WELLINGTON - Profesor Joel Hayward dari New Zealand tidak pernah menyangka namanya dimasukkan ke dalam senarai 500 Muslim Paling Berpengaruh di dunia. Ini kerana Hayward yang memeluk Islam pada tahun 2005 menyedari dirinya hanyalah seorang... Klik di sini untuk terus membaca

WELLINGTON - Profesor Joel Hayward dari New Zealand tidak pernah menyangka namanya dimasukkan ke dalam senarai 500 Muslim Paling Berpengaruh di dunia.

Ini kerana Hayward yang memeluk Islam pada tahun 2005 menyedari dirinya hanyalah seorang sejarawan.

Namun, pengumuman baru-baru ini bahawa penyelidik berusia 58 tahun di Akademi Rabdan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu dimasukkan dalam senarai diterbitkan Kajian Strategik Diraja Islam (RICC) bagi tahun 2023 bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Hayward telah membina reputasi sebagai salah seorang sejarawan terkemuka serta sering menjadi rujukan kerana kajian berprofil tinggi dan penelitian dalam sejarah peperangan Islam.

Malah, bukunya yang berjudul The Leadership of Muhammad: A Historical Reconstruction dinobatkan sebagai buku bukan fiksyen antarabangsa terbaik pada Anugerah Buku Antarabangsa Sharjah di Dubai tahun lalu.

Antara buku tulisan Joel Hayward.

Beliau tertarik kepada Islam selepas mendapati kehidupan Nabi Muhammad SAW sebagai sangat merangsang dan mengagumkan.

"Saya amat terkejut selepas menerima kiriman e-mel mengatakan saya adalah salah seorang Muslim paling berpengaruh di dunia.

"Pada mulanya saya menganggap hal itu sebagai satu gurauan,” ujar Hayward.

Tambah Hayward lagi: "Saya cuma ahli sejarah dan saya tidak pernah membayangkan bahawa orang-orang di luar sana membaca buku ditulis sejarawan. Tersenarai dalam kelompok Muslim paling berpengaruh adalah satu penghormatan tertinggi dan tidak pernah dibayangkan.”Dalam senarai terbaharu diterbitkan RICC, Hayward yang pertama kali disenaraikan muncul di tangga ke-29 bagi kategori cendekiawan.

Seramai 60 individu Muslim disenaraikan dalam kategori cendekiawan termasuk sarjana Malaysia, Tan Sri Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang berada di tangga keempat.

SIAPA HAYWARD

Hayward dilahirkan di Christchurch, New Zealand dan merupakan anak kepada pasangan pegawai tentera.

Kerana itu, Hayward memiliki minat untuk mengkaji peperangan.

Bermula daripada minat, Hayward akhirnya mendalami pengajian berkaitan ketenteraan dan meraih gelaran doktor falsafah.

Beliau kemudian menjadi tenaga pengajar di Universiti of Cantenbury di Christchurch.

Setelah mengajar cukup lama, Hayward berhijrah ke England dengan tujuan melanjutkan pelajaran dan menulis buku tentang peperangan.

BUKA MATA

Selepas berlakunya serangan pengganas 9/11 pada 11 September 2001 di Amerika Syarikat (AS), seorang pegawai kanan tentera menyarankan supaya Hayward menyelidik peristiwa tersebut kerana terdapat dakwaan bahawa penyerang yang beragama Islam memiliki latar belakang tentera.

Bermula dari situ, Hayward mula tertarik dan mula mendalami Islam.

Malah, beliau mengambil inisiatif untuk mempelajari bahasa Arab agar dapat memahami kitab suci al-Quran.

Selepas beberapa tahun mendalami bahasa Arab dan al-Quran, Hayward akhirnya memutuskan menjadi seorang Muslim.

"Ketika peristiwa 9/11 terjadi, saya memutuskan untuk mempelajari agama Islam dan menyedari bahawa berita yang disiarkan oleh media dan kerajaan pada waktu itu tidak memiliki kebenaran.

"Ini kerana sepanjang penelitian yang cukup lama terhadap Islam, saya mendapati Islam sebagai agama yang tidak ganas dan kejam,” katanya seperti dipetik dalam laporan The National News awal bulan ini.

TESTIMONI

Sepanjang bergelar mualaf, Hayward turut menulis beberapa buah buku antaranya karya yang berjudul The Warrior Prophet: Muahmmad and War.

Hayward menghabiskan hampir sedekad bagi menghasilkan buku tersebut, dan di dalam naskhah sebanyak 500 muka surat itu beliau mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW memiliki kemampuan sebagai seorang diplomat dan wawasan yang tidak pernah difikirkan orang lain.

Pemerintah UAE, Sultan Muahmmad al-Qasimi (tengah) menyampaikan anugerah buku bukan fiksyen antarabangsa terbaik kepada Hayward pada Anugerah Buku Antarabangsa Sharjah di Dubai tahun lalu.

Beliau menyimpulkan bahawa sepanjang perjalanan spiritualnya, Islam merupakan agama yang melangkaui kaum, etnik dan menyatupadukan umat manusia tanpa mengira latar belakang serta status sosioekonomi.

"Anda pergi ke masjid dan di sana anda solat bersama individu yang memiliki latar belakang yang berbeza-beza tetapi mempunyai satu tujuan sama iaitu beribadah dan berdoa.

"Itulah salah satu daya tarikan Islam,” kata Hayward. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca