SEBAGAI sebuah negara yang mengamalkan konsep federalisme, Malaysia mempunyai dua badan pembuat undang-undang iaitu Parlimen dan Dewan Negeri. Negara lain seperti Australia dan Amerika Syarikat juga mengamalkan konsep negara persekutuan... Klik di sini untuk terus membaca

SEBAGAI sebuah negara yang mengamalkan konsep federalisme, Malaysia mempunyai dua badan pembuat undang-undang iaitu Parlimen dan Dewan Negeri.

Negara lain seperti Australia dan Amerika Syarikat juga mengamalkan konsep negara persekutuan atau federalisme ini.

Hubungan antara Persekutuan dan negeri-negeri dalam Malaysia dinyatakan secara khusus di dalam Bahagian VI Perlembagaan Persekutuan umpamanya Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Parlimen mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara yang dinyatakan dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama manakala Dewan Negeri pula mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara yang dinyatakan di dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

Dalam hal demikian taburan kuasa kedua-dua badan ini telah ditetapkan. Mereka saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Penulis tidak berhasrat untuk membincangkan isu Perlembagaan ini, cukuplah sekadar menyatakan bahawa antara perkara yang wujud di dalam Senarai Negeri ialah hal ehwal berkaitan dengan agama Islam bagi negeri-negeri selain Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Ini bermakna secara umumnya Islam terletak di dalam bidang kuasa negeri.

Hal ini dapatlah difahami kerana Sultan merupakan Ketua Agama bagi negerinya.

Keharmonian ini ditambahkan lagi apabila setiap Sultan atau Raja yang menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya, baginda perlulah bersumpah akan mempertahankan Islam pada setiap masa.

Malah sejak sebelum penjajahan lagi, Islam memainkan peranan utama dalam tata kelola masyarakat Melayu Nusantara.

Tatkala penjajah datang kedudukan agama Islam terutamanya dalam undang-undang keluarga Islam tidak diusik oleh penjajah.

Raja-Raja mempunyai kuasa yang besar dalam hal ehwal Islam. Kuasa Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam semasa penjajahan juga tidak disentuh.

Berbalik kepada hal ehwal Islam yang terletak dalam bidang kuasa negeri ini, sudah tentulah perkara yang sedikit ini merupakan ‘autonomi’ kepada negeri dalam menegakkan syiar Islam selain di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Hal yang demikian termasuklah penubuhan majlis agama negeri, mufti, mahkamah syariah dan jabatan agama.

Hal ehwal Islam sebagai perkara negeri ini bukanlah hanya deklarasi sahaja.

Tidak dinafikan ia mempunyai kesan perundangan dan implikasi yang besar terhadap hubungan antara Persekutuan dan negeri-negeri.

Apatah lagi undang-undang Islam mempunyai jurisprudennya tersendiri yang kadangkala tidak difahami oleh orang yang tidak mendalami undang-undang Islam.

Dalam erti kata lain kerajaan Persekutuan tidak boleh mencampuri urusan agama Islam kerana ia adalah urusan negeri yang diketuai oleh Ketua Agama melainkan mendapat perkenan daripada Raja-Raja Melayu.

Begitu juga sebaliknya kerajaan-kerajaan negeri tidak boleh mencampuri urusan Persekutuan seperti imigresen, pertahanan dan ketenteraman awam.

Kuasa kerajaan Persekutuan dalam hal ehwal berkaitan Islam hanyalah dalam perkara penentuan hukum syarak dan undang-undang diri yang lain bagi maksud undang-undang persekutuan.

Ini bermakna jika ada undang-undang Persekutuan yang memerlukan penentuan hukum syarak, kuasa menentukannya jatuh kepada kerajaan Persekutuan bukan kepada kerajaan negeri sebagaimana perkara lain seperti yang diperuntukkan dalam Butiran 4(k) Senarai I Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Oleh yang demikian kedua-dua badan perundangan, eksekutif terbabit perlulah menghormati kedudukan ini dan tidak melewati sempadan yang telah diperuntukkan itu.

Mencampuri urusan badan yang lain hanya akan menggugat konsep federalisme dan taburan kuasa tersebut.

Natijahnya kedua-dua badan perundangan ini akan hilang identitinya dan bertindak di luar batasan yang diberikan.

Ketidakharmonian ini akan menyebabkan perjalanan urusan negara akan tergendala.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca