TINDAKAN menambah subsidi dan mengurangkan harga tentulah disukai oleh orang ramai. Pihak yang melakukannya pula gembira mendapat puji-pujian. Dalam beberapa hal, menambah bantuan kewangan dan kebendaan kepada orang ramai boleh membantu... Klik di sini untuk terus membaca

TINDAKAN menambah subsidi dan mengurangkan harga tentulah disukai oleh orang ramai. Pihak yang melakukannya pula gembira mendapat puji-pujian.

Dalam beberapa hal, menambah bantuan kewangan dan kebendaan kepada orang ramai boleh membantu menambah produktiviti.

Apabila produktiviti meningkat, ia membantu menaikkan taraf hidup dan menambah bekalan. Misalnya, subsidi baja dan sokongan harga kepada penanam padi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu sebagai budak-budak kampung macam saya tentu cukup faham dengan perkara ini.

Malah di negara super maju seperti Switzerland pun masih memberi bantuan kewangan dan perlindungan pasaran kepada petani.

Ramai penggunanya pula memilih untuk membeli hasil pertanian tempatan walaupun harganya lebih mahal daripada makanan import.

Saya telah sebutkan dalam catatan sebelum ini yang Anwar dan Mohamad kena merasa ‘keleboq’ sawah untuk memahami masalah yang dihadapi oleh penanam padi, khususnya dan industri padi, amnya. Keleboq adalah istilah utara untuk lumpur.

Hatta dengan subsidi dan sokongan harga pun, produktiviti sawah masih tidak boleh menandingi negara-negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Ada dua sebab utama, iaitu sikap petani yang tidak berusaha cukup keras dan sistem pengairan yang tidak lengkap.

Dari banyak kawasan penanaman padi di negara kita, hanya Sekinchan di Selangor mempunyai sistem pengairan yang lengkap.

Bekas seorang Perdana Menteri pernah memberi alasan terlalu mahal untuk menaikkan taraf menjadi seperti Sekinchan.

Satu lagi masalah yang semakin meruncing di kawasan-kawasan pertanian tradisional adalah pemilikan tanah yang tidak ekonomik akibat sistem pembahagian harta.

Akibatnya, banyak sawah milik orang Melayu dipajak kepada petani komersial yang mengerjakan kawasan beratus ekar luasnya.

Subsidi tidak semestinya buruk kalau dilaksanakan dengan betul dan bersasar. Oleh sebab itulah negara-negara kapitalis yang maju seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun masih memberikan subsidi kepada petani.

Tetapi pemberian subsidi secara rambang dan menurunkan harga secara paksa boleh memburukkan lagi keadaan.

Kerajaan demi kerajaan dan Perdana Menteri demi Perdana Menteri telah menjanjikan dan melaksanakan pelbagai bentuk serta kaedah subsidi dan pengawalan harga.

Namun, setelah berpuluh-puluh tahun melaksanakannya subsidi tidak membantu menambah produktiviti mahupun mengurangkan harga pengguna dan membasmi kemiskinan.

Saya sudah banyak kali menulis tentang betapa tidak lojik, membazir dan tidak adil memberi subsidi petrol kepada orang kaya yang memiliki kereta mewah sedangkan orang miskin yang menggunakan motosikal dan kereta buruk hanya mendapat jumlah yang sedikit.

Nasihat saya kepada Anwar, yang juga Menteri Kewangan, jangan cakap saja mengenai subsidi bersasar kalau tidak tahu atau tidak berani melaksanakannya.

Baguslah kerajaan tidak menaikkan tarif elektrik untuk kegunaan rumah. Saya pun turut bergembira dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan tetapi had subsidi elektrik tidaklah tinggi.

Pengguna yang menggunakan lebih daripada had subsidi akan membayar tarif biasa dan pemasangan meter pintar oleh Tenaga Nasional Berhad membantu menaikkan pendapatannya.

Kesimpulannya, pemikiran semula dan penyasaran subsidi serta kawalan harga pengguna adalah wajar bagi memastikan duit cukai digunakan dengan lebih berhemah dan memberi kesan jangka panjang yang lebih baik kepada ekonomi negara serta rakyat jelata.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca