OBSESI masyarakat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim atau PMX (Perdana Menteri Ke-10) sebagaimana yang beliau dikenali sekarang dalam media-media sosial sangat tinggi hinggakan apa jua cakap dan tindak-tanduk beliau mendapat reaksi tidak kira... Klik di sini untuk terus membaca

OBSESI masyarakat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim atau PMX (Perdana Menteri Ke-10) sebagaimana yang beliau dikenali sekarang dalam media-media sosial sangat tinggi hinggakan apa jua cakap dan tindak-tanduk beliau mendapat reaksi tidak kira positif atau negatif.

Setakat ini daripada apa yang Belalang tengok, boleh dikatakan kebanyakannya positif. Namun ada juga yang tidak terlepas daripada komen negatif.

Misalannya PM melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan. Beliau ada alasan yang tersendiri dan menegaskan tidak mengambil gaji sebagai menteri tapi tetap dikritik ramai dan satu lagi ialah melantik orang kalah sebagai menteri dan timbalan menteri sementara yang menang tidak diberi peranan sebagai menteri.

Yang terbaharu ialah keputusan untuk menamatkan khidmat orang politik dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, syarikat berkanun dan agensi kementerian.

Walaupun dalam notis penamatan tersebut tidak dinyatakan apakah lantikan baharu juga nanti akan bebas daripada orang politik tapi seluruh negara dengan pantas mendesak supaya jangan ada lagi orang politik yang dilantik semula.

Namun sehari selepas itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan segera juga melantik semula seorang Ketua UMNO Bahagian di Kelantan untuk menerajui salah sebuah agensi di bawah kementeriannya.

Langsung tindakan ini mengundang pelbagai reaksi negatif di media sosial. Orang cakap, hari ini PM pecat, esok TPM lantik semula.

Ia menjadi bahan jenaka seluruh rakyat Malaysia yang 24 jam sebelum itu memuji tindakan tegas dan berani Anwar mengubah cara lama kepada cara baharu.

Ini sebahagian daripada kekangan yang sedang dihadapi Anwar. Beliau kelihatan berusaha sedaya yang boleh untuk melakukan perubahan demi perubahan tapi nampaknya tidak semua berjalan lancar seperti diharapkan.

Rakyat nampaknya harus menerima hakikat bahawa bukan semua arahan politik itu boleh menjadi nyata.

Adakalanya terbantut di tengah jalan kerana ini adalah kerajaan campuran. Ia bukan kerajaan Anwar seorang.

Dan 19 hari bulan ini iaitu esok lusa, Anwar akan lalui ujian terbesar dalam perjalanan beliau sebagai PMX.

Ini kerana, keabsahan beliau sebagai PMX bakal ditentukan menerusi undi kepercayaan di Dewan Rakyat.

Beliau dijangka akan lepasi ujian ini tanpa masalah. Tapi siapa tahu apa akan terjadi.

Belalang doakan yang baik-baik saja bukan sahaja untuk Anwar tapi juga kerajaan dan negara.

Kita tidak mahu suasana yang tidak menentu mencengkam dada. Kita mahu teruskan langkah memasuki tahun baharu tanpa ada sendu dan sendawa dalam.

Belalang - Tidak suka melompat walaupun boleh...

Klik di sini untuk terus membaca