SESUNGGUHNYA masa tetap berjalan. Sama ada cepat atau lambat, kita suka atau tidak dan bersedia atau tidak, masa tetap meninggalkan kita.
Walaupun masa berterusan berjalan, sampai waktunya ia akan meninggalkan noktah setelah roh kita meninggalkan jasad.
Justeru, sama ada kita menjadi penunggu masa yang setia atau bijak mengisi masa adalah bergantung kepada sejauh mana kita memahami kehidupan dengan perspektif lebih luas.
Sebetulnya, sangat ramai yang menunggu kunjungan masa sejajar dengan harapan dan perancangan masa depan mereka. Bagi mereka yang merancang untuk berkahwin, tentunya sangat teruja dan sedikit gementar menunggu hari berbahagia.
Selanjutnya, menanti masa untuk peroleh anak, sekolahkan anak hingga akhirnya mengahwinkan anak pula. Walaupun sepanjang proses tersebut terdapat pelbagai halangan perlu dilalui, namun masa tersebut tetap akan tiba juga.
Pada masa sama, ada juga yang menunggu langit menjadi cerah setelah lama berada dalam kegelapan, antaranya menunggu masa kehilangan ahli keluarga tersayang setelah lama tersiksa dengan penyakit kronik, menunggu masa kesembuhan daripada penyakit, menunggu balasan ALLAH SWT terhadap mereka yang menzaliminya, menunggu kenaikan pangkat setelah begitu lama berusaha dan bersabar, menunggu rezeki yang luas setelah begitu lama hidup susah dan sebagainya.
Hakikatnya, tidak semua perancangan dan harapan kita berjalan seperti apa dikehendaki. Akhirnya, ramai kecewa. Menurut perspektif psikologi, hampir kebanyakan individu mempunyai pandangan negatif terhadap persekitaran hidup, diri sendiri dan berkaitan dengan masa hadapan mereka. Bezanya, antara banyak dan sedikit pandangan negatif tersebut.
Pendek kata, ungkapan seperti ‘kenapa tiada orang lain ingin membantu aku?', 'kehidupan aku tidak akan pernah berubah' dan 'aku sentiasa dipandang rendah oleh orang lain' serta 'aku benci dengan diri aku sendiri' telah menjadi igauan dalam kehidupan seharian mereka.
Pada hemat saya, jika kita sekadar menjadi penunggu masa, kita tidak akan ke mana-mana. Sebaliknya, kita hanya tersenyum apabila berjaya dan merintih apabila terluka.
Sewajarnya, kita perlu mengurus pengisian masa dengan berhikmah. Paling ketara, masih sedikit yang bersungguh-sungguh berdoa agar ALLAH SWT mengilhamkan kaedah, jenis dan tindakan terbaik perlu dilakukan bagi mengisi masa berkenaan.
Berkaitan hal tersebut, ALLAH SWT berfirman: "Dan Tuhan kamu berfirman, berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu." (Surah al-Ghafir, 40:60).
Namun, tidak ramai istiqamah berdoa kerana mahu hasil yang cepat disebabkan tidak sabar mengharungi ujian ALLAH SWT.
Walhal, ALLAH SWT tetap menerima segala doa kita sebagaimana riwayat daripada Abi Said al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandungi dosa dan tidak bertujuan memutuskan silaturrahim, melainkan ALLAH SWT akan mengabulkannya dengan tiga acara. ALLAH akan mengabulkan doanya sesegera mungkin, ALLAH akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya diakhirat kelak dan ALLAH menjauhkan daripadanya keburukan.” (Hadis Riwayat Ahmad).
Sedarlah, jika segala perancangan di bawah kawalan kita pun, belum tentu terjamin kejayaannya, apatah lagi perkara-perkara yang berada di luar kawalan kita seperti jatuh sakit, difitnah, dikhianati, kehilangan orang yang tersayang dan sebagainya.
Yang jelas, kesemuanya itu hadir dan dapat diatasi hanya dengan izin ALLAH SWT semata-mata. Justeru, dekatlah dengan ALLAH SWT sebelum masa kematian tiba.
Lazimlah berdoa sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Ya ALLAH, berikan ketakwaan kepada jiwaku, bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik dzat yang dapat membersihkannya. Engkaulah pelindung dan tuan kepadanya." (Hadis Riwayat Muslim). Bersedialah dengan ketibaan masa.
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca