JUMLAH 31 kerusi yang dimenangi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini memperlihatkan bahawa parti itu kini lebih besar daripada BN yang hanya memperoleh 30 kerusi.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berpandangan, partinya mempunyai hak untuk bercakap tentang agenda bumiputera, integriti, kerajaan bersih dan kemajuan orang Melayu-Islam berbanding UMNO yang didakwa telah hilang legitimasi.
Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid bersama Wan Saiful mengupas beberapa isu berhubung pasca PRU15.
SINAR AHAD: Tahniah Datuk di atas kemenangan di Tasek Gelugor sekali gus mengekalkan kerusi yang sebelum ini disandang Datuk Shabudin Yahaya. Bilangan pengundi juga di luar jangkaan dengan mencecah 83.83 peratus berbanding PRU14. Bagaimana Datuk melihat kemenangan luar biasa ini? Apakah faktor utama?
WAN SAIFUL: Saya rasa ada kesedaran terutama sekali dalam kalangan pengundi-pengundi baru. Sebenarnya sebelum pilihan raya, antara perkara yang amat saya bimbang ialah sekiranya pengundi-pengundi baru tidak keluar mengundi. Ini kita lihat berlaku di Melaka dan Johor.
Peratusan keluar mengundi adalah rendah dan saya rasa strategi yang digunakan oleh UMNO dan BN sebelum ini untuk bubarkan Parlimen pada musim tengkujuh ialah untuk mengusahakan supaya peratusan keluar mengundi rendah.
Tetapi alhamdulillah kesedaran rakyat kita lihat agak tinggi dan mereka balik mengundi.
Ini merupakan satu perkara yang baik dan menyumbang kepada kemenangan saya di Tasek Gelugor. Saya amat bersyukur dengan kemenangan ini.
SH: PRU15 menyaksikan gelombang sokongan luar biasa terhadap Perikatan Nasional (PN). Golongan mana yang paling ramai undi PN dan adakah benar menyokong PN disebabkan mahu menunjukkan protes menolak BN dan Pakatan Harapan (PH)?
Kalau guna pengalaman saya di Tasek Gelugor, apa yang berlaku ialah tidak menjangka bilangan majoriti yang kita dapat setinggi itu, lebih 12,000.
Sebelum ini, Datuk Shabudin menang dengan 81 undi sahaja. Ini menunjukkan berlaku peningkatan bilangan pengundi dan dalam masa sama orang yang mengundi parti lain sebelum ini juga mengundi PN.
Saya rasa gelombang yang ada itu ialah gelombang yang mahukan pembaharuan. Kita tidak boleh nafikan keinginan rakyat ialah kepada sebuah kerajaan bersih, tidak ada kes-kes rasuah dan ini dizahirkan dalam undi mereka.
Sebab itu bagi saya, pandangan yang mengatakan bahawa kita menyaksikan gelombang hijau dan gelombang politik Islam adalah pandangan yang dicipta oleh pihak musuh PN untuk menakutkan rakyat seolah-olah PN ini ada satu kelompok sahaja menyokongnya.
Tidak logik kalau kita nak kata bahawa hanya orang Islam sahaja menyokong PN. Di Tasek Gelugor sendiri, pengundi Cina dan India mengundi PN.
Jadi, kalau nak kata ini gelombang Islam atau gelombang Melayu, bagaimana kita nak rasionalkan sokongan yang kita dapat daripada pengundi bukan Melayu dan bukan Islam.
Bagi saya, ini adalah satu gelombang masyarakat yang mahukan integriti, pembaharuan, kerajaan yang bersih dan menolak amalan salah guna kuasa.
SH: PN kini menjadi pembangkang walaupun menang di utara dan pantai timur pada PRU15. Bagaimana Datuk melihat masa depan PN? Mampukah PN menguasai enam negeri yang bakal mengadakan PRN pada 2023 iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan?
Saya rasa Kedah, Kelantan dan Terengganu kita ada potensi untuk menang dengan jumlah yang amat ‘sihat’ di sana, insya-ALLAH. Begitu juga di Pulau Pinang, kita ada kerusi-kerusi contohnya di Tasek Gelugor saya sudah umumkan kita ada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN).
Matlamat saya ialah untuk memastikan ketiga-tiga DUN tersebut dapat dipindahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN. Ini boleh kita buat di Tasek Gelugor, Permatang Pauh, Kepala Batas dan mengekalkan kerusi-kerusi lain yang dimiliki oleh ADUN-ADUN daripada PN di Pulau Pinang.
Begitu juga di negeri-negeri lain yang perlu mengadakan pilihan raya ini. Saya rasa potensi ada dan peluang untuk kita menang amat cerah. Tetapi ada prasyarat.
Pertama sekali kita mesti berjaya tangkis tohmahan daripada musuh politik yang mengatakan PN ini hanya membawa suara orang Melayu-Islam sahaja.
Sebenarnya yang kita bawa ialah suara pengundi dan suara rakyat mahukan pembaharuan, kerajaan bersih dan stabil.
Ini bukan isu bangsa dan agama, tetapi isu mahukan kerajaan yang berintegriti. Kita mesti boleh menangkis tohmahan dan usaha mencipta persepsi yang mereka lakukan sekarang.
Di waktu yang sama, kita juga boleh lebarkan capaian ke kawasan-kawasan bandar dan juga dalam kalangan pengundi bukan Melayu.
Itu kita kena terima hakikat sebab bila ditakutkan pengundi bukan Melayu, maka ada yang terpengaruh. Jadi kita kena pastikan bahawa boleh mencapai ke dalam rangkaian mereka.
SH: Kawasan bandar merupakan kubu kuat PH. Bagaimana PN mahu tembusi kawasan-kawasan bandar ini?
Tak dapat tidak, kita kena pastikan parti kita dapat bertapak dengan sihat di semua kawasan, baik bandar atau luar bandar. Di kawasan bandar, kita ada cabaran yang mana corak pemikiran pengundi di kawasan ini mungkin agak berbeza.
Kita perlu lebih banyak interaksi melibatkan mereka dalam memberikan pandangan dan mengenai hala tuju parti.
Kalau kita dapat memperkukuhkan pergerakan dan keberadaan parti di sesuatu tempat, saya rasa kita ada peluang cerah.
SH: Apa komen Datuk mengenai dakwaan mengatakan PN masih terkebelakang menjadi pembangkang yang sering meniup sentimen agama dan perkauman dengan tersebarnya beberapa video tular di media sosial kebelakangan ini?
Ini adalah satu usaha terdesak daripada pihak PH dan BN yang mana mereka tidak ada isu nak dimainkan. Nak tuduh PN rasuah, kita tak rasuah. Rasuah di pihak mereka.
Nak tuduh kita salah guna kuasa, tidak ada. Salah guna kuasa di pihak mereka. Jadi, mereka menggunakan isu agama dan perkauman untuk mencacatkan imej PN di mata rakyat.
Mencipta persepsi ini memang kawan-kawan dalam PH pandai. Yang mana apa yang mereka lakukan ialah menggunakan isu agama dan bangsa, mengatakan kita yang patut berhenti guna isu agama dan bangsa.
Sedangkan di sebelah kita mengatakan mereka dipenuhi oleh individu-individu yang ada kes mahkamah.
Kita tidak menggunakan isu agama dan bangsa. Mereka yang menggunakan isu agama dan bangsa dengan mengatakan kita ini mewakili suara orang-orang Melayu-Islam sahaja.
Kalau sebelah PH dan BN betul-betul nak bergerak ke depan, cadangan saya PH dan BN tolong berhenti menggunakan retorik agama dan bangsa.
Mari kita bercakap mengenai polisi, dasar, ideologi dan hala tuju negara. Tetapi dia tidak dapat (melakukannya) disebabkan dalam kalangan mereka tidak ada persefahaman.
SH: Kemenangan PN di Padang Serai dengan majoriti 16,000 undi dikatakan adalah petunjuk penolakan rakyat terhadap kerajaan PH dan BN. Tetapi dari segi pandangan Datuk, apa sebenarnya faktor utama kemenangan PN di sana?
Di Tioman kita kalah tipis dan Padang Serai kita menang besar. Ini menunjukkan rakyat tidak tertipu dengan PH dan BN.
Mereka sedar, bila bergabung maka gabungan itu adalah gabungan yang buruk untuk negara.
Sedangkan yang ditawarkan oleh PN ialah perkara yang lebih baik untuk negara dan maju ke depan.
- Isu panas tentang bekas Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan pengikutnya bertindak meninggalkan parti. Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan mereka sebagai pengkhianat parti dan rakyat Sabah. Bagaimana pula pandangan Datuk? Apa kedudukan Bersatu Sabah sekarang?
Parti Bersatu Sabah kekal wujud dan berfungsi disebabkan ia sebuah parti dan organisasi. Bila ada yang keluar meninggalkan parti, maka akan ada penggantinya.
Macam kita kerja dekat mana-mana syarikat. Contohnya di Sinar Harian. Apabila ada editor keluar, ada editor baru masuk. Ada wartawan keluar, ada wartawan baru masuk.
Daripada setinggi-tinggi jawatan, sehinggalah serendah-rendah jawatan ada keluar dan ada yang masuk. Bagi saya, ini bukan satu masalah.
Ya, kita sedih apabila kawan-kawan meninggalkan parti. Tetapi parti tetap kekal dengan agenda perjuangannya. Bersatu di Sabah akan disusun semula dengan kepimpinan baharu.
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee telah dilantik Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah menggantikan Hajiji. Bagi saya, Bersatu di Sabah akan menjadi lebih baik selepas ini dipimpin oleh mereka yang benar-benar percaya dengan agenda kita bawa.
SH: Apakah tindakan mereka ini menyebabkan lebih ramai lagi ahli yang akan mengikuti jejak langkah keluar Bersatu di Sabah?
Kita kena tunggu dan lihat. Memanglah ada kesan, sesiapa yang keluar parti ada kesan. Contoh hari ini kita terpaksa bincang mengenai suasana di Sabah. Jadi, kesan itu ada.
Tetapi kita kena tunggu dahulu, tengok apa yang akan berlaku selepas ini. Parti telah memberikan amanah kepada Datuk Seri Dr Ronald dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk sama-sama berbincang dan menubuhkan struktur yang baru menggantikan mereka yang keluar parti di Sabah.
SH: Kiranya Bersatu tidak akan terkubur di Sabah?
Sejarahnya begini. Yang keluar daripada Bersatu dan buat parti baharu, dia kalah dan hilang deposit. Yang kekal dalam Bersatu hari ini alhamdulillah dapat bantuan daripada ALLAH untuk menang di banyak kerusi.
Bersatu sebuah parti yang berkembang, sebab agenda kita jelas dan keinginan kita untuk membantu rakyat. Orang sudah mula bercakap Hajiji untuk mengekalkan kedudukannya sanggup membelakangkan parti yang mengangkatnya ke kedudukan itu.
Malahan hari ini sudah mula dipersoalkan adakah ahli-ahli Parlimen yang menang di Sabah itu terpaksa mengosongkan kerusi mereka disebabkan Akta Lompat Parti.
Dia kata bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetapi GRS itu asalnya daripada gabungan yang melibatkan Bersatu. Jika tidak ada Bersatu, tidak ada GRS.
Sama macam orang UMNO, bertanding tiket BN. Tetapi kalau keluar daripada UMNO, masuk MCA contohnya, lompat parti juga.
Ini adalah elemen perundangan yang perlu dibincangkan dan kita akan tengok daripada segi undang-undang mereka ini terpaksa kosongkan kerusi itu atau tidak.
SH: Pada pandangan Datuk, adakah kerusi itu kosong?
Saya rasa kita kena lalui proses itu dahulu. Saya pun tidak pasti sebenarnya bagaimana nak trigger penguatkuasaan Akta Lompat Parti ini disebabkan prosesnya tidak jelas. Adakah ini proses mahkamah atau proses Dewan Rakyat. Kita nak hantar laporan kepada siapa? Buat aduan ke mahkamah atau kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Ini adalah persoalan-persoalan yang belum jelas. Di pihak parti, memang kita sedang bincangkan dan serahkan kepada Datuk Seri Ahmad Faizal dan Datuk Seri Dr Ronald untuk menyelesaikannya.
SH: Apa sebenarnya tindakan daripada Bersatu melalui penyerahan kepada Datuk Seri Ahmad Faizal dan Datuk Seri Dr Ronald?
Perkara ini baru sangat berlaku, jadi saya rasa kena beri sedikit masa untuk pasukan yang dipimpin oleh dua pemimpin tertinggi ini menyelesaikan dan melantik individu baharu untuk menggantikan mereka yang meninggalkan parti.
Kita kena ingat, yang betul-betul isytihar (keluar) baru beberapa orang.
Katakanlah ADUN yang isytihar untuk keluar itu ialah ketua bahagian. Maka timbalan, naib, setiausaha bahagian, ketua penerangan dan ahli jawatankuasanya ada.
Kalau seseorang keluar, ada ramai lagi dalam barisan kepimpinan. Ini semua kita perlu jumpa, berbincang dan melantik individu baharu menggantikan tempat ketua tersebut.
SH: Jika diikutkan mereka yang bertanding dalam PRU15 menggunakan logo GRS, manakala Datuk Seri Dr Ronald menggunakan logo PN. Adakah itu akan menyebabkan mereka kekal sebagai ahli Parlimen?
Itu yang kita belum jelas. Contohnya ahli Parlimen UMNO di Sabah tiba-tiba masuk Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Dua-dua dalam BN.
Kosong atau tidak kerusi itu? Itu yang perlu dijawab di peringkat perundangan. Kita sedang buat kajian terhadap perkara ini dan sudah pasti, bagi kita menganggap kerusi itu patut dikosongkan. Ini disebabkan kewujudan GRS adalah hasil adanya Bersatu.
Kalau Bersatu tidak ada, GRS tidak ada. Dia ahli mana sebenarnya? Adakah betul GRS itu ada daftar keahlian individu? Wujud ke kategori ahli terus dalam GRS? Ini semua perlu dikaji.
Sekiranya tidak wujud keahlian daftar terus dalam GRS, sebagai individu maka mereka ini tidak ada parti.
SH: Bagaimana Datuk melihat Bersatu selepas memperoleh kemenangan 70 daripada 112 kerusi majoriti Melayu pada PRU15? Adakah Bersatu sudah berjaya ‘membunuh’ UMNO?
Jumlah itu adalah kerusi PN. Bersatu sendiri sekarang ada 31 kerusi Parlimen. Ini membuatkan kita lebih besar daripada BN yang ada 30. UMNO ketinggalan, kurang daripada itu.
Parti yang ada hak untuk bercakap tentang agenda bumiputera, dipercayai oleh rakyat bagi membawa agenda integriti, kerajaan bersih, kemajuan bumiputera orang Melayu-Islam adalah Bersatu.
UMNO telah hilang legitimasi. Ditambah lagi bersekongkol dengan PH, dengan DAP sebuah parti yang kita tahu amat berbeza daripada apa yang dipegang oleh UMNO dan BN.
Saya tak tahu mana orang UMNO nak letak muka, terutama di sebelah Pulau Pinang. Bagi saya kalau sekiranya ada lagi mereka yang bersemangat untuk mempertahankan agenda bumiputera, integriti, politik baru untuk orang Melayu, maka sebenarnya tempat untuk mereka dalam Bersatu, bukan dalam UMNO lagi.
Hakikatnya saya nak ulang sekali lagi, Bersatu hari ini adalah lebih besar daripada UMNO dan lebih besar daripada BN secara keseluruhan.
SH: Kiranya Bersatu sudah menggantikan UMNO?
Saya rasa kita telah menggantikan UMNO pada hari ini di mata orang Melayu.
SH: Dalam wawancara dengan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman baru-baru ini, beliau ada menyatakan ahli parlimen PN akan dibahagikan dalam bentuk kluster atau pengkhususan agar dapat memberi fokus kepada setiap isu rakyat di sidang Parlimen. Bagaimana pandangan Datuk tentang pembentukan kluster ini?
Kita akan bentuk kabinet bayangan yang mana dalam sesebuah kementerian akan dilantik beberapa orang. Inilah klusternya untuk fokus kepada kementerian itu. Ini menunjukkan kita serius menjalankan tanggungjawab sebagai pembangkang berwibawa.
Betul, apa yang disebut oleh Ahli Parlimen Bachok itu dan kita dalam proses. Kita ambil satu langkah ke hadapan yang mana mula-mula kita lantik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Dalam pertemuan dengan Datuk Seri Hamzah beberapa hari lepas, saya ada tanya mengenai hal ini dan beliau menjelaskan akan menghantar surat untuk meminta ahli-ahli Parlimen kita menyatakan minat mereka di mana.
Kemudian, proses pembentukan kabinet bayangan itu akan dibuat. Proses kita pun lain yang mana nak membentuk kabinet bayangan cara kita demokratik.
Kita tidak tergesa-gesa, tidak berebut-rebut jawatan tetapi kita menjalankan proses yang demokratik. Yang mana kita lantik Ketua Pembangkang dan kemudian akan membentuk barisan kabinet bayangan.
SH: Ramai orang menganggap pelantikan Datuk Seri Hamzah sebagai Ketua Pembangkang ini menunjukkan beliau calon Perdana Menteri untuk pilihan raya akan datang. Komen Datuk?
Kita ada Ketua Ahli Parlimen, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Ketua, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Mereka kekal sebagai ketua. Tetapi apa yang kita buat ialah bezakan sedikit antara peranan untuk memperkasakan parti dan peranan untuk memperkasakan fungsi ahli Parlimen dalam kalangan PN.
Datuk Seri Hamzah akan fokus dari segi peranan kita sebagai pembangkang yang berwibawa (manakala) pembinaan parti akan terus dijalankan oleh dua Presiden termasuklah Presiden Parti Gerakan Rakyat malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.
SH: Kerajaan Perpaduan telah lengkap dengan dua Timbalan Perdana Menteri, 25 menteri dan 27 timbalan menteri. Sedikit pandangan Datuk tentang pemilihan yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apakah Datuk melihat kerajaan ini mampu bertahan?
Yang pertama sekali dari segi terminologi dalam sains politik, ini bukan Kerajaan Perpaduan. Kerajaan Perpaduan tidak ada pembangkang. Apa yang ada adalah kerajaan biasa, sama seperti yang dipimpin oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Tetapi dari segi propaganda, tak mengapa Anwar untuk menggunakan nama Kerajaan Perpaduan.
Sebab saya nak tanya juga berpadu atas apa?Adakah perpaduan ini atas dasar melindungi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada kes mahkamah?
Adakah perpaduan ini untuk menyelamatkan golongan rasuah dan kleptokrat? Adakah perpaduan ini atas dasar untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri semata-mata yang tidak tahu agendanya.
Saya rasa kerajaan ini tidak boleh bertahan lama. Sebab agendanya terlalu berbeza. Saya tanya soalan senang contohnya. Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim baru dilepaskan dan dibebaskan. Selepas ini, kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid kita akan tahu.
Cuba bayangkan jika beliau masuk penjara, apa akan terjadi kepada kerajaan? Jika tidak masuk penjara, apa akan terjadi kepada kerajaan? Ini adalah persoalan-persoalan yang perlu ditanya dan difikirkan oleh rakyat.
Beliau adalah individu yang hampir-hampir ditendang keluar oleh UMNO sendiri. Tetapi Anwar beri talian hayat untuk kekal sebagai Presiden UMNO.
Orang UMNO suka ke apa yang dibuat oleh Anwar ini? Apa kerjasama antara mereka berdua sehingga Anwar tolong Presiden UMNO kekal dalam keadaan orang UMNO pun tidak suka kepada Ahmad Zahid.
Tengok contoh di Sarawak. DAP ada, PKR ada dan Amanah pun bertapak di Sarawak. Agak-agak Anwar akan beri muka kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS)?
Pasti DAP, PKR, Amanah akan menggunakan peluang dalam kerajaan ini untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di Sarawak.
Apa maksudnya? Dia akan mencabar kekuasan yang ada oleh GPS terutamanya parti yang dipimpin oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg sekarang. Juga di Sabah, GRS dia kata sokong (Kerajaan Perpaduan).
Di Sabah ada PKR, ada DAP, ada Amanah, ada Warisan dan ada UMNO.
SH: Berapa lama tempoh tidak bertahan ini yang Datuk lihat?
Saya rasa dalam enam bulan pertama ini tempoh yang kritikal bagi Anwar dan kita lihatlah apa yang akan berlaku dalam tempoh enam bulan ini.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berpandangan Bersatu ada hak untuk bercakap mengenai Bumiputera, integriti, kerajaan bersih dan kemajuan orang Melayu berbanding UMNO.
Katanya, jumlah 31 kerusi yang dimenangi oleh Bersatu pada PRU15 menunjukkan parti tersebut sudah selangkah daripada Barisan Nasional yang hanya memperoleh 30 kerusi.
Saksikan Wawancara Eksklusif bersama Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan di semua platform digital Sinar Harian:
Facebook: https://bit.ly/3eRMif7
Portal: www.sinarharian.com.my
Twitter: https://bit.ly/3em9ymy
Youtube: https://bit.ly/3tieLju
Muzik:
Hard Way - Tuprak dari https://artlist.io/song/86948/hard-way
Restless Sea - Letra dari https://artlist.io/song/102498/restless-sea
#WawancaraEksklusif
#MalaysiaBerintegriti
#PerkasakanSuaraMalaysia
#PRU15" />