KELEMAHAN dari segi keupayaan angkatan tentera Filipina menghadapi ancaman ketenteraan, sama ada dari dalam negara mahupun kuasa luar pada 1980-an dan 1990-an sehingga awal alaf baharu adalah sesuatu yang diketahui umum.
Seperti juga Malaysia, rancangan untuk memperkasa angkatan tentera melalui perolehan dari luar, di samping membangunkan industri berkaitan pertahanan tempatan telah lama dirancang dan dilaksanakan.
Pada 1974, Kementerian Pertahanan Filipina atau Department of National Defense (DND) telah melancarkan program Self-Reliant Defense Posture (SRDP) atau mengorak langkah berdikari bagi memenuhi kehendak angkatan tenteranya yang ketika itu bergelut dengan ancaman dalaman daripada gerila Islam bangsa Moro serta New People's Army (NPA) berfahaman komunis.
Pada tahun-tahun awal program, ia menampakkan kejayaan apabila 15 firma berkaitan pertahanan berjaya membekalkan pelbagai kelengkapan dan peralatan kepada tentera Filipina, dikenali sebagai Armed Forces of the Philipines (AFP).
Namun, keadaan itu tidak bertahan lama akibat beberapa faktor seperti kekurangan bajet, salah guna kuasa, rasuah berleluasa, inflasi dan kurang sokongan daripada kepimpinan negara sendiri.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, insiden melibatkan pencerobohan tentera laut China di kawasan menjadi rebutan di Laut China Selatan dan pemberontakan sebahagian kumpulan pemisah di selatan negara itu seakan-akan menjadi pemangkin kepada kemahuan untuk kini benar-benar membangunkan keupayaan AFP.
Pada 2012, satu rang undang-undang dikenali sebagai Republic Act No. 10349 telah diperkenalkan Presiden Filipina ketika itu, Benigno Aquino III untuk membangunkan kemampuan dan kekuatan AFP dalam tempoh 15 tahun.
Pelan pemodenan itu bakal merangkumi kesinambungan dalam tiga fasa dikenali sebagai Horizon. Fasa Horizon pertama dari 2013 hingga 2017, kedua (2018-2022) dan fasa akhir (2023-2028).
Kesinambungan fasa Horizon kedua diteruskan oleh Presiden Rodrigo Duterte dan kini Presiden Filipina baharu, Ferdinand Marcos Jr telah memberi komitmen untuk memacu pemodenan AFP ke fasa terakhirnya.
Fasa kedua menyaksikan 96 projek dan dua pertiga daripadanya berjaya mencapai objektif, antaranya perolehan sistem pelancar roket berganda serta kereta kebal ringan bagi tentera darat.
Sebagai langkah mempertingkat kuasa tempur dan logistik AFP, pembelian aset pertahanan berimpak tinggi dilaksanakan tahun ini termasuk sistem peluru berpandu anti-kapal BrahMos dari India, sembilan bot laju ronda/pemintas dari Israel yang boleh dipasang sistem peluru berpandu, 16 helikopter Lockheed Martin S-70i Black Hawk dari Poland serta dua kapal figet dari Korea Selatan.
Penerimaan sembilan bot pemintas berukuran panjang 32 meter jenis Shaldag Mk5 (diklasifikasikan semula sebagai kelas Acero oleh AFP) menyaksikan negara tersebut mengambil pendekatan baharu dengan perolehan bot-bot pemintas berkemampuan tinggi berbanding kapal-kapal utama sebagai platform rondaan kawasan pesisir.
Pada awal tahun, DND telah memeterai kontrak bagi memperoleh sistem peluru berpandu supersonik jarak sederhana jenis BrahMos buatan India-Rusia.
Sistem itu bakal dioperasi oleh batalion baharu dikenali sebagai batalion Shore-Based Anti-Ship Missile (SBASM) atau batalion pertahanan pantai di bawah pasukan Marin AFP.
Menariknya, Timbalan Setiausaha DND telah mengeluarkan kenyataan terbuka, mengakui AFP adalah salah satu angkatan yang boleh dianggap paling lemah dirantau Asia Tenggara.
Menurut beliau, kini AFP dan kerajaan Manila sedang berusaha keras untuk terus mengekalkan program pemodenan Horizon di landasannya.
Kemahuan untuk mengakui kekurangan dan kelemahan itu mungkin sesuatu yang perlu dicontohi oleh kepimpinan berkaitan pertahanan negara.
Setidak-tidaknya rakyat tidak alpa dibuai fatamorgana jaminan keselamatan pertahanan negara yang sebenarnya indah khabar daripada rupa.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca