RUMAH sudah siap, pahat masih berbunyi. Begitulah nasib kerajaan baharu ini yang baru sahaja menyempurnakan Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan Malaysia melibatkan empat gabungan... Klik di sini untuk terus membaca

RUMAH sudah siap, pahat masih berbunyi.

Begitulah nasib kerajaan baharu ini yang baru sahaja menyempurnakan Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan Malaysia melibatkan empat gabungan politik iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan satu parti politik iaitu Parti Warisan (Warisan) pada petang Jumaat.

Atas kertas, inti pati MoU yang merangkumi lima perkara utama itu sebenarnya sangat menyeluruh dengan merangkumi semua aspek penting seperti mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, menjulang semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan menjelaskan garis panduan terhadap skop tugasan 28 menteri kabinet.

Bagaimanapun, klausa 4 perjanjian itu iaitu ‘Usul Percaya dan Rang Undang-undang Perbekalan’ mencetuskan kontroversi apabila perkara 4 (a) dan 4 (b) pula menekankan kewajipan keseluruhan 149 ahli Parlimen daripada parti-parti menyokong kerajaan untuk mengundi menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara 4 (a) klausa MoU itu secara jelasnya menyatakan setiap parti dan ahli Parlimen hendaklah mengundi untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul berkait usul percaya, perbekalan atau apa-apa usul mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan.

Perkara 4 (b) klausa perjanjian ini pula menekankan mana-mana ahli Parlimen parti-parti menyokong kerajaan yang gagal mematuhi klausa 4 (a), boleh dikenakan tindakan peletakan jawatan sehingga dikosongkan kerusi Parlimen sebagaimana Perkara 49A (1) Perlembagaan Persekutuan.

Dengan Anwar bakal menghadapi ujian besar pertamanya melalui usul undi percaya kepimpinannya dalam sidang Parlimen pertama esok, inti pati MoU itu disifatkan blok pembangkang sebagai perjanjian ‘diktator’ yang tidak memberi kebebasan bersuara kepada ahli-ahli Parlimen menyokong kerajaan.

Di sebalik dakwaan MoU mengikat ahli Parlimen blok kerajaan bersifat diktator, seorang pengamal undang-undang pula melihat inti pati perjanjian itu mempunyai parameter berasas dan tidak melangkaui hak bersuara wakil rakyat.

Inti pati MoU itu yang dilihat mengikat ahli-ahli Parlimen blok kerajaan sebenarnya bukan asing dalam konteks perjanjian politik dengan klausanya seakan-akan perjanjian Whip parti-parti politik yang berada dalam Dewan Rakyat.

Cuma apabila inti pati klausa 4 perjanjian itu disediakan dalam bentuk dokumen bertulis, seorang pemerhati politik berasa agak pelik kerana ia di luar kebiasaan.

"Kena ingat MoU ini hanyalah satu perjanjian politik di mana ia bukan benar-benar mengikat kesetiaan parti-parti dan ahli-ahli Parlimen terhadap kerajaan secara perundangan.

"Bagaimanapun, saya sudah menjangkakan klausa itu akan dibangkitkan kerana ia juga satu jaminan bertulis Anwar akan berjaya mengharungi ujian keabsahan sokongan terhadap beliau pada Isnin dengan jayanya.

"Ia juga melambangkan keyakinan Anwar bakal mendapat sokongan majoriti sokongan dua pertiga ahli Parlimen. Sekiranya tiada perjanjian mengikat seperti MoU itu, kedudukan beliau akan menjadi tidak jelas pada Isnin,” tegas Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar kepada Sinar Premium.

TIDAK BERAT SEBELAH

Di sebalik polemik klausa MoU mengikat ahli Parlimen blok kerajaan, Hisommudin tidak melihat inti pati perjanjian persefahaman bersifat berat sebelah dan terlalu menekan parti-parti menyokong kerajaan secara keseluruhannya.

Sebagai contoh, klausa pertama MoU yang menekankan kepentingan memelihara Rukun Negara, Raja Perlembagaan dan tiga perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan membuktikan PH terutama DAP perlu akur terhadap keperluan menjunjung asas Perlembagaan Persekutuan.

"Lebih menarik, inti pati MoU ini buat pertama kalinya mengiktiraf kepentingan Sabah dan Sarawak melalui pelaksanaan MA63 secara lebih jelas dan berfokus.

"Dengan MoU itu bakal mengukuhkan kuasa prerogatif Perdana Menteri, kewujudan Majlis Perundingan dan Timbang Tara sekiranya kerajaan berdepan konflik dalaman juga merupakan satu mekanisme baik agar setiap percanggahan dalaman dapat diselesaikan secara harmoni,” ujar Hisommudin lagi.

Pandangan Hisommudin turut disokong Profesor Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Zaid Ahmad yang melihat inti pati MoU itu sekadar menetapkan parameter sokongan ahli-ahli Parlimen blok kerajaan terhadap Anwar.

Anwar amat memerlukan bukti sokongan bertulis daripada ketua-ketua parti menyokong beliau bagi mengukuhkan kepercayaan rakyat menjelang usul undi percaya terhadapnya pada 19 November ini.

Jelas beliau, sekiranya sesuatu usul rang undang-undang perbekalan itu tidak mempengaruhi legitimasi sokongan ahli Parlimen terhadap kerajaan, ahli-ahli Parlimen blok kerajaan sebenarnya tiada masalah untuk menyuarakan undi berkecuali atau menolak.

"Kena ingat kestabilan politik adalah perkara paling ditekankan Yang di-Pertuan Agong. Jadi mana-mana pihak tidak boleh mentafsirkan klausa mengikat ahli-ahli Parlimen menyokong kerajaan itu secara ‘lump sum’.

"Kalau melalui parameter seperti usul undi percaya Anwar atau belanjawan tahunan, memang wajib kena sokong. Tetapi kalau sekadar usul rang undang-undang perbekalan biasa, saya fikir tiada masalah ahli-ahli Parlimen menyuarakan kebebasan memilih berasaskan sistem semak dan imbang dalam kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar daripada Perikatan Nasional (PN), Misbahul Munir Masduki berpandangan klausa MoU itu membuktikan Anwar tiada angka sokongan mencukupi untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan Malaysia sebelum ini.

"Justeru, saya menyeru kepada mana-mana ahli Parlimen tidak menyokong agenda perjuangan Pakatan Harapan (PH) dan lebih berani untuk tidak sokong usul undi percaya terhadap Anwar pada 19 Disember ini.

"Jangan takut hilang kerusi ahli Parlimen sekiranya Perkara 49A (1) Perlembagaan Persekutuan dikenakan terhadap mereka atas kebebasan suara dibuat.

"Saya bersetuju dengan pandangan ahli-ahli Parlimen yang hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan dikosongkan kerusi mereka, perlu dibenarkan bertanding atas tiket PN sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

"Dengan gelombang ‘tsunami’ sokongan pengundi Melayu terhadap PN semakin kukuh, saya harap mereka tidak takut membuat keputusan berprinsip demi masa depan negara ini,” luahnya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca