SHAH ALAM - Penekanan perkara asas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti memelihara agama Islam, mempertahankan Raja Berperlembagaan dan mendaulatkan Bahasa Melayu dalam Perjanjian Persefahaman (MoU) Kerajaan Perpaduan Malaysia... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penekanan perkara asas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti memelihara agama Islam, mempertahankan Raja Berperlembagaan dan mendaulatkan Bahasa Melayu dalam Perjanjian Persefahaman (MoU) Kerajaan Perpaduan Malaysia adalah bukti jelas kerajaan baharu ini menjulang semangat negara bangsa yang menjadi acuan pentadbiran Malaysia.

Pengurus Kanan Penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Ariffin Mohd Munir berkata, jaminan Kerajaan Perpaduan Malaysia dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan bakal melenyapkan sebarang keraguan rakyat terutama pihak pembangkang terhadap hala tuju pentadbiran kerajaan baharu itu.

Pada masa sama, beliau turut melihat Kerajaan Perpaduan Malaysia menekankan kepentingan menjaga hak kepelbagaian kaum melalui perjanjian persefahaman itu, satu indikator Anwar serius dalam menerapkan konsep negara adil.

"Sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), negara diwarnai dengan polemik sentimen perkauman dan agama dengan Anwar dan Pakatan Harapan (PH) digambarkan sebagai pihak anti Islam dan pro kaum bukan Melayu.

"Justeru, bila perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan ditekankan dalam perjanjian persefahaman sebagai inti pati utama, langkah ini setidaknya dapat memberi panduan penegasan kepada rakyat Malaysia bahawa tiada isu Anwar cuba menjadikan Malaysia sebagai negara 'multiracial'.

"Pada masa sama, Anwar turut memastikan konsep negara adil ditekankan, indikator jelas Kerajaan Perpaduan Malaysia tidak sesekali akan menganaktirikan hak kaum lain di negara ini," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Khairul Ariffin Mohd Munir

Beliau berkata demikian bagi mengulas inti pati Perjanjian (MoU) Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan Malaysia yang ditandatangani empat gabungan politik iaitu PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan satu parti politik iaitu Parti Warisan (Warisan).

Parti-parti politik terlibat dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia itu menyatakan komitmen mereka terhadap kepimpinan Anwar bagi mengelakkan ketidaktentuan politik pada masa depan.

Perkara itu dimeterai melalui satu majlis khas di bangunan Perdana Putra, pada petang Jumaat.

MoU itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung gabungan politik iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (BN), Datuk Loretto S Padua Jr (Warisan), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS) dan Datuk Seri Marsidi Manjun (GRS).

Perjanjian kerjasama itu turut ditandatangani oleh ketua gabungan iaitu Anwar (PH), Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.

Sementara itu, Khairul Ariffin turut melihat kepentingan inti pati MoU itu mengikat keseluruhan 149 ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan Malaysia demi memastikan usul undi percaya kepada Anwar pada 19 November ini serta undi perjanjian perbekalan dan Belanjawan 2023 berjalan lancar.

Tegasnya, dengan ketidaktentuan politik masih boleh digerakkan oleh elit-elit politik yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi, penekanan tindakan di bawah Perkara 49A (1) Perlembagaan Persekutuan terhadap ahli-ahli Parlimen yang ingkar terhadap keputusan parti-parti menyokong Anwar diyakini mampu mengelakkan sebarang 'langkah politik' tidak sihat.

"Keseluruhannya saya melihat perjanjian persefahaman ini merangkumi tiga teras utama iaitu mengukuhkan gabungan politik membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia, keduanya ia akan memberi hala tuju perjalanan gabungan serta komitmen kerajaan dalam membangunkan negara.

"Yang ketiga dan paling penting, inti pati perjanjian persefahaman ini bakal menjadi tanda aras bagi mengukur prestasi 28 menteri kabinet dilantik, di mana setiap mereka perlu menjadikannya sebagai satu panduan dalam pelaksanaan setiap polisi kerajaan baharu kelak.

"Satu lagi perkara menarik ditekankan dalam MoU ini adalah penubuhan sebuah Majlis Perundingan dan Timbang Tara bagi menyelesaikan sebarang isu pergeseran dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia.

"Inisiatif ini saya kira sangat bagus demi memastikan sebarang konflik dalaman dapat diselesaikan secara harmoni," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pengajian Asia, Universiti Tasmania, Profesor Dr James Chin berpandangan, perjanjian persefahaman mengukuhkan Kerajaan Perpaduan Malaysia ini bukan satu jaminan yang benar-benar mengikat kesetiaan parti-parti terlibat kerana ia hanyalah perjanjian politik dan bukan berasaskan undang-undang.

Bagaimanapun, beliau melihat perjanjian persefahaman itu merupakan satu perkara positif bagi memberi isyarat kepada semua penyokong parti-parti terlibat bahawa kerajaan baharu tertubuh pasca PRU15 bakal terjamin kestabilannya berbanding kerajaan terdahulu.

"Dengan Anwar sah mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen, pastinya Kerajaan Perpaduan Malaysia ini lebih mudah untuk melaksanakan sebarang agenda strategik yang memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

"Bagaimanapun, saya yakin Anwar tidak akan bertindak melulu melaksanakan sebarang agenda kontroversi yang memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan kerana tindakan sebegitu bakal menghakis sokongan parti-parti konservatif dalam kerajaan beliau," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca