SHAH ALAM - "Apa dosa saya? Salahkah saya dilahirkan di luar negara dan mempunyai bapa warga asing sehingga saya berkemungkinan bakal diusir dari negara yang saya anggap rumah selamanya?"
Demikian luahan Nadila Fitriani Suparjan, 20, yang hidup dalam kegelisahan kerana dalam tempoh setahun lagi, dia boleh diusir keluar berdasarkan undang-undang negara.
"Sepanjang hidup, saya dibesarkan di Malaysia, bertutur bahasa ibunda dan berbangsa Melayu, namun saya tetap diasingkan hanya kerana tidak memiliki sekeping kad pengenalan biru," tambahnya.
Ia susulan undang-undang menetapkan seseorang berumur 21 tahun ke atas yang tidak lagi layak memohon kewarganegaraan secara pendaftaran di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan, akan diusir atau hanya boleh tinggal di Malaysia dengan menggunakan visa pelancong atau pelajar.
"Perkara yang saya sangat takuti ketika ini adalah apabila terpaksa berpisah dengan keluarga. Saya hanya akan dibenarkan tinggal di Malaysia sekiranya saya masih belajar dan memegang visa pelajar.
"Namun, selepas tamat pengajian, kemungkinan untuk dihantar ke negara asal itu sentiasa ada selepas saya berumur 21 tahun ke atas. Saya juga tidak boleh bekerja kerana melanggar syarat visa dan tidak mempunyai kad pengenalan.
"Saya dibesarkan di Malaysia dan semua keluarga saya di sini, jadi ke mana saya harus pergi kalau saya diarah keluar dari negara ini?" katanya kepada Sinar Premium.
Biarpun lahir di Amerika Syarikat (AS), Nadila persis gadis Melayu yang lain, namun dia terpaksa menempuh pelbagai cabaran sejak kecil hanya kerana status identiti yang berbeza daripada rakan-rakannya.
"Saya balik ke Malaysia ketika berusia tujuh tahun namun lambat masuk ke sekolah kerana sistem yang sedia ada cuma membenarkan saya bersekolah selepas semua anak yang berstatus warganegara telah ditempatkan.
"Saya juga tiada akses kepada Skim Pinjaman Buku Teks, Program Makanan Tambahan dan program kesihatan.
"Saya tidak dapat menyertai apa-apa pertandingan untuk mewakili sekolah seperti pelajar lain biarpun mempunyai bakat dalam bidang tersebut. Saya turut diejek oleh rakan sebaya di sekolah rendah kerana bukan warganegara Malaysia seperti mereka,” ceritanya.
Namun begitu, semangat dan tekad Nadila untuk terus belajar sentiasa mekar sehingga dia berjaya mengikuti pengajian Sarjana Muda Forensik Komputer di sebuah universiti swasta biarpun sebagai pelajar asing.
"Saya dinafikan peluang untuk menyambung pelajaran di universiti awam disebabkan bukan warganegara dan tidak layak untuk memohon bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) walaupun cemerlang dalam pelajaran.
"Oleh itu, saya didaftarkan sebagai pelajar asing dan ia menelan kos yang sangat tinggi. Di universiti, pelajar antarabangsa akan dipisahkan dengan pelajar tempatan, jadi saya terpisah dan tidak dapat duduk bersama rakan-rakan sekelas yang lain,” ujarnya.
Nadila juga terkilan kerana tidak layak mendapat akses kepada kemudahan kesihatan mampu milik yang sangat penting terutamanya pada zaman pandemik ini.
"Kanak-kanak bukan warganegara Malaysia dianggap sebagai warga asing semasa mengakses kemudahan kesihatan awam yang memerlukan bayaran tambahan berbanding seorang warganegara.
"Perkhidmatan seperti vaksinasi dan pemeriksaan pergigian yang biasanya percuma untuk kanak-kanak warga Malaysia di sekolah awam tidak diberikan kepada kanak-kanak bukan warganegara,” jelasnya.
Sebagai anak sulung daripada tiga beradik perempuan, Nadila amat sedih melihat ibunya, seorang ibu tunggal, tidak berhenti mengalah memperjuangkan kerakyatan buat dia dan adik keduanya selama 13 tahun.
"Sebagai anak sulung, saya amat sedih melihat ibu yang tidak pernah mengalah supaya saya dan adik mendapat hak yang sama seperti orang lain.
"Biarpun saya seorang yang kelihatan gembira pada luarannya, saya memendam rasa yang amat sedih apabila saya tidak diiktiraf negara ini.
"Saya berharap usaha meminda Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dapat disegerakan oleh kerajaan agar saya tidak terpisah dengan keluarga dan dapat menetap di Malaysia,” kata Nadila.
Ketidakadilan ini perlu diselesaikan segera - Suhakam
Sementara itu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, cara terbaik untuk menyelesaikan isu anak yang dinafikan hak sebagai warganegara kerana lahir di luar negara dan berbapakan warga asing adalah dengan menyegerakan pindaan Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan agar ibu warga Malaysia juga layak menurunkan kewarganegaraan kepada anak mereka seperti kaum bapa.
Katanya, pindaan itu juga penting supaya tiada lagi penindasan terhadap wanita manakala anak-anak dapat diiktiraf tanpa diskriminasi di Malaysia.
"Pada masa ini, anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan pasangan asing tidak boleh menjadi warganegara secara automatik berdasarkan Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
"Kaum ibu boleh membuat permohonan kewarganegaraan berdasarkan peruntukan Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan di mana kewarganegaraan melalui pendaftaran diberikan berdasarkan budi bicara.
"Proses permohonan ini tiada jaminan akan diluluskan dan ditolak berulang kali tanpa sebarang alasan. Jelas, peruntukan ini merupakan suatu penindasan yang tidak adil untuk wanita dan harus dipinda,” kata beliau.
Tambah Noor Aziah, Perkara 14(1)(b) dan Jadual Kedua, Bahagian ll, Perenggan 1(b) sepatutnya diharmonikan bersama Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf bahawa ibu juga ada hak yang sama terhadap anak dan layak memberikan hak kewarganegaraan kepada mereka.
"Dengan mengharmonikan kedua-dua peruntukan tersebut, ia dapat memberikan hak yang saksama terhadap anak yang lahir dari seorang ibu warganegara Malaysia dengan kuat kuasa undang-undang.
"Kasihan pada kanak-kanak yang tidak berdosa dan dihukum kerana tidak mendapat kewarganegaraan sedangkan ibunya merupakan warganegara Malaysia.
"Ini merupakan satu bentuk diskriminasi bukan sahaja kepada ibu malah kanak-kanak dan ketidakadilan ini perlu diselesaikan segera,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca