LIMA - Perhimpunan besar-besaran yang bertukar ganas bagi membantah penyingkiran bekas Presiden Pedro Castillo di Peru tidak menunjukkan tanda-tanda reda. Malah, protes jalanan semakin menjadi-jadi sebaik sahaja hakim pada Khamis memutuskan... Klik di sini untuk terus membaca

LIMA - Perhimpunan besar-besaran yang bertukar ganas bagi membantah penyingkiran bekas Presiden Pedro Castillo di Peru tidak menunjukkan tanda-tanda reda.

Malah, protes jalanan semakin menjadi-jadi sebaik sahaja hakim pada Khamis memutuskan bekas guru dan pemimpin berhaluan kiri itu kekal berada dalam penjara untuk tempoh 48 jam lagi sebelum perbicaraan pembebasan.

Pengisytiharan darurat selama 30 hari bagi membendung keganasan melampau juga tidak memberi kesan kepada penyokong Castillo apabila sebahagian besar mereka berhimpun berhampiran Kongres bagi mengulangi desakan supaya pemimpin itu dibebaskan.

"Kami mesti berjuang. Castillo adalah Presiden," kata peserta protes, Milagros Quispe sambil menggendong bayinya yang berusia lima bulan di luar bangunan Kongres, tempat penunjuk perasaan berkumpul setiap hari sejak penggubal undang-undang menyingkirkan Castillo pada 7 Disember lalu.

Nada sama disuarakan Lucy Caranza yang turut menuntut pembebasan segera Castillo.

"Saya seorang wanita jahil yang tahu haknya. Presiden telah diculik dan tiada perkataan lain untuknya," kata pembantu rumah berusia 41 tahun itu.

Tunjuk perasaan di Peru itu juga diadakan bagi membantah pelantikan Dina Boluarte yang dipilih bagi menggantikan Castillo dalam satu upacara angkat sumpah yang diadakan secara tergesa-gesa.

Penyokong Castillo menyekat laluan di lebuhraya Pan-American menyebabkan puluhan bas serta trak kargo terkandas, berhampiran hab pertanian Ica dan Arequipa.

Menurut Kementerian Kesihatan, setakat ini, lapan penunjuk perasaan dilaporkan maut manakala lebih 200 lagi cedera dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan.

Puluhan penyokong pro-Castillo juga mendirikan khemah di luar penjara di Lima tempat di mana pemimpin itu ditahan.

Bagi meredakan ketegangan, Dina berjanji untuk mengadakan pilihan raya pada Disember 2023, kira-kira setahun lebih awal daripada yang diumumkan pada akhir minggu lalu.

Dina adalah bekas pendakwa raya yang berkhidmat sebagai Naib Presiden di bawah pentadbiran singkat Castillo.

Apa yang berlaku?

Peru kini dalam keadaan 'huru-hara' selepas Castillo disingkirkan pada minggu lalu.

Castillo, 53, yang hanya memegang jawatan Presiden selama 17 bulan digulingkan selepas Kongres mengundi untuk memulakan prosiding pemecatannya atas dakwaan "ketidakcekapan moral".

Berdasarkan undi 73 berbanding 32, Kongres memutuskan untuk memulakan prosiding pemecatan terhadap Castillo dengan pengundian berlangsung 7 Disember lalu.

Usul pemecatan itu menerima sekurang-kurangnya 87 undi atau dua pertiga sokongan ahli Parlimen hingga membolehkan Castillo disingkirkan.

Anggota Kongres Peru bergambar sebaik sahaja sebulat suara mengundi menyingkirkan Pedro Castillo daripada jawatan Presiden pada minggu lalu.

Beliau didakwa cuba membubarkan Kongres dan memerintah secara dekri.

Selepas disingkirkan, Castillo ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah sehari selepas itu untuk perbicaraan pertama berhubung dakwaan mendalangi pemberontakan dan terlibat konspirasi.

Tempoh penggal pemerintahan Castillo sepatutnya dijadualkan berakhir pada Julai 2026.

Siapa Castillo?

Castillo adalah anak pasangan petani buta huruf dari Puna sebuah desa kecil yang miskin di wilayah Cajamarca.

Biar pun dihimpit kemiskinan, ibu bapa Castillo tidak pernah meminggirkan aspek pendidikan.

Castillo menjadi guru selama 24 tahun di Puna dan namanya menjadi sebutan ramai selepas mengetuai mogok besar-besaran menuntut kenaikan gaji golongan pendidik.

Protes salam 80 hari tersebut akhirnya berjaya memberi tekanan kepada pentadbiran Presiden ketika itu, Pedro Pablo Kuczynski yang akhirnya meletak jawatan.

Seorang peserta protes melakukan provokasi ke atas polis antuirusuhan yang dikerah menyuraikan tunjuk perasaan di Lima.

Pada 2021, Castillo mencalonkan diri dalam pemilihan Presiden dan berjaya mengalahkan lawannya, Keiko Fujimori yang juga anak perempuan bekas diktator Alberto Fujimori pada pengundian pusingan kedua dengan meraih sebanyak 8,822,770 undi atau 50.168 peratus undi sah.

Sepanjang kempennya, Castillo melaungkan slogan "jangan lagi menjadi miskin di negara kaya".

Parti yang mencalonkan Pedro Castillo, Perú Libre, juga muncul sebagai parti yang terbesar dalam Parlimen Peru, setelah memenangi 37 daripada 130 kerusi Kongres Peru.

Perú Libre tidak memenangi apa-apa kerusi dalam Kongres Peru dalam pilihan raya umum sebelum ini.

Kemenangan Castillo disahkan pada 19 Julai dan beliau mengangkat sumpah pada 28 Julai 2021.

Beliau adalah Presiden pertama yang dipilih daripada golongan kelas pertengahan dan bawahan serta tiada kaitan dengan mana-mana kelompok elit politik di Peru.

Ditahan 18 bulan lagi

Selepas 48 jam penangguhan perbicaraan pembebasan Castillo, Mahkamah Agung Peru akhirnya memerintahkan pemimpin itu kekal dalam tahanan untuk tempoh 18 bulan lagi.

Hakim yang membenarkan permohonan pendakwa raya untuk mengekalkan Castillo dalam tahanan, berkata pemimpin itu berpotensi melarikan diri selepas cuba mendapatkan suaka di Kedutaan Mexico di Lima.

Perintah penahanan praperbicaraan itu dilanjutkan hingga Jun 2024.

Minggu lalu, seorang hakim mengarahkan Castillo ditahan selama tujuh hari dan sepatutnya dibebaskan pada Rabu.

Sementara itu, kerajaan berhaluan kiri Mexico, Argentina, Colombia dan Bolivia mengeluarkan kenyataan bersama menyokong Castillo, mengatakan beliau 'mangsa gangguan antidemokrasi' sejak pemilihannya.

Castillo berdepan hukuman 10 tahun penjara jika disabit bersalah atas tuduhan memberontak. - AFP

Klik di sini untuk terus membaca