SHAH ALAM - Buat pertama kalinya dalam sejarah negara menyaksikan dua beranak memainkan peranan berbeza di Dewan Rakyat, di mana bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul, dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, manakala anaknya, Dr Mohammed Taufiq, mengangkat sumpah selaku Ahli Dewan Rakyat pada Isnin.
Mantan Ahli Parlimen Sungai Petani itu, dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas memperoleh undi sokongan tertinggi dari Ahli Parlimen, pada hari pertama persidangan Parlimen ke-15.
Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin ketika mengumumkan keputusan itu memberitahu, Johari memperoleh sokongan 147 undi, sementara seorang lagi calon yang juga bekas Ahli Parlimen Kangar, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad memperoleh 74 undi.
Proses pengundian dilaksanakan dengan kaedah setiap Ahli Parlimen diberi satu kertas dan mereka perlu menulis nama calon yang disokongnya, sebelum kiraan undi dibuat.
Dr Mohammed Taufiq, 26, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini menang kerusi Parlimen Sungai Petani pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, mempertahankan kerusi bapanya yang memenangi kerusi itu, tiga penggal berturut-turut sejak PRU12.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan cadangan mencalonkan nama Johari sebagai calon Speaker Dewan Rakyat mewakili kerajaan dan disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Manakala, Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin pula mencadangkan Mohd Radzi sebagai sebelum disokong Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Untuk rekod Johari pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Biro Tata Negara (BTN) selain mempunyai ijazah sarjana di dalam Pengajian Strategik dari University of Lancaster.
Dalam pada itu, Johari dalam ucapan sulungnya, berikrar akan memenuhi tanggungjawabnya sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu dipilih dalam melaksanakan tanggungjawab prosiding dan urusan dewan.
Katanya, beliau yakin dengan pengalaman dan pengetahuan sebelum ini sebagai bekas Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), ahli perniagaan, bekas Ahli Parlimen dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berupaya membantunya melaksanakan tanggungjawab yang berat itu.
"Seperti yang diketahui umum, kerusi Yang Dipertua adalah simbolik kepada kuasa dan bidang tugas Yang Dipertua pula mengawal selia mesyuarat serta memastikan kelancaran, mesyuarat dengan pematuhan peraturan oleh Ahli Dewan Rakyat seperti dengan jelas termaktub dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
"Justeru, saya memohon semua Ahli Dewan Rakyat menghormati kerusi Yang Dipertua ini dengan memberi penghormatan dan kepercayaan kepada saya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, bukan atas dasar kapasiti peribadi tetapi sebagai individu yang dipilih menduduki kerusi ini dan diberi tanggungjawab dalam segala prosiding serta urusan dalam dewan yang mulia ini," katanya ketika berucap di Dewan Rakyat pada Isnin.
Dalam pada itu, Johari juga yakin dengan semua Ahli Dewan Rakyat dapat memanfaatkan pengetahuan serta pengalaman dalam membangunkan negara berikutan sebahagian mereka pernah memegang jawatan menteri mahupun sebagai pembangkang.
Katanya, semua Ahli Dewan Rakyat perlu menjadikan dewan mulia itu sebagai platform untuk menyampaikan teguran membina serta menyampaikan pendapat dengan molek dan bernas.
"Ahli Dewan Rakyat perlu menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama dan tidak menggunakan dewan mulia ini sebagai medan politik kumpulan mahupun individu," katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana kerajaan yang terbentuk hari ini adalah dengan titah perkenan baginda.
"Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada seluruh pengundi kerana menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia pada kali ini dalam mencorakkan kepemimpinan negara.
"Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini juga menyaksikan pembabitan anak muda seawal umur 18 tahun sebagai pengundi yang memberi impak peningkatan besar peratusan keluar mengundi buat julung kali dalam sejarah PRU sekali gus turut memberi sumbangan penting dalam membentuk hala tuju negara," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca