ILHAM untuk menghasilkan karya kali ini tercetus ketika sedang bercuti di Negeri Di Bawah Bayu. Dua puluh tujuh bulan yang lalu, Sabah telah mengadakan pilihan raya negeri (PRN) mengejut, susulan gegaran politik yang menggemparkan satu... Klik di sini untuk terus membaca

ILHAM untuk menghasilkan karya kali ini tercetus ketika sedang bercuti di Negeri Di Bawah Bayu.

Dua puluh tujuh bulan yang lalu, Sabah telah mengadakan pilihan raya negeri (PRN) mengejut, susulan gegaran politik yang menggemparkan satu negara. Tempias jajaran baharu politik di peringkat Pusat, tujuh bulan sebelum itu. Pilihan raya itu membawa kepada perubahan kerajaan negeri dan pembentukan gabungan demi gabungan, iaitu Perikatan Nasional (PN) disusuli dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memenuhi keperluan hasil pilihan raya negeri mengejut.

Hari ini, GRS merupakan sebahagian daripada komponen Kerajaan Perpaduan, bukan lagi rakan PN.

Perubahan kerajaan negeri dan perbuatan keluar masuk parti politik bukan sesuatu yang asing di Sabah. Keadaan yang sama mula ketara di peringkat Pusat, terutama melibatkan parti-parti di Semenanjung sejak empat tahun lalu. Kemudiannya kita menyaksikan penggubalan peruntukan khas yang melarang perbuatan lompat parti.

Selepas PRN mengejut di Sabah, kita menyaksikan pilihan raya membabitkan Sarawak, yang sememangnya perlu diadakan mengikut tempoh ditetapkan, manakala Melaka dan Johor menyaksikan situasi hampir sama — kesan keadaan politik yang tidak harmoni.Hari ini, Parlimen ke-15 bersidang susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Genap sebulan selepas PRU15, sidang pertama Parlimen berlangsung. Persidangan khas selama dua hari.Tanggal 19 November 2022, menyaksikan satu bentuk debaran dan cukup mencemaskan dalam kalangan hampir kesemua pihak yang mengikuti pilihan raya dengan dekat.

Sebagaimana diramalkan oleh banyak kajian, politik tiada parti atau gabungan yang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Jumaat lalu, lima gabungan politik menyatakan komitmen menyokong kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengelakkan ketidaktentuan politik. Mereka menandatangani Perjanjian Permuafakatan.

Perjanjian itu ditandatangani Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Warisan, Gabungan Parti Sarawak dan GRS.Pelbagai pandangan oleh kedua-dua pihak lawan dan kawan diutarakan mengenai langkah itu. Ada yang menyifatkannya sebagai tidak adil, berlawanan semangat Perlembagaan Persekutuan dan bakal membuka ruang kepada pemerintahan bersifat diktator serta akan mengekang kebebasan wakil rakyat.

Tahun lalu, PH pernah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Sabri Yaakob, yang mengikat kerjasama kerajaan Pusat dan PH.

Bagaimanapun, usaha pada Jumaat lalu, membolehkan Kerajaan Perpaduan dibentuk oleh gabungan utama dan parti politik individu, membawa bersama 144 anggota Dewan Rakyat secara langsung di bawah satu payung, memastikan pentadbiran semasa kekal stabil bagi mencapai 18 matlamat yang digariskan menerusi perjanjian itu.

Ironinya satu aspek yang mendapat perhatian banyak pihak mengenai perjanjian bersejarah itu ialah kewajipan ahli Parlimen setiap parti yang menurunkan tandatangan memberi sokongan untuk merealisasikan undi percaya ke atas perdana menteri dan dasar yang akan dibawa menerusi Parlimen.

Kedudukan selesa

Buat masa ini, Kerajaan Perpaduan dengan sokongan empat lagi wakil rakyat parti individu sudah pun memiliki 148 kerusi di Dewan Rakyat, melebihi kerusi dua pertiga sebanyak 147 yang diperlukan.

Di atas kertas, jumlah itu merupakan satu kedudukan yang cukup baik berbanding kedudukan disaksikan selama satu dekad lalu. Kerajaan Perpaduan mempunyai kedudukan yang selesa untuk melaksanakan dasarnya.

Jika itulah keadaannya, mengapa perlu bimbang mengenai bilangan atau nombor dalam soal kedudukan kerusi di Parlimen?

Kerajaan negeri Kelantan dari tahun 2004 hingga 2008, ditadbir dengan perbezaan tiga kerusi. BN pula memiliki 21 kerusi, manakala Pas yang mentadbir sejak 1990, mempunyai kelebihan hanya tiga kerusi. Dengan kedudukan begitu tipis parti itu mentadbir negeri tanpa perubahan dan gangguan.

Maka, isunya bukan nombor tetapi kekukuhan integriti dalam kalangan ahli politik dan wakil rakyat.

Saya yakin mana-mana kerajaan termasuk Kerajaan Perpaduan sekarang akan kekal stabil demi rakyat jika semua pemegang taruh menghormati budaya berintegriti dalam politik, pentadbiran dan pengurusan negara.

Jangan hanya mementingkan kepentingan diri.

Parlimen adalah institusi suci lagi dihormati. Ia perlu dibudayakan oleh ahli-ahli Parlimen.

* Dr G Manimaran ialah penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir

Klik di sini untuk terus membaca