SHAH ALAM - Satu memorandum bagi penyelesaian isu pembekalan telur ayam di seluruh negara dijangka dikemukakan pada minggu hadapan oleh penternak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut sumber daripada pihak berkenaan, langkah tersebut adalah sebagai jalan penyelesaian terhadap masalah pembekalannya.
"Kita akan buat memorandum tentang apa yang dimahukan sama ada minta subsidi atau sebarang bantuan daripada pihak kerajaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) meneruskan usaha mencari penyelesaian isu bekalan telur ayam dalam pasaran dengan mengadakan perbincangan bersama peserta industri unggas negara.
Menterinya, Mohamad Sabu berkata, kerajaan turut mengimport bekalan berkenaan dari beberapa negara sumber yang sudah dikenal pasti.
Jelas beliau, tindakan drastik itu perlu dilakukan berikutan masalah pasarannya sejak lebih lima bulan lalu.
Sementara itu, sumber tersebut menambah, kekurangan bekalan telur dalam menampung permintaan yang semakin tinggi di seluruh negara berpunca daripada tetapan harga semasa didakwa tidak selaras dengan kos produktivitinya.
Ujarnya, kos bagi penternakan ayam telur meningkat dari masa ke masa, manakala subsidi yang diberikan kerajaan masih dilihat tidak berupaya menyelesaikan masalah tersebut.
"Pada Oktober lalu, kerajaan berikan subsidi sebanyak lapan sen bagi sebiji telur.
"Kemudian, pada November dan Disember kerajaan menambah dua sen lagi, maka jadilah 10 sen. Kita dapat sedikit keuntungan pada masa itu.
"Tapi untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan, ia bukan boleh dilakukan dalam kadar yang segera, memerlukan masa sekitar enam bulan untuk memulihkannya.
"Sumber makanan untuk ayam seperti jagung diimport dari luar negara, ia meningkat dari masa ke masa.
"Kalau tahun lepas harga satu tan jagung adalah RM850, pada April 2022, naik berkali ganda sehingga RM1,800, cuma sekarang dah turun sedikit ke RM1,600,” ulasnya.
Jelas sumber lagi, jika masalah itu tidak dapat ditangani, sektor pembekalan tersebut akan sukar bertahan sehingga 10 tahun akan datang.
"Sukar untuk kita bertahan sehingga 10 tahun akan datang kalau keadaan terus begini,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca