SHAH ALAM - Kasih ibu membawa ke syurga, begitulah pengorbanan seorang ibu tunggal yang sanggup berjuang selama 13 tahun demi membolehkan dua anaknya memiliki sekeping kad biru sebagai identiti diri, namun masih hampa.
Seorang pegawai khidmat pelanggan, Aniza Ismail, 50, berkata, mempunyai anak yang dinafikan hak untuk menjadi warganegara hanya kerana berbapakan warga asing dan lahir di luar negara adalah amat mencabar.
Setelah menamatkan pengajian di Universiti Hartford, Connecticut, Aniza berjumpa dengan bekas suaminya di Amerika Syarikat (AS) lalu berkahwin pada tahun 2002 dan melahirkan dua cahaya mata di sana.
Biarpun menetap selama 10 tahun di AS, Aniza sentiasa mempunyai hasrat untuk kembali ke tanah air namun tidak semudah yang disangka.
"Saya terpaksa menghadapi pelbagai kekangan selepas pulang ke Malaysia pada tahun 2009. Anak saya disekat serta mereka harus mendapatkan visa atau pas sosial untuk masuk ke dalam negara dan dibenarkan berada di Malaysia selama 30 hari sahaja.
"Sepanjang tempoh tersebut, saya harus memohon visa kerana anak-anak akan mula bersekolah. Namun, untuk mendapatkan visa pelajar, mereka harus didaftarkan di sekolah dahulu dan menghantar surat kelulusan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
"Selepas itu, mereka belum boleh bersekolah serta-merta dan harus menunggu sekurang-kurangnya dua bulan bergantung kepada kekosongan di sekolah kerajaan.
"Oleh itu, mereka agak ketinggalan dan bingung kerana harus memulakan sesi persekolahan lewat dua bulan daripada pelajar lain,” katanya kepada Sinar Premium.
Aniza berkata, wanita sepertinya juga berhadapan dengan beban kos yang tinggi untuk membesarkan anak-anak seperti yuran institusi pendidikan swasta, kos kesihatan, caj pemprosesan visa pelajar dan juga insurans perubatan.
"Anak saya tidak mendapat hak kesihatan seperti kanak-kanak warga Malaysia termasuk vaksin yang harus dibayar sendiri. Anak sulung saya yang berusia 20 tahun juga tidak dapat mencari pekerjaan sementara kerana tiada kad pengenalan.
"Proses permohonan yang sukar dan lambat juga amat memenatkan.
"Anak-anak yang berumur di bawah enam tahun hanya diberi visa untuk tempoh enam bulan, manakala kanak-kanak berumur enam tahun ke atas dikehendaki memohon Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (LTSVP) atau visa pelajar. Ia hanya sah selama satu tahun dan memerlukan kehadiran ibu bapa setiap kali visa dimohon,” ujarnya.
Cuma anak bongsu Aniza yang berusia 12 tahun merupakan warganegara Malaysia.
Menurut Aniza, perkara paling dikesali atau membimbangkan adalah jika dia terpaksa berpisah dengan anak-anaknya.
"Semasa saya mahu memperbaharui visa anak kedua yang berumur 16 tahun, terdapat peraturan baharu yang meminta anak saya untuk keluar dari negara ini sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun hadapan dan hanya boleh balik semula ke Malaysia beberapa hari sebelum keputusan SPM dikeluarkan.
"Ke mana anak saya harus pergi dalam tempoh dua tiga bulan itu? Pihak imigresen juga tidak memberitahu apa tindakan yang perlu kami lakukan dan semua kos perlu ditanggung sendiri. Perkara ini amat berat bagi saya,” katanya.
Dengan keluhan yang berat, Aniza berkongsi, perjuangan 13 tahun mendapatkan kerakyatan buat dua anaknya terpaksa melalui proses yang panjang dan permohonan sering kali ditolak.
"Sejujurnya, saya berasa amat penat memperjuangkan isu ini selama 13 tahun namun masih tiada hasil.
"Dari awal saya menanggung perkara ini seorang diri tanpa sokongan sehingga berjumpa dengan persatuan Family Frontiers yang membantu saya bersama ibu-ibu yang lain untuk bangkit melawan ketidakadilan ini,” katanya.
Aniza berharap Kerajaan Perpaduan Malaysia dapat meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak kepada wanita warga Malaysia yang lahir di luar negara, diberi kerakyatan Malaysia.
"Ini merupakan diskriminasi yang jelas terhadap wanita. Sedangkan bapa warganegara Malaysia boleh mendapatkan dokumen kewarganegaraan anaknya yang dilahirkan di luar negara dalam jangka masa tiga hari dan proses pendaftaran kelahiran boleh dibuat dalam tempoh setahun dari tarikh kelahiran anak,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca