SHAH ALAM - Kerajaan disaran untuk mengarahkan sektor perbankan di negara ini agar tidak memperketatkan pinjaman terhadap golongan muda.
Presiden Youth Front Party, Datuk Razalif Mohamad Zain berkata, perkara tersebut penting berikutan isu kos sara hidup tinggi kini membelenggu golongan berkenaan sehingga memerlukan mereka mengemukakan sokongan kewangan ketika mahu memohon pinjaman.
Menurutnya, ramai dalam generasi muda hari ini yang telah mendirikan rumah tangga ketika berusia 23 hingga 25 tahun sekali gus membuatkan banyak keperluan mesti dipenuhi termasuk pemilikan aset seperti rumah.
"Jadi saya harap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dapat mengarahkan seluruh bank di negara untuk tidak memperketatkan saringan pinjaman kepada mereka," katanya ketika menjadi penalis pada Wacana Sinar Edisi 374 bertajuk ‘Ekonomi Malaysia di tangan Anwar’ yang dihoskan Azlan Shah Nabees Khan.
Turut bergandingan bersama beliau sebagai panelis adalah Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Yahya Sahri dan Penganalisis Ekonomi Universiti Selangor (Unisel), Profesor Dr Saadiah Mohamad.
Sementara itu, Razalif menambah, generasi muda hari ini juga perlu diberi penekanan dalam perkara melibatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan kualiti mereka dalam pasaran kerja.
"Dalam sekitar dua ke tiga tahun lepas, ramai dalam kalangan mereka berkecimpung dalam kerjaya sebagai penghantar makanan atau p-hailing seperti Foodpanda dan Grabfood dengan memperolehi pendapatan sehingga RM5,000 sebulan jika bekerja sehingga dalam tujuh ke lapan jam, kini mereka nak dapat RM1,000 pun susah walaupun kerja 12 jam.
"Jadi, generasi muda muda ini tidak boleh duduk dalam satu bidang, mereka kena diberikan latihan kemahiran supaya ia dapat memberi impak positif terhadap kerjaya mereka dengan mempunyai kemahiran lain seperti membaiki motor dan membuka bengkel,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca