BIASA tengok katil yang boleh ditukar menjadi meja tulis, meja makan, rak pinggan, almari pakaian, ampaian, sampan dan keranda?
Bagaimana dengan peti sejuk yang turut berfungsi sebagai televisyen, peti sejuk, mesin basuh, mesin jahit, mesin fotostat, penyedut hampagas dan pendingin hawa?
Tentu sahaja belum kerana setakat ini belum ada sesiapa yang mereka ciptanya. Tetapi suatu masa nanti, pada era anak atau cucu kita, katil serba guna dan peti sejuk bermacam-macam dalam satu itu mungkin telah menjadi barangan biasa yang boleh dibeli di mana-mana dan tidak lagi dijeling-jeling oleh jiran tetangga.
Kalau bukan katil dan peti sejuk pun mungkin barangan lain, yang setiap satunya mempunyai puluhan fungsi.
Kita sedang menuju ke arah itu.
Pada masa dahulu kesemua barang dan peralatan secara umumnya berfungsi tunggal. Jika radio, maka fungsinya adalah sebagai radio semata-mata. Kalau mesin taip kegunaannya adalah untuk menaip dan bukan lain daripada itu.
Sekiranya ada kegunaan lain bagi sesuatu peralatan itu, ia hanyalah secara sampingan bukannya menjadi sebahagian daripada tujuan asal pembuatannya. Contohnya katil, ia dibuat bagi digunakan sebagai tempat tidur.
Namun pada masa yang sama bahagian bawahnya boleh juga dijadikan ‘stor’ atau tempat membiakkan tikus.
Demikian pulalah dengan senduk, selain berfungsi sebagai alat untuk menceduk ada orang menjadikannya alat untuk mengetuk kepala pasangan atas sebab-sebab yang hanya mereka berdua sahaja yang tahu.
Manusia secara semula jadinya dilahirkan dengan rasa tidak puas hati. Mereka sentiasa mahu meneroka sesuatu yang baharu atau setidak-tidaknya menambah baik apa yang ada.
Perasaan itulah, apabila diadun dengan kemajuan ilmu dan pengalaman, di samping kreativiti yang tidak berkesudahan, menjadi penyebab kepada kemunculan produk-produk berasaskan konsep dua dalam satu, tiga dalam satu dan sebagainya.
Faktor pendorong lain di sebalik kemunculan produk-produk itu pada dasarnya adalah dua perkara; untuk memudahkan kehidupan dan untuk membuat keuntungan daripada kemudahan itu.
Pun begitu tidak dinafikan ada juga pencipta produk-produk tersebut yang menghasilkannya kerana minat semata-mata tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan material. Tetapi jumlah mereka sangat sedikit, ibarat duit dalam akaun pada hujung bulan.
Sekarang ini produk multi fungsi telah diterima sebagai sebahagian daripada keperluan kehidupan. Kalau dahulu kita berasa cukup hebat jika dapat memiliki pen bermata dua – satu merah dan satu biru atau hitam – atau jam tangan yang dilengkapi ‘alarm’, kini produk seperti itu hanya layak ditempatkan di arkib. Ia tenggelam dalam lambakan pelbagai produk lain yang lebih hebat dan lebih pelbagai fungsinya.
Contoh yang paling dekat tentu sahaja telefon pintar kita. Fungsinya tidak lagi sekadar untuk membuat atau menerima panggilan. Ia juga adalah kamera, stor penyimpanan maklumat, perakam suara, kalkulator, peta, alat kawalan jauh dan serba-serbi lagi.
Di dapur pula telah ada periuk yang berfungsi sebagai alat untuk mengukus, memanggang, menumis, menggoreng, membakar, merebus dan pelbagai ‘me’ yang lain.
Tidak dapat dinafikan bahawa semua itu telah memudahkan lagi hidup kita. Banyak masa dan wang ringgit yang dapat dijimatkan. Secara tidak langsung ia juga menjadikan kehidupan lebih ringkas dan teratur.
Tetapi di sebalik itu, kehadiran produk-produk pelbagai fungsi itu juga telah mempengaruhi kehidupan kita secara keseluruhan. Dengan kemudahan yang disediakan oleh peralatan-peralatan itu kita boleh melakukan banyak perkara secara bersendirian. Jadi sedar tidak sedar kita turut membentuk diri menjadi manusia pelbagai fungsi.
Kita boleh membuka syarikat tanpa memerlukan kakitangan, kita boleh menjadi pengarah filem dengan kita sendiri menjadi penulis skrip, penulis lakon layar, jurugambar, jururakam, penyunting dan serba-serbi yang lain. Soal sama ada pada akhirnya mungkin hanya kita sendiri yang meminati filem itu tidaklah penting, yang penting kita boleh melakukannya.
Dari satu sisi menjadi manusia multi fungsi banyak kebaikannya. Namun keburukannya juga tidak sedikit. Hodohnya datang apabila seseorang itu serba boleh, serba hebat, sarat dengan ‘superiority complex’ sehingga berkemungkinan meremehkan peranan orang lain.
Selain itu multi fungsi juga boleh menyebabkan seseorang mudah hilang fokus. Dan inilah yang banyak terjadi pada generasi kita sekarang.
Berbanding dengan generasi dahulu, yang lebih fokus pada apa yang dilakukan kerana kebolehan mereka terhad, generasi kini mempunyai terlalu banyak perkara untuk dilakukan.
Sebab itu jangan hairan kalau sewaktu bekerja mereka berpolitik, sewaktu berpolitik, mereka berniaga....#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai seorang setiausaha politik dan juga bekas wakil rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca