KEPUTUSAN pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah keluar parti dua hari selepas Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN) menang besar menumbangkan Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Padang Serai sememangnya kejutan yang sudah dijangka.
Ia selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan nama Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali sebagai menteri kabinet walaupun beliau memenangi kerusi tersebut atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mewakili Bersatu.
Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), lima ahli Bersatu Sabah telah memenangi kerusi Parlimen yang ditandingi dengan empat kerusi (Papar, Sipitang, Ranau, Batu Sapi) dimenangi atas tiket GRS, manakala satu (Beluran) atas tiket PN.
Empat ahli Parlimen tersebut bersama 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Sabah meninggalkan Bersatu dan kekal dalam GRS. Hal itu bukan sahaja mencetuskan polemik tentang status kerusi mereka selepas Akta Larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dikuatkuasakan Oktober lalu tetapi juga survival Bersatu dalam politik lokal di Sabah.
Kemampuan PN menimbulkan kejutan ketika ramai menjangkakan sentimen pengundi muda dan baharu terarah kepada politik liberal serta terbuka cenderung untuk mengundi PH, PN membuktikan sebaliknya.
Gelombang senyap dan sokongan kuat orang Melayu terutama pengundi muda dan baharu bukan sahaja menafikan PH majoriti mudah bagi membentuk kerajaan, malah menumbangkan Barisan Nasional (BN)-UMNO sebagai parti pilihan Melayu-Islam.
Bagaimanapun, gelombang itu tidak begitu ketara di Sabah. Dalam konteks GRS-Bersatu, parti tersebut tidak menang jumlah kerusi signifikan untuk membantu PN menambah majoriti.
GRS-PN hanya menang tujuh kerusi daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah iaitu Papar, Sipitang, Ranau, Keningau, Batu Sapi, Tawau dan Beluran.
Tujuh kerusi dimenangi BN (Putatan, Kimanis, Beaufort, Pensiangan, Libaran, Kinabatangan dan Kalabakan), lima oleh PH (Tuaran, Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang dan Sandakan), tiga Warisan (Kota Belud, Lahad Datu dan Semporna), dua Bebas (Kudat dan Tenom) serta satu Kemajuan Demokratik Masyarakat (KDM) di Kota Marudu.
Gabungan GRS-BN jelas menjadi pemenang terbesar pada PRU15 di Sabah dengan menguasai 14 kerusi daripada 25 kerusi dipertandingkan. Namun, perkembangan di peringkat Persekutuan nampaknya mengubah dinamika politik Sabah dalam kerangka politik lokal masih kuat dipengaruhi sentimen oligarki dan kewilayahan.
GRS wujud selepas PRU14 yang menyaksikan bagaimana keputusan ketika itu terpecah. Dengan keruntuhan hegemoni politik BN di tangan pakatan politik Warisan-PH, dinamika politik oligarki di Sabah terpecah kepada beberapa paksi yang cuba mencari identiti baharu dengan cubaan untuk keluar daripada bayang-bayang BN dan menyaingi naratif politik tempatan Warisan.
GRS mendapat momentum selepas Langkah Sheraton mengubah kerajaan di peringkat Persekutuan dan menang besar setelah berpakat dengan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020 apabila menguasai 38 kerusi berbanding 32 kerusi Warisan-PH dan tiga kerusi Bebas.
Pada permulaan, momentum dibina dalam masa singkat oleh GRS terutama Bersatu memperlihatkan potensi parti itu di sebalik ketiadaan akar umbi dan operasi yang kuat untuk berkembang.
Kekuatan dan pengaruh politik oligarki menerusi tokoh-tokoh setempat di samping propaganda ‘Parti Mesra PATI’ yang dilemparkan kepada Warisan dilihat menyumbang kepada hal itu.
Selepas itu Bersatu dilihat tidak membina kekuatan akar umbi yang membolehkan mereka beroperasi dan berkembang secara tersusun seperti diharapkan.
Justeru, ramai menjangkakan Bersatu tidak akan bertahan di Sabah tanpa kekuatan pucuk pimpinan yang menguasai kerajaan di peringkat pusat.
Natijahnya inilah yang berlaku. Selepas kerajaan gabungan PH-BN-Gabungan Parti Sarawak (GPS) membentuk majoriti mudah, kewujudan Bersatu dalam politik Sabah terus menjadi persoalan.
Dengan keluarnya tokoh-tokoh lokal dan berpengaruh tersebut, mungkin sukar Bersatu bangkit di Sabah. Tambahan pula ketiadaan jentera akar umbi dan sistem sokongan operasi yang kemas di peringkat kawasan gagal dibina sejak mula bertapak menyukarkan lagi hal tersebut.
Begitulah riwayat politik Bersatu di Sabah. Garis pemisah antara hidup dan matinya begitu tipis serta singkat jaraknya.
* Mujibu Abd Muis ialah Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca