserempak dengan Zainal ketika ke tempat kerja. Zainal akan menolak basikalnya apabila sampai di tempat berbukit. Tidak berupaya untuk mengayuh basikal.
Pejabat tempat kerjanya di atas bukit. Kerjanya setiap hari mencuci tandas, menyapu lantai, membuang sampah di pejabatnya. Kadang-kadang dia akan mencuci sinki dan membasuh pinggan.
Menjelang tengah hari, Zainal akan menyapu surau pejabat. Begitulah rutin kerjanya setiap hari. Biasanya sebelah petang, habis waktu pejabat, dia akan pergi bekerja di tempat lain pula.
"Zainal, sudah berapa lama tidak balik kampung?" tanya saya.
"Sudah 10 tahun incik (encik)," katanya yang masih pelat walaupun sudah 10 tahun di Malaysia.
"Tidak rindu kampung ke?" tanya saya lagi.
"Rindu incik. Setiap hari saya ada buat itu video call," jawab Zainal.
Zainal orangnya tidak besar. Bentuk badannya kecil sahaja dan pendek pula. Tangannya berurat-urat hasil bekerja berat agaknya.
"Anak berapa orang?" tanya saya.
"Anak tiga orang incik, bini masih satu incik," jawabnya tersengih-sengih.
"Amboi kamu, boleh tahan jawab,"kata saya membelalakkan mata.
"Bila cadang nak balik?" tanya saya lagi.
"Belum tahu lagi incik. Duit belum cukup," jawab Zainal.
"Setiap bulan hantar kampung berapa duit?" tanya saya.
"RM1,000 incik," jawab Zainal.
"Wah banyak juga. Sudah jadi orang kaya di sana nanti," kata saya.
"Mana ada incik. Belanja anak sekolah. Tiga orang anak masih belajar," kata Zainal.
"Oh, anak yang pertama umur berapa?" tanya saya.
"Sudah 18 tahun incik. Anak perempuan Nanti habis belajar, saya mahu kahwinkan dia," jawab Zainal lagi.
"Jangan itu macam Zainal. Anak sudah habis belajar, beri dia sambung lagi, kemudian boleh kerja," kata saya.
"Tidak boleh incik. Mesti mahu kahwin. Di Bangladesh itu macam. Kalau tidak saya malu" kata Zainal.
"Zainal, itu semua adat boleh dilanggar. Lagipun itu zaman dahulu. Sekarang perempuan sudah boleh berfikir di batas kalung sendiri," kata saya.
Zainal hanya mendiamkan diri. Angguk tidak, geleng pun tidak. Dia kelihatan serba salah dengan cadangan saya.
Kata saya lagi: "Lepas belajar, dia mesti mahu kerja. Kalau dia pelajar pandai, boleh sambung belajar luar negara, boleh jadi pensyarah. Boleh bantu awak nanti."
Zainal masih tidak kata apa-apa. Mungkin sudah menjadi kebiasaan di negaranya, wanita tinggi mana pun belajar, mesti kahwin ikut suami.
"Awak sudah habis banyak duit besarkan anak, mesti beri peluang sama dia berbakti sama awak," kata saya.
"Itu anak lelaki bolehlah incik. Anak perempuan mesti mahu kahwin," jawab Zainal tidak bersetuju dengan kenyataan saya.
"Zaman sekarang tidak ada beza lagi, anak lelaki atau anak perempuan. Semua boleh menyumbang kepada negara dan keluarga," jawab saya.
Zainal perlahan sahaja mengangguk kepala. Entah bersetuju atau sekadar menyesal dengan adat yang terpakai di negaranya.
Masih ada segelintir bangsa di negara seperti Bangladesh yang menidakkan peluang orang perempuan. Pemikiran begini menyebabkan orang perempuan kadang-kadang menjadi mangsa orang lelaki.
Jika mendapat suami baik dan berfikiran terbuka, untunglah wanita itu. Kalau mendapat suami yang hanya menjadikan isteri sebagai barang dan hamba sahaja, maka sangatlah sedih.
Akhir sekali kata saya:"Fikirlah baik- baik Zainal. Nanti bila anak awak berjaya, dia boleh bantu. Awak tidak payah lagi susah payah cari rezeki di luar dan berjauhan dengan keluarga.
Zainal sekali lagi mengangguk. Raut wajahnya menggambarkan kesedihan. Entah apa bermain di fikirannya, cuma saya rasa sedih juga kerana pada zaman serba maju dengan teknologi, masih ada lagi berfikiran cetak hanya kerana adat.
Lebih sedih lagi, banyak berlaku di negara yang dikatakan negara Islam.
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca