SHAH ALAM - Isu sama ada status seseorang ahli Parlimen dari blok penyokong gabungan Kerajaan Perpaduan Malaysia enggan menyokong undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Isnin, terlucut... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Isu sama ada status seseorang ahli Parlimen dari blok penyokong gabungan Kerajaan Perpaduan Malaysia enggan menyokong undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Isnin, terlucut keanggotaannya dalam Parlimen adalah tertakluk kepada Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan adalah pindaan baharu kepada Perlembagaan Persekutuan yang digubal untuk menghalang ahli Parlimen daripada bertukar parti, namun ia tidak menghalang seseorang ahli Parlimen daripada mengundi bertentangan dengan arahan partinya sendiri.

Pakar Perlembagaan dari Universiti Malaysia Pahang, Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain menegaskan, perlucutan keanggotaan seseorang Ahli Dewan Rakyat hanya boleh terjadi apabila syarat yang ditetapkan Perlembagaan dipenuhi.

Berikutan itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, semua kepimpinan parti berkenaan perlu mengambil langkah yang sah menurut undang-undang untuk menguatkuasakan apa yang dihasratkan sesuai perjanjian permuafakatan (MoU) antara gabungan politik dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia pimpinan Anwar, sebelum ini.

Wan Ahmad Fauzi berkata, keputusan politik kepartian tidak mutlak dan dibuat mengikut perkiraan politik, akhirnya semua langkah dan keputusan perlu memenuhi syarat undang-undang untuk membolehkannya di kuatkuasa secara sah.

"Bagaimanapun, secara moralnya ahli Parlimen dari gabungan kerajaan perlu menyokong penuh undi percaya terhadap Anwar kerana keputusan berkenaan sudah diputuskan kepimpinan parti masing-masing.

"Apatah lagi proses ini berlaku untuk memberi keyakinan kepada dunia khususnya pelabur bahawa keadaan Malaysia sudah kembali stabil dan semua pihak kini memasuki mood untuk bekerja

"Jadi tidak wajar banyak andaian dibuat tentang isu yang belum berlaku kerana dalam MoU itu ada kerangka untuk menguruskan perbezaan pandangan," katanya kepada wartawan Sinar Premium.

Wan Ahmad Fauzi berkata demikian ketika mengulas dakwaan bahawa semua ahli Parlimen parti gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan Malaysia, yang tidak menyokong Perdana Menteri dalam apa-apa usul berkait usul percaya, pembekalan, atau apa-apa usul berbentuk prosedur, perlu mengosongkan kerusinya serta-merta.

Perkara itu adalah kandungan dokumen perjanjian persefahaman kerajaan yang ditandatangani ketua parti terlibat, baru-baru ini.

Dokumen itu, juga menyatakan bahawa parti dan pihak berkenaan hendaklah mengundi untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan/atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Justeru itu, Wan Ahmad Fauzi juga berharap semua ahli Parlimen termasuk blok pembangkang wajar menyokong penuh undi percaya yang bakal dibentangkan terhadap Perdana Menteri, di Dewan Rakyat, pada Isnin ini.

Beliau berkata, semua ahli Parlimen termasuk wakil pembangkang perlu menyokong Anwar semasa undi percaya bagi membolehkan Perdana Menteri melaksanakan tugasnya dan tanggungjawabnya memulihkan ekonomi negara secepat mungkin.

Wan Ahmad Fauzi

"Semua pihak termasuk pihak pembangkang perlu memberi peluang kepada Anwar memimpin Jemaah Menteri, sebagai mana yang berlaku semasa kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini turut bergantung kepada titah nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk menenangkan polemik kepartian suatu masa dulu.

"Komitmen Perdana Menteri, untuk memimpin pentadbiran kerajaan Malaysia berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan khususnya dalam mempertahankan elemen watan yang menjadi struktur asas kepada Perlembagaan perlu disambut baik dan diberikan ruang sewajarnya

"Proses yang berlaku pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memperlihatkan usaha pengukuhan kerajaan perpaduan, Parlimen dipanggil bersidang dalam tempoh dua bulan dan usaha Perdana Menteri menunjukkan beliau mempunyai undi kepercayaan majoriti adalah langkah berwibawa bagi mengharungi cabaran ekonomi global yang mendatang," katanya.

INFO:

Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan:

- Meliputi dua bahagian iaitu Perkara 49A (1) dan Perkara 49A (2).

Fasal 1 Perkara 49A memperuntukkan bahawa seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat itu dan kerusinya hendaklah menjadi kosong jika mereka melakukan perkara berikut:

a) setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik, dia melepaskan keanggotaan sebagai, atau tidak lagi menjadi anggota parti politik itu; atau

b) setelah dipilih ke Dewan Rakyat bukan sebagai anggota sebuah parti politik (iaitu, calon bebas), dia menyertai parti politik sebagai ahli.

Fasal 2 Perkara 49A menyatakan tiga pengecualian di mana keahlian seseorang ahli parlimen dalam Dewan Rakyat itu tidak terhenti hanya disebabkan oleh:

a) pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politiknya.

b) pelepasan keanggotaan ahli parlimen itu daripada parti politiknya apabila dia dipilih sebagai Yang di-Pertua Dewan.

c) pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya.

- Ini menjelaskan bahawa kehilangan kelayakan tidak terpakai melainkan jika seseorang ahli secara sukarela melepaskan keanggotaannya atau berhenti menjadi ahli parti politik tersebut. Sekiranya seorang ahli dipecat daripada parti politiknya, dia tidak mengosongkan kerusinya.

Klik di sini untuk terus membaca