KIRA-kira 10 hari saja lagi, tahun 2022 akan berlalu. Syukur alhamdulilah kerana kita yang sedang membaca tulisan ini masih diberikan nafas oleh-NYA. Kita sedang menapak menuju sinar di jalan-jalan yang berliku. Semalam telah tenggelam... Klik di sini untuk terus membaca

KIRA-kira 10 hari saja lagi, tahun 2022 akan berlalu. Syukur alhamdulilah kerana kita yang sedang membaca tulisan ini masih diberikan nafas oleh-NYA. Kita sedang menapak menuju sinar di jalan-jalan yang berliku.

Semalam telah tenggelam dalam lipatan selekoh sejarah peribadi.Di sepanjang hayat ini kita sentiasa menemui manusia. Ibu bapa, adik beradik, saudara-mara, rakan dan sahabat.

Malah kita juga menemui musuh, sama ada yang kita cari mahupun yang melintas atau mendatangi hidup kita.

Ajaibnya kehidupan ini. Apa yang tidak kita terfikir akan terjadi pada kita telah kita harungi.

Susah dan senang, kaya dan miskin, sukar dan mudah sudah, serta sedang kita lalui. Semua itu membentuk karakter kita menjadi manusia yang lebih kental atau sebaliknya. Semuanya itu juga bergantung kepada cara kita menyerap cabaran itu.

Bukan sahaja kita yang berdepan dengan segala cabaran hidup. Mereka di sekeliling kita juga menghadapi ujian dalam pelbagai bentuk.

Pokoknya, apakah halangan itu diatasi, dielak, didasari atau ditembusi? Semoga halangan itu tidak menjadikan mereka buntu kerana menghantuk-hantuk kepala di tembok ujian hingga hilang daya. Akhirnya mereka menggelongsor tidak mahu bergerak kerana enggan bangun lagi.

Hidup ini punyai banyak persimpangan. Dan persimpangan itu membelok ke jalan yang tersendiri buat kita. Sama ada ia denai, lorong, jalan atau lebuh raya, semua jenis jalan itu akan kita lalui. Jenis-jenis jalan itulah yang akan membentuk diri kita.

Pada asalnya kita ini dilahirkan sama keadaannya. Kesemua kita lahir dalam keadaan telanjang dan menangis. Itulah jalan hidup yang pertama kita.

Sama ada kita dilahirkan dalam keluarga yang kaya raya atau miskin, kita tidak perlukan apa-apa selain dari susu, bedong dan belaian. Kita mula memasuki laluan yang berbeza apabila kita memasuki tadika dan seterusnya ke sekolah.

Pembelajaran dan pergaulan di situlah yang membentuk perilaku kita. Kemudian, bila kita akil baligh, kita mula berubah cara berfikir kerana perubahan hormon yang turut mengubah fizikal kita.

Tindak tanduk kita berubah menurut bahan bacaan, tontonan, pergaulan dan ajaran yang diterima. Apabila kita melanjutkan pelajaran dan mula bekerja, itu juga satu lagi persimpangan hidup yang turut mengubah diri.

Kita mungkin berkelulusan tinggi tetapi bekerja dengan gaji rendah, atau tiada kelulusan tinggi tetapi punyai pendapatan yang tinggi daripada mereka yang berkelulusan ijazah. Itu semuanya mengubah kita.

Perkahwinan juga akan mengubah haluan hidup kerana simpangnya turut berbeza. Walau apa pun keadaan kita, pasangan kita itulah yang akan mengubah peribadi kita. Yang belum berkahwin pun turut berubah dari segi persahabatan. Tetapi tanggungjawab pada diri dan keluarga khususnya ibu bapa tetap berubah kerana dahulu mereka menjaga kita, kini kita menjaga mereka pula.

Banyak yang kita dapat dalam hidup ini sama ada pendidikan, persahabatan, harta dan pangkat. Banyak juga yang kita hilang dan ia memberi kesan pada diri lebih-lebih lagi bila kehilangan mereka yang dikasihi.

Kerana apa yang kita lalui itu berubah-ubah, kita juga berubah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan. Malah kita pada hari ini tidak sama dengan kita yang semalam; juga kita pada hari esok.

Justeru, janganlah hairan dan berasa hati seandainya mereka yang kita kenali luar dan dalam selama ini sudah berubah dari kali akhir kita menemuinya. Jika dia kelihatan hidung tinggi, barangkali dia bukan dirinya yang kita kenal dahulu.

Jika dia menjadi orang yang begitu tawaduk berbanding dengan ‘si samseng sekolah,’ jangan hairan dengan perawakannya. Barangkali dia telah lalui jalan-jalan sukar berbanding kita yang sentiasa bertuah bergerak di atas lebuh raya kehidupan.

Yang penting pada hakikatnya, tiada istilah ‘happily ever after’ di dunia ini untuk semua kita seperti di dalam kisah dongeng. Jadi, walau apa pun jalan dan persimpangan hidup yang kita lalui, biarlah kompas kita tetap tidak berpaling arah.

Sama-sama kita doakan happily ever after di dunia yang satu lagi; bukan mengalami agony ever after!

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca