SHAH ALAM - Kerajaan digesa supaya melihat semula zon-zon pembangunan yang berada di kawasan sensitif alam sekitar di negara ini bagi mengelak tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran Father's Organic Farm, Batang Kali,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan digesa supaya melihat semula zon-zon pembangunan yang berada di kawasan sensitif alam sekitar di negara ini bagi mengelak tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor berulang.

Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Hafizudin Nasarudin berkata, sehubungan itu, kerajaan perlu melakukan pengezonan semula dan memastikan zon-zon pembangunan dilakukan di kawasan yang kurang sensitif.

"Saya lihat banyak premis-premis pembangunan yang masih lagi bertindih dengan kawasan sensitif alam sekitar sama seperti Batang Kali, terutamanya di Cameron Highland, Lojing dan Simpang Pulai.

"Memang banyak di kawasan tanah tinggi dan berkecerunan tinggi tetapi pihak berkuasa tidak mengambil tindakan serius,” katanya.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan tragedi tanah runtuh yang mengakibatkan guru dan ahli keluarga mereka menjadi korban dalam kejadian tersebut.

Sehingga petang Sabtu, angka kematian mencecah 24 orang dan sembilan lagi individu masih belum ditemui manakala 61 yang lain berjaya diselamatkan.

Hafizudin

Sementara itu, ulas Hafizudin, tapak perkhemahan yang berlakunya insiden tanah runtuh itu juga telah diwartakan oleh kerajaan sebagai kawasan sensitif alam sekitar tahap kedua.

Menurutnya, kawasan sensitif alam sekitar yang berada pada tahap kedua tidak boleh dibenarkan sebarang pembangunan dibuat melainkan aktiviti ekopelancongan terkawal, penyelidikan dan pembalakan terpilih.

"Lagi satu kita lihat, cerun kawasan itu memang tinggi daripada 30 darjah sehingga 45 darjah. Jadi sudah tentu memang akan terjadi tanah runtuh.

"Ia juga terletak di kawasan tinggi iaitu lebih kurang 600 meter. Kawasan alam sekitar kalau 300 meter ke atas itu memang sudah dikira sensitif,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Hafizudin, tindakan penguatkuasaan dan pemantauan juga perlu ada kerjasama antara orang awam dengan kerajaan.

"Orang awam memang nak jaga kawasan-kawasan alam sekitar ini tetapi mereka tidak ada ilmu atau kemahiran.

"Jadi, kerajaan menerusi agensi, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebagainya kena latih orang tempatan untuk mereka faham apakah kesalahan yang boleh dilakukan oleh kontraktor.

"Supaya pada akhir nanti, apa sahaja pencerobohan atau pembangunan di situ mereka boleh jadi ‘mata dan telinga’ kepada agensi dan mereka boleh lapor secepat mungkin,” jelasnya.

PANTAU KAWASAN BERISIKO SECARA BERKALA

Dalam pada itu, penggiat rekreasi negara dan juga pengusaha resort, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, pengusaha tapak perkhemahan atau pusat pelancongan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran melakukan pemantauan sekurang-kurangnya sekali setahun pada setiap kawasan bercerun terutama tanah-tanah yang berisiko berlakunya kejadian tanah runtuh.

Tegasnya, menerusi pemantauan secara berkala, bencana tanah runtuh dapat dielakkan atau bagi kawasan sememangnya berisiko tinggi boleh diminimumkan.

Menurut beliau, pemantauan itu juga perlu mendapat kerjasama daripada Jabatan Mineral dan Galian (JMG).

"Pengusaha tapak perkhemahan perlu berbincang dengan PBT dan JMG bagi melaksanakan pemeriksaan struktur tanah, lihat cerun itu stabil atau tidak dan sama ada cerun itu berisiko atau tidak.

"Jika cerun itu berisiko runtuh, kawasan tersebut perlu ditutup buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada projek baik pulih tanah seperti memasang konkrit bagi menguatkan cerun,” ujarnya ketika dihubungi pada Sabtu.

Tambah Muhamad Muqharabbin, tiada masalah sekiranya tapak perkhemahan di cerun dikosongkan sementara.

"Bagaimanapun, saya harap penutupan itu bukan selama-lamanya. Jangat tutup tempat peranginan tetapi buat pemantauan, itu lagi bagus.

"Ini kerana, tempat-tempat peranginan alam semula jadi sebenarnya menarik perhatian ramai pelancong, sayang kalau ditutup,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca