FAKTA penting tentang Malaysia yang sering kali ‘dilupai’ atau ‘terlepas pandang’ oleh khalayak ramai adalah Malaysia merupakan sebuah persekutuan yang terdiri dari 14 buah negeri (termasuk tiga buah wilayah persekutuan). Walaupun... Klik di sini untuk terus membaca

FAKTA penting tentang Malaysia yang sering kali ‘dilupai’ atau ‘terlepas pandang’ oleh khalayak ramai adalah Malaysia merupakan sebuah persekutuan yang terdiri dari 14 buah negeri (termasuk tiga buah wilayah persekutuan). Walaupun hakikatnya bendera Malaysia (Jalur Gemilang) mengandungi pelbagai simbol dan jalur yang melambangkan gabungan 14 buah negeri untuk membentuk Malaysia, ia (iaitu kerajaan persekutuan) kebiasaannya hanya dilihat sebagai entiti yang wujud dengan sendirinya.

Mereka yang bersifat sinis sering merujuk kepada ‘ketidakupayaan’ Malaysia bersatu dengan penuh bermakna dan sempurna. Ramai yang masih mempersoalkan tentang struktur integriti penduduk, sama ada negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama dapat bertahan serta berkemampuan untuk berkembang maju.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, dalam sebuah video yang tular di media sosial TikTok memaklumkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia (World Bank) telah meramalkan bahawa sebanyak 60 buah negara bakal berhadapan dengan keadaan ketidakstabilan ekonomi dan politik menjelang tahun 2023.

Beliau bagaimanapun mengatakan bahawa Indonesia tidak akan terkesan. Oleh itu, Indonesia mampu bertahan dalam sebarang kemelesetan yang akan berlaku walaupun ianya mungkin berlarutan selama dua hingga tiga tahun serta berdepan dengan kesulitan akibat peningkatan kos sara hidup.

Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak telah mula mendorong Britain untuk berjimat cermat sebagai persediaan menghadapi kegawatan ekonomi yang mungkin berlaku selama tiga hingga empat tahun. Kerajaan United Kingdom (UK) dianggap perlu melakukan pemotongan perbelanjaan bagi mengelakkan daripada meningkatkan perbelanjaan awam.

Impak daripada dasar sifar Covid yang menyebabkan ekonomi negara China diperlahankan dan menjejaskan rantaian bekalan global, serta peperangan Pan-Slav antara Russia dan Ukraine dan juga kononnya hasrat Amerika Syarikat (AS) untuk menyahgandingkan ekonominya memberikan impak ketara.

Memandangkan keadaan yang kurang memberangsangkan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang telah berkembang sejak 2010 terdedah kepada perdagangan global sebanyak 110 peratus, di mana Malaysia juga tidak terkecuali daripada berhadapan dengan ‘triple whammy’ (‘serangan tiga kali’). Malaysia berkemungkinan besar akan terjerumus dalam kemelesetan ekonomi walaupun tidak semestinya.

Kerajaan Perpaduan dibentuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada jam 5 petang pada 24 November mengikut nasihat daripada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu. Pada hari yang sama juga, Perdana Menteri Malaysia ke-10 itu dilihat telah mula bekerjasama dengan pihak media.

Pakatan Harapan (PH) di bawah pucuk pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hanya memperoleh 11 peratus undi daripada orang Melayu, berbanding 94 peratus dan 83 peratus undi daripada pengundi Cina dan India, masing-masing. Namun, tiada satu pun peruntukan dalam Perlembagaan berkaitan kedudukan agama Islam dan hak serta tradisi orang Melayu yang telah atau akan terjejas.

Perlu ditekankan ialah walaupun sebanyak 112 kerusi minimum di Parlimen perlu diperolehi bagi mencapai majoriti mudah, rakyat Malaysia daripada semua kaum dan agama mengelak daripada terjebak dalam perangkap yang boleh mewujudkan situasi berlakunya pertumpahan darah.

Malah, berbanding dengan retorik penyokong Perikatan Nasional (PN) yang berbaur hasutan, Anwar dengan bijaksananya meminta semua rakyat Malaysia yang menantikan selama 24 tahun untuk melihat beliau ditabalkan menjadi Perdana Menteri bagi mengawal diri daripada meraikannya di tempat umum. Penyokong PH telah digesa kekal berada di rumah – bagi membantu pegawai penguat kuasa undang-undang menjalankan tugas mereka dalam memastikan peralihan kuasa yang lebih aman.

Apa yang disampaikan memadai untuk meyakinkan penyokong PH supaya lebih berdisiplin. Sudah tentu, kaliber moral yang dimiliki Anwar juga penting tetapi, rakyat Malaysia hanya inginkan kehidupan yang aman dengan adanya kedaulatan undang-undang.

Oleh itu, agak luar biasa untuk melihat rakyat Malaysia seperti Profesor James Chin daripada Universiti Tasmania dan Ketua Biro The Straits Times di Singapura mempersoalkan sama ada Kerajaan Perpaduan Malaysia yang didukung gabungan yang besar mampu untuk kekal utuh. Sudah tentu mereka boleh, dan jika tidak, negara bukan sahaja akan merasai kesan ‘triple whammy’, malahan juga bakal terperangkap dalam peningkatan harga makanan, dedak haiwan, dan baja yang boleh memberi kesan yang teruk terhadap program subsidi kerajaan bernilai puluhan bilion ringgit.

Anwar perlu memenuhi janjinya iaitu ‘Malaysia untuk semua rakyat Malaysia’. Anwar telah mula memberikan tumpuan terhadap siasatan oleh penjawat awam untuk memastikan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) mencari jalan supaya program subsidi bersasar boleh mengawal dan menurunkan kos sara hidup terutamanya untuk barangan makanan.

Ketiadaan perbalahan atau pertelingkahan yang berlaku sepanjang pilihan raya berlangsung membuktikan sekali lagi rakyat Malaysia yang berbeza latar belakang, di mana 73 peratus daripada 21 juta pengundi yang hadir menjalankan tanggungjawab mereka pada 19 November 2022 yang lalu, mampu mengambil pendekatan yang sederhana.

Tidak kira betapa sengitnya perjuangan ketika pilihan raya, setiap parti yang bertanding perlu akur dengan segala keputusan tanpa sebarang permusuhan serta mengalah secara terbuka dan sukarela bagi parti yang menerima kekalahan. PN akhirnya memperakui bahawa PH telah memenangi pilihan raya umum ke-15 dengan mengalu-alukan PM baharu dengan ucapan tahniah pada 26 November 2022.

Asas penting untuk membina semula negara ini bagi sebuah kerajaan yang mengamalkan demokrasi ialah dengan mempunyai pihak pembangkang yang kuat dan lantang. Peranan tersebut boleh dimainkan PN sama ada di dalam atau di luar Parlimen melalui Bersatu, Pas dan Gerakan.

Amat penting untuk ditekankan bahawa penyebaran identiti politik berasaskan kaum dan agama perlu dihentikan dengan serta-merta kerana melibatkan dua topik atau perkara yang sangat sensitif dalam politik negara.

Mesej yang berkaitan perkara-perkara sedemikian dalam media sosial dan grup WhatsApp telah memaksa Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani untuk mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan terhadap pelaku.

Selain itu, semua pemimpin politik seharusnya menggesa penyokong mereka untuk terus maju ke hadapan dan mengelakkan diri daripada terlibat dengan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

Sekarang tibalah masanya untuk semua rakyat maju ke hadapan, berganding bahu dan membaik pulih ekonomi negara untuk semua.

Di peringkat global, tahun 2023 bakal menjadi tahun yang sangat sukar dan mencabar.

Ini kerana ekonomi Malaysia tergolong dalam satu per tiga daripada ekonomi dunia yang akan menghadapi kemelesetan yang teruk. Oleh yang demikian, pihak pentadbir, pihak pembangkang, penjawat awam serta rakyat perlu mengorak langkah ke hadapan dan memainkan peranan masing-masing.

* Dr Rais Hussin adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

Klik di sini untuk terus membaca