MACAM biasalah apabila berlaku malapetaka atau tragedi, banyaklah menteri dan VIP yang datang melawat tempat kejadian. Bagus sebenarnya tindakan itu untuk tunjukkan mereka prihatin.
Macam masa banjir dulu banyaklah menteri yang datang selepas air surut. Apabila mereka datang kerja terhenti. Bos-bos agensi menyelamat dan mencari terpaksa layan. Nanti menteri kecil hati pula.
Awang rasa kita tak belajar lagi pengalaman tragedi runtuhnya Highland Towers tahun 1993 dan tragedi kehilangan MH370.
Pada mulanya kecoh tak tentu hala. Banyak sangat pihak yang nak bercakap. Akhirnya baru ada penyelarasan membabitkan semua pihak.
Awang rasa elok sangat diperkuatkan SOP semasa tragedi. Mesti ada jurucakap pada peringkat kerajaan dan jurucakap di lapangan.
Dalam kejadian seperti di Batang Kali itu sepatutnya ada taklimat berkala kepada media. Mudahlah para wartawan buat kerja. Tidaklah mereka terkejar-kejar mencari berita.
Awang ingin rakamkan simpati kepada keluarga 94 mangsa yang terlibat, termasuk keluarga 24 orang yang terkorban dan sembilan lagi yang masih hilang.
Awang juga angkat topi kepada lebih 700 petugas pelbagai agensi khususnya penyelamat yang bekerja keras siang dan malam.
Merekalah hero sebenar kita.
Klik di sini untuk terus membaca