SHAH ALAM - Selepas melalui pelbagai episod politik pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang membuka tirainya hari ini bakal menjadi ujian pertama keutuhan Kerajaan Perpaduan di Dewan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Selepas melalui pelbagai episod politik pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang membuka tirainya hari ini bakal menjadi ujian pertama keutuhan Kerajaan Perpaduan di Dewan Rakyat.

Pembentangan usul undi percaya bagi keabsahan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri adalah antara paling menarik perhatian dalam persidangan yang berlangsung selama dua hari itu.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, usul undi percaya terhadap kepimpinan Ahli Parlimen Tambun itu menduduki turutan kelapan urusan persidangan. Usul itu bertujuan membuktikan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mendapat sokongan majoriti susulan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah pada PRU15.

Anwar sebelum ini telah menyatakan keyakinan beliau untuk mendapat dua pertiga undi percaya berkenaan.

Dengan jumlah 144 wakil rakyat daripada lima gabungan politik dalam Kerajaan Perpaduan, ditambah sokongan empat ahli Parlimen Bersatu yang keluar parti serta sokongan calon Bebas, Anwar dilihat boleh melepasi undi percaya itu dengan mudah.

Lima gabungan politik utama yang membentuk Kerajaan Perpaduan ialah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).

Kedudukan Presiden PKR itu sebagai Perdana Menteri bertambah kukuh susulan Perjanjian Persefahaman Kerjasama dimeterai antara gabungan membentuk Kerajaan Perpaduan, Jumaat lalu bagi menjamin kestabilan politik dan memacu ekonomi negara.

Antara kandungan perjanjian itu ialah kegagalan ahli Parlimen dalam gabungan Kerajaan Perpaduan mengundi atau menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan atau sebarang usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan, dikira meletak jawatan.

Perkara lain yang turut menjadi tumpuan pada mesyuarat hari ini ialah pemilihan Speaker Dewan Rakyat baharu bagi menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun yang mengosongkan jawatan itu berkuat kuasa tengah malam 18 Disember.Ketika ini spekulasi pen-calonan bekas Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul sebagai Speaker Dewan Rakyat semakin menjadi realiti apabila beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Kedah pada Ahad.

Pada masa sama, Perikatan Nasional (PN) difahamkan turut mencalonkan bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad bagi jawatan itu.

Ahli Parlimen Lanang daripada DAP, Alice Lau dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Md Nor daripada BN pula dilapor dicalonkan bagi jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Turut berada dalam senarai calon ialah bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin. Proses pemilihan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat bakal ditentukan melalui kaedah undian melibatkan semua ahli Parlimen.

Turut terkandung pada nombor tiga urusan persidangan ialah ahli-ahli Dewan Rakyat yang menang pada PRU15 mengangkat sumpah, diikuti pemilihan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Sebaik selesai, Anwar dijadual membentangkan usul ‘belanjawan sementara’ dan meluluskan peruntukan khas atau bajet mini bagi tujuan membayar emolumen penjawat awam untuk bulan Januari.

3 PERKARA UTAMA DI SEBALIK SIDANG DEWAN RAKYAT

Tiga perkara utama di sebalik sidang Dewan Rakyat pertama Kerajaan Perpaduan dengan beberapa agenda termasuk usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertama, ia mengutamakan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan kedua, menunjukkan pendemokrasian tidak terjejas apabila undi percaya diusulkan serta ketiga, kerajaan mahu membina kepercayaan rakyat.

Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, perkara tersebut merupakan mesej tersirat di sebalik usaha yang dilakukan oleh kerajaan.

"Ia juga mesej kepada rakyat supaya menerima hakikat bahawa sudah ada kerajaan terhasil daripada kelompok majoriti kerajaan campuran, membolehkan penerimaan itu bergerak ke hadapan dan tidak mahu mengulangi seperti apa yang berlaku tiga atau empat tahun lepas.

"Saya percaya rakyat juga mahukan satu bentuk keikhlasan dan kejujuran di sebalik tingkah laku atau gerak kerja ahli politik,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, beliau berkata, persidangan Dewan Rakyat itu juga menunjukkan bahawa keabsahan politik sudah diperoleh dan menghentikan tohmahan ke atas kerajaan yang sebelum ini dikatakan tidak ada legitimasinya.

Tambah beliau, ia juga membolehkan kerajaan bergerak ke hadapan tanpa ada sebarang gangguan, tohmahan ataupun pertembungan politik yang boleh mengganggu kestabilan dan juga menzahirkan keadaan yang tidak menentu.

"Seterusnya ia juga membolehkan setiap blok yang mempunyai pendirian berbeza sebelum ini mampu untuk dikemudikan dan ditadbir urus dengan tatacara yang berdasarkan kepada acuan kepimpinan hari ini,” ujarnya.


INFO SIDANG DEWAN RAKYAT:


Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul (19 Disember 2022)

1. Proklamasi memanggil Parlimen bermesyuarat.

2. Memilih Speaker Dewan Rakyat (undi).

3. Speaker Dewan Rakyat mengangkat sumpah (undi).

4. Ahli-ahli Dewan Rakyat mengangkat sumpah.

5. Memilih Timbalan-Timbalan Speaker Dewan Rakyat (undi).

6. Usul Menteri Dalam Negeri mengarahkan Ketua Polis Negara menjaga keseluruhan jalan menuju ke Dewan Rakyat sepanjang sidang Parlimen.

7. Bacaan Kali Yang Pertama Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022.

8. Usul Undi Percaya Keabsahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (undi).


Klik di sini untuk terus membaca