KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan ikatan politik tertua negara Barisan Nasional (BN) hanya mampu mendapat 30 kerusi Parlimen sahaja. Dari segi keputusan keseluruhan kerusi Persekutuan, mahu pun undi popular, BN menduduki... Klik di sini untuk terus membaca

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan ikatan politik tertua negara Barisan Nasional (BN) hanya mampu mendapat 30 kerusi Parlimen sahaja.

Dari segi keputusan keseluruhan kerusi Persekutuan, mahu pun undi popular, BN menduduki tangga ketiga di belakang Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

PH mendapat 82 kerusi manakala PN mendapat 74 kerusi. Dari segi undi popular, PH menguasai 37.46 peratus, diikuti oleh PN 30.35 peratus dan BN 22.36 peratus.

Secara keseluruhan, BN mengalami kemerosotan kerusi dan undi popular yang sangat ketara berbanding dua ikatan politik lagi.

Di sebalik dasar-dasar popular Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam pemberian subsidi dan menangani inflasi, serta data-data yang menunjukkan pemulihan ekonomi negara berada di landasan betul, BN gagal mendapat mandat yang diharapkan.

Walaupun BN menang cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor, namun keputusan tersebut tidak diterjemahkan dalam PRU15 di peringkat Persekutuan, negeri Pahang dan Perak.Isyarat dalam PRU15 sangat berbeza.

Penamaan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri tidak mencukupi kerana pengundi bersikap sinikal dan tidak percaya Pengerusi BN akan mengotakan janjinya.

Tindakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut bertanding dan memimpin naratif BN telah menjejaskan peluang parti tersebut untuk mendapat sokongan lebih besar.

Tindakan beliau menggugurkan beberapa orang menteri kanan yang dilihat pro Ismail Sabri turut menambah defisit kepercayaan pengundi terhadap BN.

Dalam pemikiran pengundi jika sebelum penamaan calon pun Ahmad Zahid telah ‘memancung’ pasukan Ismail Sabri, mustahil untuk beliau memberi laluan kepada Ismail Sabri jika BN menang.

Lalu PRU15 menjadi pertarungan personaliti antara Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahmad Zahid.

Jawapannya jelas, Anwar mengekalkan pengaruhnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu, namun Muhyiddin dengan dukungan Pas merampas sokongan majoriti pengundi Melayu daripada BN.

BN hanya mengekalkan pengundi setia mereka dalam UMNO dan parti komponen lain tanpa mampu mendapatkan sokongan pengundi luar parti.

Tiada orang lain harus menanggung kekalahan ini kecuali Ahmad Zahid sebagai ketua parti.

Beliau yang mendesak diadakan PRU, beliau yang menentukan naratif parti dalam PRU dan beliau juga yang menentukan calon-calon bertanding, termasuk menyingkirkan calon-calon yang hampir pasti menang.

Almarhum Tunku Abdul Rahman, bapa kemerdekaan, turut melepaskan jawatan apabila BN mencatatkan keputusan buruk dalam PRU3 (1969).

Dr Mahathir, bapa pemodenan negara, turut mengambil keputusan melepaskan jawatan sebelum PRU11 berikutan kemerosotan undi Melayu terhadap BN dalam PRU10 (1999); walaupun masih mengekalkan majoriti dua pertiga dan undi popular melebihi 50 peratus.

Tun Abdullah Ahmad Badawi turut mengambil langkah sama apabila prestasi BN merosot dalam PRU12 (2008).

Datuk Seri Najib Tun Razak turut meletak jawatan apabila BN buat pertama kali gagal kembali berkuasa dan hanya memenangi 79 kerusi Parlimen dalam PRU14 (2018).

Hari ini bukan sahaja BN telah kalah teruk, parti utamanya UMNO telah menggadai prinsip perjuangan selama puluhan tahun dengan menyertai kerajaan bersama DAP untuk membantu Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

UMNO sudah berkorban segala-galanya untuk Ahmad Zahid. Sudah tiba masanya Ahmad Zahid pula berkorban untuk UMNO dengan melepaskan jawatan Presiden.

Ahli UMNO perlu sedar bahawa retorik perjuangan agama, bangsa dan negara sahaja tidak cukup apabila tindakan kepimpinan parti bertentangan dengan apa yang dilaungkan.

Undi ahli UMNO sahaja tanpa sokongan orang Melayu di luar parti, tidak cukup untuk memulihkan UMNO.

Peluang UMNO untuk kembali pulih dan mendapat sokongan orang Melayu di luar parti sangat tipis jika mereka yang membawa kerjasama dengan Anwar dan DAP ini kekal menerajui kepimpinan parti.

Mereka boleh kekal dalam kerajaan hari ini, kerajaan ini boleh kekal dengan sokongan ahli Parlimen UMNO secara individu.

Namun UMNO memerlukan kepimpinan baharu yang menjarakkan diri dengan kerajaan ini jika mahu kembali mendapat kepercayaan orang Melayu.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca