SHAH ALAM - Kejayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim, menang undi percaya dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin, wajar menutup mulut pengkritik terutama pembangkang yang sering mempertikaikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri dan kerajaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kejayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim, menang undi percaya dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin, wajar menutup mulut pengkritik terutama pembangkang yang sering mempertikaikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri dan kerajaan campuran pimpinannya.

Penganalisis politik dan hubungan antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kejayaan Perdana Menteri menang undi percaya juga membolehkan kerajaan pimpinannya memberi fokus kepada perkara lebih penting seperti pembentangan Bajet 2023, pemulihan ekonomi dan masalah banjir melanda beberapa negeri sekarang.

"Kejayaan ini adalah kemenangan moral pertama kepada Anwar dan keabsahan kerajaan campuran pimpinannya kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi Perikatan Nasional) sendiri tidak berani berbuat demikian ketika beliau menjadi Perdana Menteri kelapan dulu.

"Kenapa undi percaya ini penting dan perlu dibentangkan terhadap Anwar adalah kerana PH tidak mempunyai sokongan majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendiri tanpa bergabung dengan parti lain selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium, pada Isnin.

MOHD AZIZUDDIN

Mohd Azizuddin berkata demikian mengulas mengenai keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri terbukti apabila usul undi percaya terhadapnya diluluskan dengan undian suara selepas dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan kemudian dibahaskan oleh 12 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang juga Ketua Pembangkang membuka tirai perbahasan usul berkenaan.

Ahli Parlimen lain yang turut berbahas adalah Lim Guan Eng (PH-Bagan), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran), Datuk Seri Johari Ghani (BN-Titiwangsa), Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), Rafizi Ramli (PH-Pandan), Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (GRS-Keningau), Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau), Datuk Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor), dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan).

Usul percaya itu bertujuan membuktikan Anwar dari PH, yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu mendapat sokongan ahli Parlimen bagi memimpin kerajaan baharu selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.

Berdasarkan sokongan mengikut parti, jumlah ahli Parlimen yang menyokong kerajaan campuran pimpinan Anwar sekarang ialah seramai 148 orang merangkumi daripada Pakatan Harapan (82), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (6), Parti Warisan (3), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (1), Parti Bangsa Malaysia (1), dan Bebas 2 kerusi, manakala selebihnya iaitu 74 kerusi ialah milik Perikatan Nasional yang juga blok pembangkang.

TAKIYUDDIN *** Local Caption ***

Sementara itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas, menjelaskan blok pembangkang berpendirian bahawa undi percaya terhadap Anwar tidak sepatutnya dikemukakan di Dewan Rakyat selepas Yang Dipertuan Agong memperkenankan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri.

Berikutan itu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, pembangkang memilih untuk tidak terlibat dalam pengundian, dan membiarkan ia diluluskan dengan undian suara.

Beliau berkata, biarpun Anwar menang undi percaya namun ia tidak menunjukkan angka jelas berapa ramai ahli Parlimen yang menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

"Apa yang dibincangkan oleh pihak kami adalah berkisar tentang tujuan kenapa ia dibawa. Pada pandangan kami secara umumnya, sepatutnya tidak perlu dibawa kerana yang Yang di-Pertuan Agong telah pun melantik Perdana Menteri di bawah Perkara 43(2) di dalam Perlembagaan, mengikut budi bicara baginda.

"Perdana Menteri selepas dilantik beliau telah membentuk kerajaan dan apa yang perlu dibawa usul percaya Perdana Menteri, melainkan hasrat Perdana Menteri untuk membuktikan berapa sokongan terhadap beliau (sama ada) majoriti mudah, dua pertiga atau sebagainya.

"Ini yang berlaku hari ini, sokongan terhadap Perdana Menteri daripada 222 Ahli Parlimen, ia tidak diketahui, itu sahaja... tidak diketahui berapa orang yang menyokong," katanya dalam sidang media di Parlimen, pada Isnin.

Klik di sini untuk terus membaca