SHAH ALAM - Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) mendedahkan daripada 6,296 permohonan berhubung kes seorang anak tidak sah taraf kewarganegaaran, hanya 951 permohonan diluluskan dalam tempoh... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) mendedahkan daripada 6,296 permohonan berhubung kes seorang anak tidak sah taraf kewarganegaaran, hanya 951 permohonan diluluskan dalam tempoh 12 tahun.

Lebih membimbangkan kata Presidennya, Suriyani Kempe, tiada satupun permohonan diluluskan pada tahun 2021.

Oleh itu katanya, Kerajaan Perpaduan yang dianggotai Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini menjanjikan untuk meminda Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan melalui manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, perlu menyegerakan proses itu bagi memastikan tiada lagi penindasan terhadap golongan ibu yang berkahwin dengan warga asing dan melahirkan anak di luar negara.

"Pada 25 Julai 2022, Kementerian Dalam Negeri dalam jawapan bertulis mendedahkan bahawa daripada 3,407 permohonan yang dibuat oleh wanita warganegara Malaysia antara 2018 dan 22 Jun 2022, hanya 19 permohonan kanak-kanak yang diluluskan.

"Mengikut kadar ini, hampir kesemua iaitu lebih daripada 99 peratus permohonan telah tersekat tanpa diberi sebarang keputusan sepanjang empat tahun. Paling mengecewakan, pada tahun 2021, tidak ada satu pun permohonan yang diluluskan daripada 165 yang dihantar.

"Proses permohonan ini sering kali tertangguh, tidak konsisten dan ditolak tanpa sebarang alasan walhal proses untuk mendapatkan Sijil Pengesahan Taraf di bawah Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan hanya akan mengambil masa enam bulan, " katanya kepada Sinar Premium.

Tambahnya, semakin lama kerajaan mengambil masa untuk menggubal undang-undang, semakin banyak kekangan yang dihadapi oleh anak-anak bukan warganegara kepada wanita warga Malaysia yang menetap di negara ini.

"Pada 16 Disember 2021, lima menteri mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Cadangan Pindaan yang ditugaskan untuk menjalankan kajian holistik mengenai hal-hal kewarganegaraan dan keputusan perundingan tersebut akan dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan.

"Kini, lebih setahun berlalu namun belum ada sebarang perkembangan berhubung status pindaan perlembagaan dari tarikh tersebut. Sementara itu, ada anak-anak yang terpaksa diusir keluar dari negara selepas berumur 21 tahun seolah-olah mereka seorang penjenayah hanya kerana dilahirkan di luar negara,” katanya.

Pada 9 September 2021, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia yang mempunyai pasangan warga asing harus diberikan kerakyatan Malaysia secara automatik.

Namun, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi selepas membenarkan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Pengarah JPN untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 5 Ogos lepas.

Pada 14 Disember lalu, perjuangan Family Frontiers dan enam wanita Malaysia membuahkan hasil apabila berjaya mendapat kebenaran mahkamah tertinggi negara untuk memulakan rayuan mereka mendapatkan kewarganegaraan bagi anak yang dilahirkan di luar negara dengan pasangan warga asing.

Antara kanak-kanak tidak sah taraf kenegaraan yang menyertai Festival Hak Asasi Manusia 2022 anjuran Jawatankuasa Hak Asasi Majlis Peguam Malaysia yang berlangsung di Pusat Bandar Lalaport, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 10 Disember lalu. -Foto: Sze Ning

"Di dalam Perlembagaan cuma menyatakan sekiranya ayah merupakan warganegara, maka, anak layak mendapat kerakyatan. Wanita tidak disebut dalam undang-undang jadi kerajaan menilai perempuan tiada hak untuk menurunkan status kerakyatan tersebut.

"Oleh itu, Family Frontiers memohon Jawatankuasa Cadangan Pindaan untuk mensyorkan kerajaan Malaysia membentangkan Rang Undang-Undang bagi meminda seksyen 1(b) dan 1(c) di bawah Bahagian II, Jadual Kedua, Perlembagaan Persekutuan dengan menggantikan perkataan ‘bapa’ dengan perkataan ‘sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapa,” kata Suriyani.

Diskriminasi dan impak

Suriyani yang juga merupakan pakar runding gender dengan Kemban Kolektif Family Frontiers, berkata, isu ini bukan sahaja mendiskriminasi wanita namun memberi impak yang besar kepada kanak-kanak bukan warganegara dalam mengakses hak asasi mereka.

"Bayangkan anak-anak yang tidak berdosa terpaksa hidup dalam keadaan takut terpisah daripada keluarga dan dinafikan segala hak pendidikan, kesihatan mampu milik, peluang ekonomi dan perlindungan sosial. Mereka juga perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran status undang-undang seperti keperluan visa, pas atau permit untuk berada di Malaysia.

"Wanita warga Malaysia juga turut terkesan apabila ada yang terpaksa merisikokan kesihatan untuk menaiki kapal terbang dan balik ke Malaysia semata-mata untuk melahirkan anak di negara sendiri. Isu kerakyatan anak ini juga merupakan salah satu faktor mengapa ramai wanita yang bekerjaya di luar negara berasa berat untuk pulang dan menyumbang balik kepada negara,” katanya.

Tidak semua bernasib baik

Sebagai seorang individu yang pernah menghadapi masalah yang sama, Suriyani berpandangan masalah ini bukan berpunca daripada wanita yang melahirkan anak di luar negara tetapi sistem yang mendiskriminasi wanita.

"Saya lahir dalam keluarga yang mengalami masalah yang sama dan telah berkahwin dengan warganegara Amerika Syarikat (AS) serta melahirkan anak di sana sejurus habis belajar. Oleh kerana tiada hasrat untuk menetap di sana, kami pulang ke Malaysia semasa anak berumur lima bulan namun permohonan saya gagal berkali-kali walaupun sudah membuat permohonan sebelum anak dilahirkan.

"Jadi saya telah menggunakan platform media sosial untuk membalas satu ciapan daripada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menjadi Menteri Dalam Negeri ketika itu dan saya amat bertuah apabila beliau membantu untuk mendapat kerakyatan anak pada tahun 2012.

"Namun, tidak semua ibu mempunyai nasib yang sama. Setiap tahun ada beribu permohonan jadi apakah semua ibu harus membuat ciapan yang sama dan berapa ramai menteri akan memberi respons? Oleh itu, sistem negara harus diubah supaya menjadi lebih sistematik,” katanya.

"Malaysia adalah salah satu daripada 25 negara minoriti yang tidak memberikan hak kepada wanita untuk menurunkan kerakyatan kepada anak mereka. Perkara ini tidak adil dan merupakan satu bentuk penindasan kepada wanita.

"Dengan kerajaan yang baharu, saya berharap mereka dapat menjelaskan apa perancangan dan berapa lama masa yang akan diambil untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca